WhatsApp Image 2021-06-14 at 12.01.59 PM
WhatsApp Image 2021-06-14 at 12.01.59 PM

UPSI kongsi ilmu pulihara ekosistem dengan Indonesia

Mariatul Qatiah Zakaria
14 Jun 2021 01:04pm
A
A
A

TANJUNG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkongsi ilmu dan pandangan mengenai kepentingan serta usaha pemuliharaan ekosistem alam sekitar bersama pakar ilmuan dari Indonesia, baru-baru ini.

Menurut Dekan Fakulti Sians Kemanusiaan UPSI, Profesor Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim, Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia bagi tahun ini adalah bertujuan mendidik dan meningkatkan penghayatan pelajar dan masyarakat memahami kepentingan ekosistem dalam alam sekitar.

Tambah beliau, penghayatan Hari Alam Sekitar amat penting dengan tema, ‘Pemulihan Ekosistem’ selari dengan mottonya ‘merenung semula, mencipta semula dan memulihkan semula’.

“Program dibawah Fakulti Sains Kemanusia anjuran Jabatan Geografi dan Alam Sekitar ini akan berlangsung selama sebulan dalam bulan Jun ini dan ia melibatkan aktiviti secara Virtual atau dalam talian (online).

“Pastinya program-program yang bakal dilaksanakan nanti akan melibatkan orang awam dan juga pelajar," ujarnya.

Pembukaan program tersebut telah dimulakan dengan program Webinar sehari yang bertemakan Pemulihan Ekosistem dan menampilkan panel Pensyarah Jabatan Geografi STKIP PGRI Sumatera Barat Indenesia, Erna Juita dan Pensyarah Jabatan Pendidikan Geografi Universitas Negeri Yogjakarta, Dr Nurul Khotimah.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan UPSI, Profesor Dr Marzita Puteh, merasmikan webinar sempena Hari Alam Sekitar Sedunia.

Turut dijemput sebagai panel adalah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya, Zuraini Ahmad Tajudin; Pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Profesor Madya Dr Fauziah Che Leh, dan Pensyarah Kanan Jabatan Geografi dan Alam Sekitar UPSI, Dr Mohmadisa Hashim selaku moderator.

“Dua panel dari negara jiran telah berkongsi pembangunan yang dilakukan kerajaan mereka dalam memulihara ekosistem di Pulau Jawa dan Pulau Sumatera.

“Menerusi webinar ini juga, wakil kita daripada JAS sempat memberi penerangan tanggungjawab jabatan itu terhadap proses pemuliharaan ekosistem selain imbasan mengenai masalah banjir serta pencemaran ini satu pendedahan yang positif kepada masyarakat supaya memahami kepentingan ekosistem dalam alam sekitar.

“Panel jemputan lain pula berkongsi pengalaman Malaysia dalam menghadapi bencana banjir besar pada 2014 lalu serta beberapa siri tragedi tanah runtuh yang berlaku disebabkan gangguan ekosistem,” tuturnya lanjut.

Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Dr Mohd Hairy menjelaskan, program-program yang telah dirancang akan dilaksanakan dalam situasi ‘lockdown’, di mana ia haruslah menjadi ikhtibar kerana pandemik Covid-19 ini juga dikatakan gangguan ekosistem oleh penyelidik di China disebabkan ekosistem haiwan liar yang disalahgunakan  menjadi makanan manusia di Pasar Makanan Laut Huanan di Ibu Negeri Wilayah Hubei pada lewat bulan Disember 2019.

Antara program-program yang akan dilaksanakan ialah Pertandingan ‘Tree Planting Programme’ di rumah, Selfie With Nature dan Kempen Alam Sekitar, Pertandingan ‘Go Green for Cash’, Pertandingan Video Teaser Kempen Bebas Sisa Klinikal Covid-19, Pertandingan Virtual Eco Walk, serta Pertandingan Infografik Alam Sekitar & Spread Awarenes of Nature.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok