HomeGen ZPaCE, inisiatif komprehensif kempen kesedaran dan strategi vaksinasi oleh MSU

PaCE, inisiatif komprehensif kempen kesedaran dan strategi vaksinasi oleh MSU

Dengan senario Covid-19 di negara ini yang dilihat masih lagi dalam keadaan kritikal, semua pihak perlu meningkatkan kesiapsiagaan daripada pelbagai segi bagi menghadapi pandemik ini dengan lebih berkesan.

Setakat ini, persediaan yang diambil untuk menangani wabak ini termasuk aspek kesihatan awam dan kawalan pergerakan sejak Disember tahun lalu adalah pencegahan terbaik dan berkesan.

Ini tidak terkecuali bagi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang turut berperanan penting dalam menangani penularan pandemik ini di dalam negara.

IPT yang turut terlibat secara proaktif ialah Management and Science University (MSU) yang secara konsisten telah menjalankan pelbagai inisiatif khusus bagi melindungi warga MSU khasnya serta masyarakat amnya.

Justeru itu dalam menyokong sasaran 80 peratus imuniti kelompok di Malaysia melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Yayasan MSU melancarkan inisiatif komprehensif ‘Partnership for COVID Elimination’ (PaCE).

Ia merupakan kempen kesedaran dan strategi vaksinasi yang membolehkan MSU dan Managemet and Science University Medical Centre (MSUMC) berkongsi pelbagai bidang kepakarannya dalam usaha menangani penularan Covid-19.

Majlis pelancaran yang diadakan secara virtual turut dihadiri Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan barisan pengurusan kanan MSU, MSUMC, MSU College (MSUC), Majlis Keselamatan Negara, Negeri Selangor serta rakan industri.

Sejak 17 Mac lalu, MSUMC telah melaksanakan pemberian vaksin kepada kira-kira 16,000 orang penerima termasuk petugas barisan hadapan kesihatan serta warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Melalui inisiatif PaCE, MSUMC bakal menambah jumlah penerima vaksin daripada 1,000 sehari kepada 4,500 sehari khasnya dengan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MSU di Dewan Canselor di sini.

Secara keseluruhannya inisiatif PaCE melibatkan perlaksanaan lima komponen utama program iaitu kempen kesedaran kepentingan vaksinasi dalam memutuskan rantaian pandemik Covid-19 dan mengurangkan kadar kematian.

Kempen yang berlangsung sehingga Disember ini merangkumi siri perkongsian maklumat menerusi platfom dalam talian seperti webinar dan YouTube Live oleh pakar kesihatan awam seperti Datuk Dr Rohaizat Yon, Datuk Dr Christopher Lee, dan Dato Dr Khalid Ibrahim.

Mereka merupakan pakar kesihatan awam yang terlibat secara langsung dalam strategi menangani penularan pandemik Covid-19 di Malaysia.

Bagi komponen kedua pula, selaku PPV kepada ProtectHealth, Pusat Kesihatan Daerah (PKD), dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), MSU dan MSUMC akan terus mepertingkatkan kapasiti pemberian vaksin melibatkan kaedah pandu lalu dan home care selain keedah sedia ada.

Program vaksinasi ini akan memperkasakan lagi perlaksanaan Program Imunisasi Industri Covid-19, Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), dan PPV IPT melalui kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Komponen ketiga pula melibatkan penajaan syarikat korporat dalam menampung kos vaksinasi dan aktiviti kesukarelawan.

Sehingga kini, antara syarikat korporat yang telah menyumbang ialah Nippon Electric Glass (M) Sdn. Bhd, V.S. Industry Berhad, Puncak Niaga Holding, Mega Fortris (Malaysia) Sdn. Bhd, Hernan Corporation Sdn. Bhd, MV Technology Sdn. Bhd, JM Ching Management Sdn. Bhd, Greenway Links Sdn. Bhd, UnityLink Services & Agency Sdn. Bhd, United U-Li Corporation Berhad, Betelcare Sdn. Bhd., dan Zheng Food (M) Sdn. Bhd.

Komponen keempat, penglibatan warga MSU dan MSUC dalam aktiviti kesukarelawan melalui MSU Cares khusus kepada komuniti kumpulan B40 di sekitar Lembah Klang selaras dengan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Akhir sekali komponen kelima yang melibatkan pembabitan para penyelidik dan pelajar MSU dalam penyelidikan perubatan dan klinikal berkenaan Covid-19 dengan sokongan geran penyelidikan oleh Centre of Excellence di MSU.