graduan-USM-tumpang-motosikal
graduan-USM-tumpang-motosikal

Terperangkap dalam kesesakan, graduan USM tumpang motosikal untuk hadir ke majlis konvokesyen

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
24 May 2022 05:17pm

Menjelang hari majlis konvokesyen di beberapa universiti awam (UA), kita disajikan dengan pelbagai kisah menarik yang menyentuh hati serta memberi inspirasi kepada masyarakat.

Lain pula ceritanya di Pulau Pinang apabila seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang dalam perjalanan untuk menghadiri upacara konvokesyen terperangkap dalam kesesakan luar biasa yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang pagi tadi.

Menurut graduan terbabit, Kevin Rayappan, 28, dia mengambil keputusan untuk turun bersama jubah konvokesyen dan mencuba nasib menahan penunggang motosikal yang sudi menumpangkannya ke upacara konvokesyen USM.

Baca juga

Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor USM tetap kuat walaupun diuji dengan pemergian bapa ketika hadapi peperiksaan

Disiplin diri kunci kejayaan pelajar UTM, rangkul Anugerah Canselor dan Anugerah Akademik

“Saya memang sudah panik sebab jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi, namun saya bersama kedua ibu bapa masih tersekat dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang.

“Saya nekad turun bersama jubah konvokesyen dan cuba nasib tahan penunggang motosikal yang sudi tumpangkan saya untuk ke Upacara Konvokesyen USM,” katanya dalam satu kenyataaan, hari ini.

Namun, Kevin tetap meluahkan rasa lega dan teruja kerana ada insan yang sudi menumpangkannya sehingga ke USM, selain berjaya tiba dengan selamat untuk meraikan kejayaan menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan bersama rakan-rakan.

Mengulas lanjut ketika detik cemas itu, dia bersama kedua ibu bapanya keluar dari kediaman mereka di Seberang Jaya pada jam 6.30 pagi, tetapi tidak menyangka kesesakan teruk ekoran kemalangan maut yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang.

“Mula-mula saya harapkan kesesakan tidak berpanjangan tetapi setelah melepasi jam 9 pagi kenderaan masih tidak bergerak, saya nekad turun dan mencari alternatif kerana impian saya cuma ingin naik ke pentas terima skrol pada hari ini.

“Saya tidak sempat berbual panjang dengan insan mulia tersebut yang sanggup tumpangkan saya kerana dalam keadaan tergesa-gesa namun saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Tanpa bantuan beliau, saya mungkin tak sempat merasa naik ke pentas pada hari ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, pihak pengurusan universiti dan Sekretariat Upacara Konvokesyen Ke-59 USM memahami kesulitan yang dialami para graduan pada sidang kelima hari ini dan menangguhkan upacara selama 30 minit.

Upacara Konvokesyen yang sepatutnya bermula pada jam 10 pagi ditangguhkan sehingga ke 10.30 bagi memberi laluan kepada mereka yang terkesan dengan kesesakan akibat dari kemalangan itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp