rc4
rc4

Koleksi kostum ini jadi pelengkap keanggunan Ratu Cantik Malaysia

Norliza Wasilan
22 Aug 2022 03:42pm
A
A
A

Unik, penuh warna warni dan adakalanya menyelitkan elemen dramatik. Itu yang sering dikaitkan dengan rekaan kostum, tidak hanya di negara ini tetapi juga di seluruh dunia.

Malah, identiti sesuatu bangsa dan etnik juga boleh dilihat menerusi karya pereka itu yang menyaluti tubuh pemakainya.

Tidak hanya itu, makanan tradisi yang cukup sinonim dengan masyarakat juga tidak ketinggalan menjadi sumber ilham kepada seseorang pereka menghasilkan rekaan sama ada untuk tujuan pertunjukan ataupun pertandingan di peringkat antarabangsa.

Di Malaysia siapa yang tidak kenal dengan nama besar seperti Amir Luqman, Datuk Jovian Mandagie, Shomir Izwa, Rizman Ruzaini, Brian Khoo dan Carven Ong.

Barisan nama ini pernah melontarkan idea dan rekaan yang cukup memukau, membaluti tubuh ratu cantik ketika bertanding di pertandingan yang berprestij.

Rekaan mereka banyak mencuri tumpuan hasil konsep dan elemen yang tidak terjangkau dek fikiran.

Malah, hasil daya kreativiti mereka ini juga berjaya membuka mata masyarakat sehingga mendapat liputan antarabangsa.

Di Malaysia, rekaan unik ini boleh dilihat dalam penghasilan pakaian bagi persediaan ratu cantik negara bertanding dalam pertandingan Miss Universe.

Tampil memperkenalkan kebudayaan, kesenian, kepelbagaian etnik dan makanan tradisi di negara ini menerusi kostum rekaan masing-masing, ia sesuatu yang perlu dibanggakan.

Ini kerana, secara tidak langsung ia mempromosi negara di mata dunia yang disaksikan jutaan penonton dan impak daripada usaha keras pereka-pereka ini sewajarnya diberikan pujian kerana bukan perkara yang mudah apabila hendak menghasilkan sesuatu yang unik dan menarik.

Selain memerlukan kemahiran untuk merealisasikan ilham yang dicetuskan daripada idea, ia tidaklah semudah yang dilihat.

Untuk itu, kali ini Sinar Bestari membawakan kepada pembaca antara kostum-kostum rekaan pereka kostum tempatan yang pernah mewakili Malaysia di pentas dunia.

Info

  1. Bertemakan Kampungku, pereka Carven Ong dengan kerjasama Wesley Hilton of Borneo Doll pernah ‘membaluti’ tubuh Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James yang berlangsung di Florida Amerika Syarikat.
  2. Carven juga telah membuka mata masyarakat antarabangsa ketika pertandingan Miss Universe 2019 apabila menonjolkan beberapa jenis pencuci mulut tradisional dan peranakan seperti onde-onde, koci, talam, lapis, sagu dan telur merah. Rekaan beliau diperagakan oleh Shweta Sekhon berkonsepkan ‘Peranakan Indulgence’.
  3.  Pada 2018 pula, ratu cantik yang mewakili Malaysia iaitu Jane Teoh memakai kostum berkonsepkan Bangau Perahu hasil rekaan Salleh Hamid ketika pertandingan Miss Universe ke-67, di Bangkok, Thailand. Mengambil idea hasil pertukangan Melayu, rekaan ini berjaya menyerlahkan lagi kekayaan seni dan budaya di negara ini.
  4. Selain itu, hasil tangan Brian Khoo bertemakan nasi lemak yang lengkap dengan perincian idea daun pisang, nasi kukus, sambal tumis, telur rebus dan ikan bilis juga turut tular. Kreativiti beliau cukup unik membaluti tubuh Miss Universe Malaysia 2017 iaitu Samatha Kathie.
  5. Rizman Ruzaini yang sememangnya terkenal dalam kalangan orang kenamaan (VIP) dan artis pernah menghasilkan sebuah karya cukup luar biasa bertemakan Menara Berkembar Petronas yang diperagakan Ratu Cantik Malaysia 2016, Kiran Jassal.
  6. Pada 2015 pula, Jovian Mandagie tampil dengan rekaan bertemakan Bunga Emas untuk Vanessa Tevi Kumares ketika ratu cantik itu mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Universe di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Artikel berkaitan

6 tip pembuatan kostum yang selesa

Bakat Akma Suriati Awang raih perhatian Hollywood

Kebolehan mencipta karakter, untuk menjadi pereka kostum yang unik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok