TP HEP
TP HEP

KPMBM anjur Program Solidariti Untukmu Palestin 2021

Nor Azma  Muhamat Laila
21 Jun 2021 07:13pm
A
A
A

MELAKA - Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Profesional Mara Bandar Melaka (MPP KPMBM) dengan kerjasama Aman Palestin Berhad telah menganjurkan Program Solidariti Untukmu Palestin 2021.

Program yang diadakan secara dalam talian bermula pada 28 Mei lalu dan berakhir hari ini bertujuan untuk mengumpulkan sumbangan kewangan daripada warga kolej untuk disalurkan kepada penduduk-penduduk di Palestin.

Presiden MPP KPMBM Sesi 2021/2022, Muhammad Danial Fitri Marzlan.

Menurut Presiden MPP KPMBM Sesi 2021/2022, Muhammad Danial Fitri Marzlan, susulan daripada serangan dan kekejaman di Palestin yang tidak pernah putus-putus, barisan MPP KPMBM telah melakukan perbincangan dan mendapatkan persetujuan daripada pihak kolej untuk melancarkan tabung kutipan sumbangan dalam kalangan warga kolej.

"Pelbagai objektif digariskan bagi menjayakan program ini antaranya untuk menunjukkan sokongan warga KPM Bandar Melaka terhadap penduduk di Palestin yang ditindas oleh zionis Israel.

"Selain itu, program ini juga secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan kita semua terhadap pergolakan yang sedang berlaku di sana dan juga menggalakkan sikap menderma terutamanya dalam kalangan pelajar," katanya kepada GPSBestari, di sini, hari ini.

Berikutan kekangan PKP yang dilaksanakan ketika ini dan pelajar yang berada di rumah, pihak MPP KPMBM telah memanfaatkan platform media sosial yang ada seperti facebook, instagram dan sebagainya bagi menyebarkan kesedaran kepada warga kolej agar mereka turut menderma.

Sebanyak RM5,700 telah berjaya dikumpulkan sepanjang program ini dilancarkan dan akan diserahkan kepada Aman Palestin Berhad.

Bersempena dengan program ini juga, satu majlis penyerahan sumbangan secara atas talian kepada Aman Palestin Berhad dan ceramah tentang perkembangan di Palestin turut diadakan pada hari ini, yang disampaikan oleh Pencetus Ummah (PU) Yeop merangkap Duta Aman Palestin.

Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar KPMBM, Norazhar Abdul Hamid.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar KPMBM, Norazhar Abdul Hamid, turut melahirkan jutaan terima kasih kepada para dermawan atas bantuan yang diberikan.

Tambahnya lagi, setiap nilai sumbangan yang diberikan meskipun terlihat kecil di mata dunia, namun tetap memberi makna yang besar dalam hidup warga Palestin yang sedang berjuang hingga kini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok