Tolak tepi rasa penat, pengorbanan Cikgu Non wajar jadi inspirasi golongan pendidik hari ini
Tolak tepi rasa penat, pengorbanan Cikgu Non wajar jadi inspirasi golongan pendidik hari ini

Tolak tepi rasa penat, pengorbanan Cikgu Non wajar jadi inspirasi golongan pendidik hari ini

Roshlawaty Md Raieh
11 Nov 2022 06:03pm
A
A
A

“Selagi hayat dikandung badan, selagi masih bernafas dan roh dalam jasad, saya akan terus mencurahkan ilmu sehingga ke noktah terakhir.”

Demikian kata penerima Tokoh Guru Negeri Kedah 2022, Cikgu Zainol Abidin Mohamad, 64, ketika ditanya Sinar Bestari berkenaan tempoh masa untuk mengajar walaupun sudah bersara.

Cikgu Zainol Abidin atau lebih mesra disapa Cikgu Non berkata, 64 hanyalah sekadar angka dan dalam dirinya masih banyak perjuangan yang belum diselesaikan.

“Saya masih mahu mencurahkan ilmu kepada anak-anak didik terutamanya berkaitan subjek Matematik dan Matematik Tambahan kepada pelajar Tingkatan Tiga hingga Lima.

“Rasa ralat jika tidak berkongsi segala formula yang ada kepada mereka.

“Walaupun ramai yang berpesan menyuruh saya ‘berehat’ dari dunia pendidikan, namun saya tidak boleh lakukan. Hati ini tetap mahu mengajar dan terus mengajar,” katanya dengan penuh bersemangat.

Cikgu Non

Mengulas lanjut mengenai anugerah yang diterimanya pada sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah 2022, baru-baru ini, Cikgu Non memberitahu, dia rasa terkejut di atas pengiktirafan tersebut.

Beliau yang menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil dan piala yang disampaikan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyatakan anugerah tersebut terlalu bernilai buat dirinya.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya saya dinobatkan sebagai penerima Tokoh Guru Negeri Kedah tahun ini.

“Dengan penganugerahan tersebut, ia akan lebih menguatkan semangat saya untuk terus berbakti kepada anak bangsa,” ujar anak jati kelahiran Changlun, Kedah ini.

Sementara itu, Cikgu Non yang kini aktif mengajar dan sering dipanggil memberi ceramah teknik menjawab peperiksaan berkata, dia berasa sangat sebak apabila ramai kalangan anak-anak didiknya telah berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Cikgu Non bersama isterinya, Mumtaj pada sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah 2022.

“Ada yang sudah bergelar akauntan, peguam, doktor, profesor, dekan dan banyak lagi kerjaya profesional yang lain.

“Sebagai seorang guru, saya tumpang gembira dengan pencapaian mereka.

“Walaupun dulu pernah marah dan tegur jika mereka buat silap, tetapi ingatlah, ‘marah’ seorang guru itu bukan bermakna benci, tetapi kerana mahu menjadikan kalian sebagai manusia yang berguna kelak,” ujarnya yang merupakan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah.

Dalam pada itu, Sinar Bestari menghubungi Guru Besar, SK Dato’ Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai personaliti Cikgu Non ini.

Menurut Cikgu Mohd Nizam, Cikgu Non sememangnya layak menerima anugerah Tokoh Guru Negeri Kedah 2022 kerana terlalu banyak sumbangan beliau dalam dunia pendidikan terutamanya kepada sekolah terbabit.

Ujarnya, Cikgu Non adalah orang pertama yang akan menghulurkan bantuan kepada SK Dato’ Wan Kemara terutamanya yang melibatkan pembangunan infrastuktur sekolah dan kebajikan murid.

“Sebuah van berharga RM128,000 telah beliau usahakan untuk kegunaan warga sekolah ke pertandingan sama ada peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Selain itu, Cikgu Non juga sentiasa melibatkan diri dalam program sekolah terutamanya yang membabitkan murid, ibu bapa dan komuniti.

“Program-program seperti gotong-royong, pembangunan sahsiah, ziarah cakna ke rumah murid dan sebagainya akan disertai oleh Cikgu Non tanpa memikirkan penat lelah dirinya,” ujar Cikgu Nizam.

Akhir sekali, Cikgu Nizam mewakili seluruh warga SK Dato’ Wan Kemara mengucapkan tahniah dan terus maju jaya kepada Cikgu Non.

Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang terbaik untuk terus berbakti pada agama, bangsa dan negara.

BIODATA

Nama Penuh: Zainol Abidin Mohamad

Asal: Pekan Lama Changlun, Kedah

Isteri: Mumtaj Hassan (59 tahun)

Anak-anak:

1. Rusyidah (32 tahun)

2. Mohd Alias (31 tahun)

3. Mohd Hanif (26 tahun)

4. Mohd Rafiq (24 tahun)

Akademik:

1. Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra, Kedah

2. Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra, Kedah

3. Universiti Pendidikan Sultan Idris

4. Universiti Utara Malaysia (UUM)

Pengalaman Kerja:

Guru di SMK Changlun (1980-2007)

Penglibatan dalam NGO:

1. YDP PIBG SK Dato' Wan Kemara ( 2007 - kini)

2. YDP SMK Changlun (2011 - kini)

3. YDP SMK Jitra ( 2012 - kini)

4. YDP PIBG/Pelibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS) Daerah Kubang Pasu (2018- kini)

5. YDP PIBKS Negeri Kedah (2021 -kini)

6. Focal Person Kebangsan Kementerian Pendidikan (KPM) ( 2020 - kini)

7. Ahli Majlis Eksekutif Persatuan Alumni UUM ( 2022- kini)

Anugerah:

1. Ikon PIBK/PIBG Daerah Kubang Pasu

2. Tokoh YDP Cemerlang Peringkat Negeri Kedah 2022

3. Tokoh Guru Daerah Kubang Pasu 2022

Artikel berkaitan 

Kerana kasih seorang guru, Ustaz Ismail sanggup ke sekolah di pedalaman kongsi ilmu robotik

Cara susunan fail bagi Calon Guru Cemerlang, ada 6 cadangan terbaik perkongsian Ustazah Aminah

Jangan abaikan 7 tip penting ini untuk menjadi guru yang cemerlang


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok