Projek STEM 3 guru bahasa Inggeris ini menang pertandingan antarabangsa bawa pulang geran RM45,000
Projek STEM 3 guru bahasa Inggeris ini menang pertandingan antarabangsa bawa pulang geran RM45,000

Projek STEM 3 guru bahasa Inggeris ini menang pertandingan antarabangsa bawa pulang geran RM45,000

Azliyana Sulaiman
31 Dec 2020 01:26am
A
A
A

TIGA guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah mencipta sejarah apabila menjadi pasukan sekolah pertama memenangi pertandingan antarabangsa Seeds for the Future di bawah Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) anjuran Amerika Syarikat.

Tiga guru tersebut Cikgu Mohd Al-Khalifa Mohd Affnan; Cikgu Dr Sirhajwan Idek dan Cikgu Ibrahim Ismail berjaya membawa pulang geran berjumlah RM45,000 (USD11,090) selepas menewaskan 24 pasukan lain yang turut menyertai pertandingan itu.

Pemenang dipilih berdasarkan tema projek membabitkan ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan belia selain justifikasi isu yang cuba diselesaikan serta bajet.

Cikgu Mohd Al-Khalifa berkata, terdapat 25 pemenang dari negara-negara Asia Tenggara dan pasukan ini yang mewakili Malaysia telah memenangi jumlah geran terbanyak.

"Geran ini akan digunakan untuk melaksanakan projek mensasarkan pelajar dan guru kolej vokasional seluruh Sabah serta sekolah di kawasan pedalaman.

"Projek yang dinamakan Eureka Hub ini berkonsepkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bahasa Inggeris," katanya.

Katanya lagi, Eureka Hub bertujuan meningkat kemahiran berkomunikasi, teknologi dan kreativiti peserta melalui lima skop, iaitu keusahawanan, robotik, dron, teknologi digital dan E-Sukan.

"Dalam bidang keusahawanan, peserta dilatih untuk mengembangkan idea dan membentangnya dengan cara kreatif serta meyakinkan manakala bagi bidang robotik dan dron pula, pelajar dan guru didedahkan dengan teknik pemprograman, pemasangan dan pengoperasian," katanya.

Menurutnya, peserta projek tersebut juga dilatih dalam bidang teknologi digital seperti membina aplikasi telefon mudah alih dan mempelajari seni grafik.

"Mereka juga berpeluang menyertai E-Sukan yang mampu meningkatkan daya kecerdasan.

"Pelaksanaan program ini bermula dengan melatih mentor dan fasilitator yang terdiri daripada pelajar dan guru KV Keningau," katanya.

Pelajar dan guru yang dilatih akan bertanggungjawab membantu pesera peserta program dalam setiap aktiviti.

Cikgu Mohd Al-Khalifa memberitahu, geran tersebut juga akan digunakan untuk membangunkan pusat teknologi 'Makespace' yang mampu menyediakan ruang bagi pelajar untuk mencuba pelbagai teknologi terkini, sesi perbentangan dan perbincangan idea serta kemudahan untuk melaksanakan kursus.

Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Johari@Jaibet Sabin berkata, guru dan pelajar kolej itu sentiasa berusaha mencuba sesuatu yang baru dan amalan memenangi geran untuk memperkembangkan projek pendidikan merupakan konsep yang ingin dibudayakan warga KV Keningau.

Pelajar Tahun Tiga Pembinaan Bangunan, Nur Syahirah Ariffin (kiri) dan Gabriella George cuba mengoperasikan dron.

Pelajar Tahun Dua Pengurusan Perniagaan, Welnna Selutan Menuel (kiri) bersama pelajar Tahun Tiga Teknologi Kimpalan, Jonathan Jones sedang memasang dron.

Pelajar Tahun Tiga Pembinaan Bangunan, Alesyah Asa sedang memasang robot.

Artikel berkaitan:

11 nota asas Matematik yang wajib dan sepatutnya murid Tahap Dua kuasai

Bina animasi guna aplikasi FlipaClip. Perkongsian menarik Cikgu Fazli BioSensei

Panduan langkah demi langkah bina Google Classroom sendiri berserta video

Hafal dalam masa sehari sepanjang rtempoh PKP,  murid pasti mahir sifir 1 hingga 12

Praktis rutin asas pendidikan digital

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok