IMG-20221209-WA0024
IMG-20221209-WA0024

Mohd Hilmi terajui Pengakap Laut Malaysia. Pengakap Laut sudah bertapak di negara ini selama 92 tahun

nadzarul.amir
19 Dec 2022 05:15pm
A
A
A

Tanggal 20 Julai 1974, sekumpulan pelajar Sekolah Tinggi Klang, Selangor, berbekalkan jaket keselamatan dan sebuah rakit menelusuri Sungai Klang.

Mereka mengemudi pengangkutan air yang diperbuat daripada buluh dan kayu-kayan itu mengharungi arus sungai berkenaan dengan penuh keyakinan.

Momen tersebut merupakan antara aktiviti menarik yang pernah dilakukan Pengakap Laut.

Mungkin ramai tidak mengetahui, kewujudan Pengakap Laut di negara ini bermula sejak awal 1930 lagi.

Ia bermakna pasukan beruniform berkenaan sudah menabur bakti selama 92 tahun di Malaysia!

Lebih membanggakan, Pengakap Laut tahun 50-an dan 60-an merupakan unit yang sangat aktif di negara ini malah terlibat dalam acara Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Pesuruhjaya Kebangsaan (Pengakap Laut), Persekutuan Pengakap Malaysia, Ts Mohd Hilmi Abu Bakar berkata, Pengakap Laut merupakan cabang Persekutuan Pengakap Malaysia yang memberi tumpuan kepada kemahiran kepelautan dan aktiviti air.

Beliau memberitahu, kewujudan badan beruniform diasaskan Lord Baden-Powell bermula pada tahun 1908 di Pulau Pinang.

Pesuruhjaya Kebangsaan (Pengakap Laut), Persekutuan Pengakap Malaysia, Ts Mohd Hilmi Abu Bakar.

“Begitupun, ia mengambil masa kira-kira 22 tahun untuk menubuhkan Pengakap Laut di negara ini.

“Kumpulan pertama ditubuhkan pada 1930 di Sekolah Umum Banggol, Kelantan,” ujarnya.

Elemen utama Pengakap Laut

Beliau menjelaskan, terdapat lima elemen utama Pengakap Laut iaitu kemahiran kepelautan (seamanship skills), keselamatan di air dan survival laut (water safety and sea survival), tradisi pelaut (naval tradition), konservasi marin (marine conservation) dan rekreasi air (water recreation).

Katanya, kemahiran pelautan merangkumi perkara-perkara yang diperlukan untuk menjadi seorang pelaut.

“Contoh, komunikasi marin berbeza berbanding komunikasi di darat. Sejak dahulu lagi terdapat pelbagai medium komunikasi marin termasuk kod morse, isyarat bendera, perhubungan radio dan banyak lagi.

“Selain itu, sesiapa ingin menjadi pelaut, mereka perlu mengetahui kaedah membaca carta nautika yang merupakan peta di samudera,” tuturnya.

Lelaki berusia 38 tahun itu memberitahu, Pengakap Laut tidak terkecuali diberi pendedahan dan pengetahuan mengenai kemahiran memahami kedalaman lautan, jadual pasang surut air laut, bintang serta pengendalian bot.

Mohd Hilmi menambah, kemahiran pelautan termasuk juga kemahiran menambat bot dan mengatasi masalah enjin.

Keselamatan di air dan survival laut merupakan elemen utama Pengakap Laut.

Keselamatan

Bercerita mengenai keselamatan di air dan survival laut pula, beliau menegaskan, ia merupakan antara aspek penting perlu tersemat pada individu bergelar Pengakap Laut.

“Apabila melakukan aktiviti-aktiviti berkaitan air, keselamatan menjadi keutamaan.

"Bagaimanapun, Pengakap Laut mengalu-alukan semua orang sama ada mereka mengetahui cara berenang ataupun tidak,"ujarnya.

Katanya, apabila menyertai sebagai ahli Pengakap Laut, mereka diberi pendedahan dan diajar mengenai langkah-langkah keselamatan di air supaya dapat melakukan aktiviti dengan selamat.

Pada masa yang sama, Pengakap Laut juga perlu memiliki ilmu pengetahuan berdepan situasi sukar dan tidak diduga apabila berada di laut.

Sebagai contoh, katanya, apabila menaiki feri, mereka perlu mengetahui selok-belok laluan keselamatan untuk membantu orang awam jika berlaku sebarang kemalangan.

Menyentuh berhubung tradisi pelaut, Mohd Hilmi berkata, antara tradisinya ialah menaikkan dan menurunkan bendera serta meniup wisel.

Konservasi marin tertumpu kepada usaha memulihara dan memelihara alam sekitar marin.

“Konservasi marin pula tertumpu kepada usaha memulihara dan memelihara alam sekitar marin.

“Pengakap Laut menjalin kerjasama dengan Taman Laut (Jabatan Perikanan Malaysia) malah sembilan acara telah diadakan sejak tahun 2011 lagi,” tuturnya.

Beliau menambah, setiap kali musim monsun, terumbu karang akan mengalami kerosakan di dasar lautan.

Sehubungan itu, antara aktiviti konservasi laut yang dilaksanakan adalah restorasi karang dan mengikat benih-benih karang.

“Pengakap Laut juga aktif dalam penanaman bakau kerana ia merupakan benteng pertahanan kepada darat.

“Paya bakau ini sangat kuat dan mampu mengurangkan kesan-kesan bencana seperti tsunami,” ujarnya.

Katanya yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam Pengakap Laut, rekreasi air melibatkan semua aktiviti menyeronokkan.

Promosi Pengakap Laut

Di negara ini, beliau memberitahu, pasukan beruniform tersebut hanya ada di beberapa buah sekolah dan ia tidak menyeluruh.

“Pengakap Laut merupakan sebahagian daripada Persekutuan Pengakap Malaysia dan sentiasa mengadakan pameran dalam usaha mempromosi Pengakap Laut.

“Selain itu, kita turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Perikanan (Taman Laut) dan Jabatan Laut,” ujarnya.

Beliau menambah, Jabatan Laut bertanggungjawab mempromosi kerjaya laut dalam kalangan masyarakat.

Pengakap Laut menjalin kerjasama dengan Taman Laut (Jabatan Perikanan Malaysia) malah sembilan acara telah diadakan sejak tahun 2011.

Sejak kebelakangan ini, beliau berkata, golongan muda lebih memilih kerjaya yang pendapatannya diperolehi secara mudah berikutan masih kurang jelas tentang hala tuju kerjaya mereka.

“Generasi muda hari ini kalau pada peringkat awal sudah menceburi bidang tersebut, dia sebenarnya dalam kerugian kerana ia tiada peningkatan dalam kerjaya.

“Ini antara isu dibangkitkan Jabatan Laut berikutan di laut terdapat banyak kerjaya yang boleh diceburi golongan muda malah ia menawarkan pendapatan tinggi,” katanya.

Mohd Hilmi memberitahu lagi, kemahiran dan kelayakan yang diperoleh mereka melalui kerjaya di lautan ‘laku’ serata dunia.

Pengakap Laut Malaysia

  • Malaysia mempunyai banyak kelebihan untuk penganjuran aktiviti Pengakap Laut kerana dikelilingi laut, sungai dan tasik.
  • Selain itu, negara turut dilengkapi kemudahan maritim yang membolehkan pelbagai aktiviti dan latihan kelautan menyeronokkan dianjurkan dari semasa ke semasa.
  • Pengakap Laut di Malaysia dibahagikan kepada tiga unit iaitu Pengakap Muda Laut (bagi pelajar menengah rendah), Pengakap Remaja Laut (bagi pelajar menengah atas) dan Pengakap Kelana Laut (bagi ahli dewasa dan lepasan sekolah menengah).
  • Aktiviti-aktiviti Pengakap Laut dijalankan mengikut skim latihan Pengakap Laut yang dilancarkan pada 23 Januari 2011.
  • Ia ditetapkan oleh Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia.

Artikel berkaitan

Mohd Fikri kongsi penggunaan tali dalam Pengakap Laut. Bukan sekadar seutas tali

Pengakap Laut dilengkapi kemahiran kepelautan. Keselamatan dan kelangsungan hidup di laut menjadi keutamaan

5 kemahiran ikatan yang harus dipelajari peserta perkhemahan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok