8711928a-e848-4180-8725-300f10f4a100
8711928a-e848-4180-8725-300f10f4a100

Kurang faham kelas ‘online’, Youtube dijadikan rujukan

A
A
A

“Sejak Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, jujur saya katakan tidak semua matapelajaran yang diajar difahami malah ada kala saya tertinggal tetapi saya menjadikan YouTube sebagai tempat rujukan untuk lebih memahami apa yang diajar cikgu,” ujar Nur Sabrina Mohamed Anvardeen, salah seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam, Selangor, ini yang memperoleh keputusan 8A, turut mengakui bahawa kerisauan yang menguasai dirinya mendorong dia untuk mencari alternatif lain sebagai persediaan menduduki peperiksaan penting yang bakal menentukan hala tuju hidupnya itu.

Terkejut dengan keputusan yang diperolehinya, Nur Sabrina bagaimanapun bersyukur kerana usahanya menjadikan YouTube sebagai ‘bahan’ rujukan berbaloi dan membuahkan hasil.

Mampu mengukir senyuman penuh bermakna, Nur Sabrina memberitahu dia memilih YouTube sebagai ‘cikgu’ kerana dia percaya platform tersebut dapat membantu mengubah dirinya menjadi yang terbaik.

“Sebenarnya sehingga hari ini saya masih tidak percaya dengan keputusan yang diperolehi kerana saya merupakan antara pelajar tercorot dalam kalangan rakan-rakan di sekolah.

“Siapa yang tidak risau apabila pernah mendapat 3G dalam peperiksaan dan mendapat markah paling rendah dalam matapelajaran Matematik dan Perakaunan.

“Pastinya kegagalan ini membuatkan saya terfikir tidak akan meraih skor yang terbaik semasa peperiksaan SPM nanti,” ujarnya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Begitupun, Nur Sabrina tidak pernah berputus asa dan berusaha untuk mengubah situasi tersebut dan menetapkan matlamat bahawa dia mampu menjadi seperti pelajar-pelajar lain.

Biarpun jauh ketinggalan, tetapi dia tetap gigih ‘mengejar’ rakan-rakan yang sudah jauh ke hadapan.

Walaupun dirinya hampir kehilangan motivasi, namun dengan harapan yang masih berbaki dalam diri, Nur Sabrina cuba menepis segala pemikiran negatif yang membelenggu.

Siapa sangka kerisauan yang menggunung itulah yang menjadi pemangkin semangat untuk dirinya berjaya mendapat kesemua A dalam matapelajaran yang diambilnya.

Nur Sabrina tidak ketinggalan berkongsikan usaha yang dilakukannya di saat-saat akhir sebelum peperiksaan sebenar berlangsung.

“Saya jawab semua soalan SPM tahun-tahun lepas dan saya asingkan semua helaian kertas yang cikgu bagi.

“Tumpuan banyak diberikan kepada matapelajaran Matematik sebab saya takut gagal sekali lagi.

“Ketakutan menjadi berganda kerana saya bercadang untuk sambung belajar di Universiti Malaya (UM), dan syarat-syarat yang diperlukan sekurang-kurangnya B bagi matapelajaran Matematik dan bahasa Inggeris,” jelasnya lagi.

Sebelum menamatkan perbualan, Nur Sabrina berharap agar pelajar-pelajar lain dapat menggunakan masa ini sebagai seorang pelajar dan jangan terlampau kecewa dengan keputusan yang diperolehi kerana rezeki ada di mana-mana.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok