madict ums
madict ums

Dedah bidang ICT, pelajar Tingkatan 4 dan 5, terima ilmu bermanfaat

Rasyidah Zulkifi
17 Aug 2022 09:20am
A
A
A

Bagi memberi pendedahan mengenai bidang Sains Komputer kepada pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima, Majlis Dekan ICT (MaDICT) Malaysia dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH), baru-baru ini.

MaDICT ditubuhkan sebagai satu platform untuk setiap dekan ICT universiti awam (UA) berkongsi kepakaran, pengalaman, pengetahuan dan buah fikiran berkaitan dengan pengurusan program pengajian, akademik, penyelidikan, penerbitan, libatsama komuniti atau industri dalam bidang berkaitan.

Menurut Dekan FKI, Profesor Madya Ts Dr Mohd Hanafi Ahmad Hijazi, program ini merupakan usaha untuk mempromosikan jurusan Sains Komputer yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

“Pihak MaDICT berharap agar lebih ramai pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih pengkhususan ICT sebagai laluan kerjaya.

“Ini bagi memenuhi keperluan tenaga dan kepakaran dalam bidang tersebut pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hanafi, berkata, rombongan MaDICT juga mengadakan bengkel dan mesyuarat di UMS untuk membincangkan isu-isu dalam kalangan pelajar ICT.

“Dalam mesyuarat ini, ahli-ahli MaDICT dari 20 buah UA berkongsi kepakaran dan pengalaman ke arah menangani cabaran untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan bidang ICT dan penarafan subjek Sains Komputer,” jelasnya.

Pada majlis sama, Pusat U-Science UMS juga berkongsi aktiviti berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada para pelajar SMESH. Antaranya, persembahan kereta robotik dan demonstrasi pengawalan dron.

Turut hadir, Pengerusi MaDICT Profesor Datuk Dr Bahari Belaton, Ahli-ahli MaDICT, dan Guru Kanan Mata Pelajaran merangkap Ketua Guru Bidang Sains dan Matematik SMESH Nurul Fatimah Muhd Chaerun.

Untuk itu, Sinar Bestari berkongsi empat peluang pekerjaan bagi lepasan bidang Sains Komputer kepada para pelajar:

1.Pengaturcaraan komputer adalah bidang pekerjaan yang mendapat permintaan di pasaran kerana hampir semua perniagaan bergantung pada kepakaran ICT.

2. Penganalisis keselamatan maklumat bekerja untuk melindungi rangkaian, sistem dan data pelangaan daripada diceroboh atau terjejas.

3. Pembangun perisian mencipta aplikasi atau sistem yang diperlukan oleh organisasi untuk beroperasi dengan berkesan.

4. Penulis teknikal jika mempunyai kemahiran komputer dan kemahiran menulis yang kuat, jadi berkebolehan menyampaikan maklumat ICT yang kompleks kepada pembaca dengan cara yang jelas dan menarik.

Artikel berkaitan

Media sosial medium pentaksiran alternatif yang bermanfaat

Bimbingan guru ICT SMK Kuala Perlis pupuk bakat pelajar dalam bidang inovasi

Pelajar Tingkatan 4 temui ajal ketika latihan merentas desa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok