pexels-ron-lach-8085935
pexels-ron-lach-8085935

Mungkin 5 faktor ini punca kerap keletihan, mohon cikgu-cikgu atasi segera!

Roshlawaty Md Raieh
18 Nov 2021 05:21pm
A
A
A

Sibuk dengan tugasan harian sebagai pendidik di sekolah mahupun di rumah, adakalanya boleh menyebabkan kita keletihan.

Namun, jika anda sering berasa lesu dan penat, walaupun pada hari yang anda tidak sibuk, atau sedang bercuti, ia adalah sesuatu yang pelik.

Untuk memahami apakah yang menyebabkan cikgu-cikgu cepat rasa keletihan, dikongsikan beberapa tip untuk panduan bersama.

1) Tidur

Anda mungkin mendapat tidur tujuh hingga lapan jam sehari, tetapi adakah ia tidur yang berkualiti?

Tidak mendapat tidur yang berkualiti adalah salah satu punca jelas menyebabkan kelesuan. Badan cikgu melakukan pelbagai perkara ketika tidur termasuk menyimpan memori, melepaskan hormon yang mengatur tahap metabolisme dan tenaga anda.

Menurut American Academy of Sleep Medicine and Sleep Research Society, apabila mendapat tidur yang berkualiti, anda biasanya akan bangun dalam keadaan yang segar, bertenaga dan lebih fokus. Apa yang penting, tidur itu haruslah tidak diganggu untuk membenarkan minda melalui lima peringkat kitaran proses tidur. Malah, untuk mendapat tidur yang mencukupi, cikgu harus mengekalkan rutin tidur untuk membantu mencegah keletihan.

Untuk memperbaiki waktu dan kualiti tidur, sebaiknya tidur dalam tempoh yang sama setiap malam dan bertenang.

Namun, seandainya, anda berasa sukar untuk tidur dan berkemungkinan mengalami gangguan, berbincang dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan daripada pakar.

2) Kemurungan

Kemurungan bukan sahaja masalah yang boleh mendatangkan gangguan kepada kehidupan seharian seperti melakukan tugasan kerja atau rumah, tetapi masalah kesihatan ini turut akan menjejaskan cara makan, tidur dan apa sahaja yang berkaitan dengan diri.

Sekiranya tidak mendapatkan rawatan, simptom berkaitan kemurungan ini mungkin akan berlanjutan sehingga berminggu, berbulan, bahkan mungkin bertahun.

Tidak semua individu yang mengalami kemurungan akan melalui simptom sama, tetapi secara umumnya, kemurungan boleh mengurangkan tenaga, mengubah corak tidur dan pemakanan, menganggu ingatan dan fokus serta membuatkan anda berasa putus harapan, tidak bernilai dan sentiasa berfikiran negatif.

Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan berjumpa pakar terapi dan perubatan bertauliah. Anda tidak seharusnya membiarkan diri terus dilanda kemurungan kerana ia sememangnya akan menjejaskan kehidupan seharian dan perhubungan bersama individu di sekeliling.

3) Makanan

Alahan terhadap makanan atau mengalami tindak balas sensitif terhadap sesuatu makanan, boleh menjadi punca kepada masalah kerap keletihan.

Reaksi sensitif atau rintangan terhadap sesuatu makanan mungkin menyebabkan masalah seperti ruam gatal, masalah sembelit, hidung berair atau sakit kepala.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam Archives of Internal Medicine, alahan yang teruk turut menjejaskan tidur.

Alahan menyebabkan sistem imun untuk ‘bekerja’ secara berlebihan dan ini akan menyebabkan keradangan kronik, keletihan serta mengganggu pernafasan yang membuatkan anda berdengkur hingga menjadikan kerap terjaga pada waktu malam.

Malahan, pengambilan ubatan untuk merawat alahan seperti antihistamin juga boleh mengganggu corak tidur.

Jika sesetengah makanan mungkin membuatkan letih, cuba berbincang dengan pakar pemakanan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut bagi menguji sama ada anda mungkin ada alahan terhadap sesuatu makanan atau tidak.

4) Tekanan

Adalah sesuatu yang normal untuk mempunyai tekanan dalam hidup. Sebenarnya tekanan ini membuatkan anda lebih berjaga dan dapat membantu untuk memberikan yang lebih baik dalam hidup seperti dalam tugasan kerja, temuduga dan sebagainya.

Tetapi tekanan yang berlebihan atau kronik boleh menjejaskan tahap tenaga dan kualiti hidup - turut berhubung kait dengan keletihan.

Tekanan yang kronik boleh mendatangkan keletihan secara fizikal dan mental yang cenderung menyebabkan wujudnya masalah kesihatan lain.

Pelbagai situasi boleh menyebabkan tekanan – kerja, kewangan, perhubungan, kehidupan – ia takkan pernah berakhir. Jika merasa tertekan, cikgu-cikgu boleh mencuba beberapa tip untuk menangani tekanan.

5) Kesihatan

Masalah kesihatan dan perubatan, merupakan antara salah satu faktor yang boleh mengakibatkan kerap keletihan walaupun kita melakukan perubahan pada gaya hidup, bersenam, memperbaiki tahap tekanan dan mendapatkan tidur yang mencukupi.

Antara beberapa keadaan kesihatan yang menunjukkan keletihan ialah anemia, tiroid yang tidak aktif, diabetes, kegelisahan, penyakit jantung, demam kelenjar, kehamilan serta kekurangan vitamin dan mineral.

Jika bimbang tentang keadaan ini, anda boleh berjumpa dengan doktor atau pakar perubatan untuk mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut tentang masalah tersebut.

Kredit: hellodoktor.com

Artikel berkaitan 

Guru-guru jangan selalu tidur lambat, rupa-rupanya ini bahaya yang menanti

Pensyarah Kanan UiTM gesa ibu bapa pantau aktiviti dalam talian anak-anak, cegah sebelum parah

“Saya sudah letih jadi cikgu, tidak semua hargai kami…”


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok