thisisengineering-raeng-GzDrm7SYQ0g-unsplash
thisisengineering-raeng-GzDrm7SYQ0g-unsplash

Math 55 kelas paling sukar di Universiti Harvard

Adlan Farhan Azwan
23 Dec 2021 03:39pm
A
A
A

Universiti Harvard ialah universiti Ivy League yang terletak di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat.

Selain merupakan sebuah unviersiti yang cukup terkenal di seluruh dunia, ia juga salah satu institusi paling berprestij di Amerika Syarikat dan juga yang tertua di negara itu.

Umum ketahui, betapa sukarnya untuk melanjutkan pelajaran di universiti ini kerana syarat kemasukan amatlah sukar bagi memastikan kualiti pelajar yang dihasilkan adalah antara yang terbaik di dunia.

Ini dapat dibuktikan apabila lapan alumni Harvard telah menjadi Presiden Amerika Syarikat seperti Barack Obama, Rutherford Hayes, George W. Bush, John F. Kennedy, Franklin Roosevelt, Theodore Roosevelt, John Quincy Adams, dan John Adams.

Di Harvard terdapat satu kelas yang dikatakan kelas paling susah hinggakan separuh daripada pelajar di dalam kelas tersebut terpaksa menarik diri kerana tidak mampu untuk mengikuti sesi pembelajaran.

Kelas yang dimaksudkan ialah Math 55. Ia merupakan kursus Matematik bagi pelajar-pelajar sarjana muda Tahun Pertama, selama dua semester yang diasaskan oleh Lynn Loomis dan Shlomo Sternberg.

Tajuk rasmi kursus ini ialah Algebra Abstrak Kepujian (Math 55a) dan Analisis Nyata dan Kompleks Kepujian (Math 55b).

Jabatan Matematik, universiti tersebut turut menggambarkan Math 55 sebagai kelas Matematik sarjana muda yang paling sukar di negara itu.

Kelas Math 55 sering dipenuhi dengan ahli pasukan Olimpik Matematik Antarabangsa yang merupakan pertandingan kejohanan sedunia di mana pelajar Matematik sekolah menengah lebih dari 100 buah negara berdepan dengan masalah matematik yang amat sukar.

Dalam erti kata lain, pelajar-pelajar ini antara pelajar Matematik yang paling bijak di dunia.

Kebanyakan pelajar kelas Math 55 perlu menghasilkan 15 hingga 20 muka surat jawapan dan dinasihatkan agar tidak menunjukkan jalan kerja yang begitu banyak untuk memudahkan proses penandaan kerja.

Setiap soalan juga boleh mengambil masa antara 24 hingga 60 jam seminggu untuk diselesaikan. Masa yang diperuntukkan hampir sama dengan seseorang yang melakukan kerja sepenuh masa, ditambah pula dengan kerja sambilan.

Salah seorang profesor di universiti itu, Profesor Yum-Tong Siu, yang kelasnya bermula dengan 50 pelajar pada 2003 berkata, dia secara aktif cuba mengurangkan saiz kelas.

Menurut laporan The Harvard Independent, kelas itu menurun kepada 25 pelajar, tetapi Siu mahu mengurangkannya sedikit lagi dan matlamatnya adalah kepada 20 pelajar.

“Kami mahukan sekumpulan pelajar yang mempunyai latar belakang yang sama agar dapat meneruskan pada kadar yang sesuai supaya mereka tidak berasa bosan atau melampaui batas,” kata Siu.

Artikel berkaitan 

“Alhamdulillah, I got into Stanford” – Pelajar terharu diterima masuk ke universiti idaman

Sekolah di Amerika Syarikat ditutup selepas trend ancaman berbahaya di TikTok

Graduan UUM bawa gambar arwah bapa masa konvo


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok