Untitled design (18)
Untitled design (18)

‘Minden Tigers’, pasukan bola sepak USM

Azleenda Sahaludin
07 Dec 2022 05:14pm
A
A
A

Selepas dua tahun tidak dapat beraksi dalam liga mahupun perlawanan bola sepak disebabkan pandemik Covid-19, kini pasukan bola sepak Universiti Sains Malaysia (USM FC) kembali bangkit dan aktif dalam sukan tersebut.

Coach Jibong.

Menurut jurulatih USM FC, Ahmad Norafandy Mohd Yatim atau lebih mesra dipanggil Coach Jibong, sejak September lalu, pasukannya mula aktif berlatih mempersiapkan diri berdepan perlawanan yang berlangsung pada 3 Disember lalu.

“Kami mula mengadakan latihan pada awal September malah mendapat sambutan baik terutamanya dari pelajar Tahun Satu dan Dua yang berminat untuk menjadi pemain bola sepak.

“Latihan diadakan pada petang setiap hari Selasa dan Rabu. Perlawanan persahabatan pula akan diadakan pada hari Jumaat di Kopa Arena USM,” katanya.

Jelas Coach Jibong yang menjadi jurulatih pasukan USM FC sejak 2010, hari latihan dirangka mengikut kesesuaian jadual kuliah para penuntut.

“Kebiasaannya, segelintir pemain terlibat dengan kokurikulum dan unit pakaian seragam menyebabkan saya perlu menyesuaikan jadual latihan mereka,” tambahnya.

Sejarah pasukan USM FC

Berkongsi sejarah penubuhan pasukan bola sepak USM, Coach Jibong memberitahu, ia bermula sejak 2010 dengan menyertai zon kelayakan yang dipertandingkan di peringkat utara.

Dia menambah, pasukan dikenali Minden Tigers sejak tahun 80-an itu, mengorak langkah pada 2013 apabila berjaya layak ke divisyen tiga Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Lebih membanggakan, USM FC meraih gelaran juara dalam liga tersebut sekali gus memperoleh tiket bersaing dalam divisyen dua pada 2014.

Selama dua tahun mewarnai divisyen dua, 2016 menjadi titik permulaan apabila USM FC layak menduduki divisyen tertinggi liga IPT.

Bahkan, kemunculan USM FC dalam saingan divisyen satu menjadi antara pasukan yang digeruni.

“Bagi saya, bukan mudah hendak membentuk dan membawa nama pasukan sehingga peringkat tertinggi.

“Namun begitu, ia bukan alasan untuk saya dan pasukan terus berada di kedudukan bawah selamanya,” ujarnya.

Sejak itu, dia menambah, pasukannya mula mengorak langkah dengan meneruskan legasi kepada pemain-pemain baharu agar pasukan ini terus kekal dalam apa jua pertandingan bola sepak.

Tambah Coach Jibong, legasi pemain bola sepak USM bukan sahaja diteruskan dalam kalangan pelajar, malah turut melibatkan pemain dalam kalangan staf.

Kriteria pemain

Dalam pada itu, dia turut menjelaskan beberapa ciri yang dilihatnya sebagai jurulatih dalam diri setiap pemain.

Katanya, ciri-ciri tersebut bertujuan melahirkan pemain yang bukan sahaja berkebolehan di atas padang tetapi dikagumi sebagai seorang pelajar.

“Ciri utama yang saya lihat dan perlu ada dalam diri seseorang pemain bola sepak adalah disiplin. Tanpa disiplin yang tinggi, ia akan menyebabkan imej buruk dalam diri pemain, katanya lagi.

Coach Jibong menambah, tanpa pengetahuan tentang bola sepak tetapi memiliki disiplin tinggi masih boleh dibentuk dan diasah jurulatih.

Dia berkata, sebagai contoh, disiplin dapat dilihat melalui kehadiran pada sesi latihan mengikut masa yang ditetapkan serta cakna dengan setiap arahan atau teguran daripada jurulatih.

“Bukan itu sahaja, setiap pemain juga perlu menunjukkan semangat juang yang tinggi ketika beraksi atas padang sama ada ketika latihan atau perlawanan.

“Kesungguhan tersebut akan membuktikan pemain itu mempunyai sasaran yang tetap serta sentiasa bersedia untuk dilatih agar dapat menjadi seorang pemain bola sepak yang handal dan hebat,” ujarnya.

Tuturnya, semangat atas padang perlu ditanam dalam diri setiap pemain.

Jelas Coach Jibong lanjut, ia tidak terhad kepada bersemangat untuk menjadi juara sahaja tetapi memiliki semangat melatih diri dalam usaha menjadi pemain yang profesional.

Sehubungan itu, beliau berharap akan ada lebih banyak liga atau pertandingan dianjurkan pada peringkat IPT pada masa depan.

"Liga ini sebenarnya sebagai platform mencari bakat baharu pemain bola sepak yang boleh membawa nama negara kelak,” tambahnya.

Infografik

  1. Pertandingan Bola Sepak IPT (Johan – 2013)'
  2. Pertandingan Bola Sepak IPT (Naib Johan – 2014)
  3. Kejohanan Liga 3 Negara Thailand, Indonesia dan Malaysia (Naib johan – 2017)
  4. Piala KPT (suku akhir)

Artikel berkaitan

Pendedahan awal sukan bola sepak

Tidak pernah berpisah sejak kecil, kembar 3 teruja ikuti pengajian di USM

Cipta banyak kejayaan sepanjang 9 tahun bergelar guru, Cikgu Rahim buat warga sekolah bangga!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok