Untitled design (81)
Untitled design (81)

Lima pertubuhan melibatkan anggota polis dalam negara

Azleenda Sahaludin
18 Jan 2023 12:21pm
A
A
A

Pasukan Kadet Polis Diraja Malaysia merupakan unit beruniform yang telah wujud di seluruh sekolah menengah di Malaysia yang bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar meliputi aspek peranan dan fungsi kepolisan dalam menangani masalah jenayah, dadah, moral dan gengsterisme kepada pelajar yang bakal menjadi pemimpin pada masa depan.

Berdasarkan Seksyen 68 Akta Polis 1967, Ketua Polis Negara dengan persetujuan Menteri Dalam Negeri telah membenarkan pertubuhan Pasukan Kadet Polis (PKP) seluruh negara.

Malah idea penubuhan tersebut dicetuskan oleh Ketua Polis Negara yang kedua, Allahyarham Tun Mohamed Salleh Ismail ketika merasmikan Pelancaran PKP pada 2 Mac 1970.

Maka, bagi memudahkan urusan pentadbiran terutamanya di sekolah ahli kadet dan Pegawai Rendah Kadet akan dipilih dalam kalangan pelajar, manakala Pegawai Kanan Kadet pula dipilih dalam kalangan guru di sekolah tersebut.

Untuk itu, lebih 600 platun Kadet Polis telah ditubuhkan yang terdiri hampir 21,000 ahli dan 600 pegawai kanan PKP seluruh negara.

Rangka pertubuhan PKP ini disusun sama seperti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbuka penyertaannya kepada semua pelajar lelaki dan perempuan.

Ia juga terbuka kepada pelajar yang mempunyai fizikal badan sihat dan cergas selain turut membekalkan pakaian seragam khas PKP kepada pelajar terpilih mengikuti unit beruniform berkenaan.

Selain itu, pelajar juga bakal didedahkan dengan latihan intensif seperti kawad kaki, pertolongan cemas, perkhemahan tahunan serta turut diberi ilmu tambahan berkaitan undang-undang dan tanggungjawab polis.

Kali ini Sinar Bestari akan kongsikan lima pertubuhan yang melibatkan pasukan polis negara bermula daripada sekolah menengah sehingga penglibatan masyarakat.

Polis bantuan

Pertubuhan polis bantuan adalah sebagai unit sokongan atau bantuan kepada PDRM dalam sesuatu situasi yang diperlukan. Polis bantuan menjalankan tugas polis dan mencegah jenayah dalam kawasan yang telah dipertanggungjawabkan. Kebiasaannya, silibus latihan akan disediakan oleh Cawangan Latihan Bukit Aman yang berfokuskan kepada pengetahuan dan kemahiran sepatutnya diketahui oleh pegawai polis bantuan berkenaan.

Rakan Cop

Rakan Cop membawa maksud rakan polis yang menjadi perantara untuk merapatkan jurang antara polis dan masyarakat. Ia dilihat sebagai pendekatan menggalakkan penglibatan orang ramai terutamanya pertubuhan masyarakat, agensi kerajaan dan swasta supaya menjadi mata dan telinga pihak polis.

Kadet polis

Seperti yang telah dinyatakan, PKP merupakan badan beruniform yang ditubuhkan di sekolah menengah seluruh negara. Pertubuhan ini adalah kegiatan kokurikulum di sekolah dalam usaha membangunkan pelajar dari sudut emosi, sosial, mental dan fizikal. Ia juga bertujuan membentuk kualiti kepimpinan pelajar sebagai generasi muda yang menjadi harapan masa depan negara. Keahlian PKP ini hanya dikhaskan kepada pelajar sekolah menengah berumur 14 hingga 21 tahun serta turut diberi latihan intensif selama tiga tahun.

Sukarelawan polis

Sukarelawan polis terbuka kepada warganegara yang berumur antara 18 dan tidak melebihi 35 tahun. Ia adalah satu usaha dan peluang kepada masyarakat bersama-sama menjaga keamanan dan keselamatan harta dan nyawa kawasan setempat. Kekosongan untuk sukarelawan ini kebiasaannya dibuat apabila terdapat keperluan di daerah-daerah tertentu. Selain bersih daripada sebarang rekod jenayah, pemohon hendaklah mempunyai pekerjaan tetap serta mendapat kebenaran daripada majikan terlebih dahulu, manakala cara permohonan adalah melalui borang khas yang boleh didapati di balai polis daerah.

SUKSIS

Pertubuhan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) diilhamkan oleh Perdana Menteri kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berhasrat untuk membentuk sebuah badan beruniform seperti PDRM di semua institut pengajian tinggi (IPT). Pertubuhan ini juga adalah untuk melahirkan lebih ramai graduan bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik tetapi juga dalam pengetahuan melibatkan undang-undang negara serta berdisiplin dan mempunyai nilai murni yang tinggi. Selain itu, Suksis tertakluk kepada undang-undang pertubuhan sukarelawan polis yang terkandung dalam Akta Polis 1967. Ini bermakna, semua pelatih Suksis berhak untuk menikmati semua keistimewaan serta kuasa seorang anggota polis semasa menjalankan urusan rasmi atau latihan. Malah, modul latihan selama tiga tahun dalam Suksis turut menyediakan beberapa kemudahan, antaranya menyediakan pakaian seragam PDRM di samping diberi elaun latihan dan tugasan kepada pelatih.

Artikel berkaitan

65 pelatih Kor SUKSIS UKM ditauliah Inspektor Sukarelawan PDRM

Disiplin tinggi, jiwa kental amalan Kadet Polis

Pupuk semangat patriotik. Pendedahan bidang kepolisan pada peringkat sekolah menengah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok