PBS indikator sesuai nilai kemampuan sebenar murid - Pengarah Pendidikan Perlis
PBS indikator sesuai nilai kemampuan sebenar murid - Pengarah Pendidikan Perlis

PBS indikator sesuai nilai kemampuan sebenar murid - Pengarah Pendidikan Perlis

webadmin
31 Dec 2020 01:23am
A
A
A

KANGAR - Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan indikator sesuai yang mampu menilai kemampuan sebenar para pelajar secara holistik, kata Pengarah Pendidikan Perlis, Izmi Ismail.

Beliau berkata sistem itu yang diperkenalkan sejak 2014 semakin menunjukkan penerimaan yang baik malah dilihat telah meningkatkan prestasi akademik dan kokurikulum para pelajar mahupun sekolah.

"Keseimbangan ini yang diharapkan kementerian dalam membentuk para pelajar, kerana komponen PBS itu bersifat menyeluruh melibatkan Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat iaitu Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi)," katanya.

Izmi bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian keputusan PT3 dan pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Alawiyah (SMKAP Alawiyah) di sini semalam.

Menurut Izmi rata-rata sekolah menunjukkan perkembangan yang sangat baik dan tidak kurang juga yang mencatat peningkatan dari segi keputusan PT3 yang diumumkan semalam berbanding keputusan tahun sebelumnya.

Sementara itu Pengetua SMKAP Alawiyah, Shabariah Othman berkata prestasi dan penerimaan para pelajar di sekolah itu mengenai PT3 amat positif serta mereka lebih seronok untuk berusaha memajukan diri dalam bidang akademik dan kokurikulum, di samping lebih kreatif dan menonjol secara seimbang di sekolah.

Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar PT3 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan yang mahu dikenali sebagai Ainul Karim berkata, walaupun anaknya bukan dalam kalangan pelajar cemerlang PT3 tetapi telah menunjukkan banyak perkembangan positif.

"Sejak sistem PBS dilaksanakan saya boleh nampak anak saya lebih berkeyakinan tinggi dan tidak bermasalah dalam pembelajaran, berbeza sebelum ini kerana dia malas ke sekolah dan cepat putus asa.

Mungkin kerana sistem itu tidak hanya melihat dari sudut akademik sahaja, malah aspek kokurikulum juga ditekankan, membuatkan anak saya tidak rasa rendah diri untuk menonjolkan bakat beliau dalam bidang lain misalnya pidato, sukan dan persatuan," katanya kepada Bernama.

"Selain itu saya melihat perkembangan sosialnya juga lebih baik dan atas sebab itu juga telah mempengaruhi perkembangan akademiknya kerana lebih banyak beraktiviti dan bercampur dengan pelajar lebih cemerlang," katanya.

Di GEORGE TOWN, Abdul Rahman Said, 48, berkata ujian PT3 ada kebaikannya kerana ia berasaskan sekolah dan dinilai oleh guru-guru yang mengajar mereka.

Faktor jumlah 'A' semata-mata diperoleh dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang penting kerana apa yang penting adalah ilmu, katanya kepada Bernama ketika menemani anaknya mengambil keputusan PT3 di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St. George di sini semalam.

"Saya tidak pernah mendesak anak saya untuk mendapat A dalam setiap mata pelajaran, apa yang penting ialah beliau memahami dan dapat mempraktikkannya dalam kehidupan kelak," katanya yang turut bersyukur anaknya memperoleh 6A dalam peperiksaan itu.

Bagi seorang ibu Jasmin Lim Lee Che, 36, beliau mengharapkan sistem peperiksaan itu dapat diperbaiki seperti menyelaraskan kertas soalan supaya sama di setiap sekolah.

"Daripada apa yang saya tahu, pentaksiran ini berasaskan sekolah dan soalan diberikan berlainan di setiap sekolah. Saya berharap, pada masa akan datang, Kementerian Pendidikan dapat menyelaraskan soalan-soalan peperiksaan untuk mengelak kekeliruan," katanya.

Di KUALA TERENGGANU, pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Roslida Abdul Razak berkata PT3 sebenarnya menjadi kayu pengukur untuk pelajar bagi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

"Ini kerana PT3 tidak hanya diukur dari satu sudut sukatan mata pelajaran yang diambil oleh pelajar iaitu teori semata-mata tetapi juga mempunyai 'sinergi' dengan merangkumi aspek pemahaman dan lisan pelajar terhadap subjek diambil.

"Aspek berkenaan penting bagi pelajar untuk lebih menguasai dan mahir subjek untuk SPM yang lebih sukar daripada PT3," katanya ketika ditemui Bernama selepas mengambil keputusan PT3 anaknya Muhammad Saif Ridhaudeen Mohd Shahril di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas, Kuala Nerus, yang memperoleh 11A. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok