Usaha PPT UiTM melangkaui komitmen universiti untuk bantu pelajar kurang kemampuan dan berkelayakan
Usaha PPT UiTM melangkaui komitmen universiti untuk bantu pelajar kurang kemampuan dan berkelayakan

Usaha PPT UiTM melangkaui komitmen universiti untuk bantu pelajar kurang kemampuan dan berkelayakan

webadmin
20 May 2021 04:03am
A
A
A

Dalam usaha untuk merealisasikan Malaysia menjadi sebuah negara maju, teras utama bagi mencapai impian ini adalah melalui pendidikan kepada semua. Dengan pendidikan, masa depan individu, keluarga, bangsa dan negara akan dapat diperbaiki.

Justeru, UiTM melalui penjenamaan semula Program Pra Diploma, mulai April 2019 Pra Pendidikan Tinggi (PPT) telah diwujudkan bagi membangunkan anak bangsa dalam segmen calon-calon yang tidak dapat tempat di IPTA disebabkan faktor ekonomi keluarga juga kurang kredit dari segi akademik.

Sejarah awal program ini bermula dengan Dewan Latehan RIDA yang menawarkan pengajian peringkat sijil pada tahun 1967, kemudian dijenamakan khas kepada Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) pada tahun 2010.

Menurut Pengarah PPT, Prof Madya Dr Aini Jaapar, program PPT telah memberi peluang yang luas sejak dari awal penubuhannya untuk memastikan pelajar pra diploma UiTM melanjutkan pengajian hingga ke peringkat yang seterusnya iaitu Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Kecemerlangan pendidikan hanya akan dapat dicapai dengan mengambil langkah pertama. Langkah permulaan ini pastinya akan memberi peluang dan harapan yang lebih besar kepada para pelajar untuk melangkah dengan lebih jauh di masa akan datang yang boleh mengubah masa depan keluarga mereka,” katanya.

Ini sejajar dengan falsafah UiTM yang menyatakan bahawa setiap individu mampu mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu serta penerapan nilai murni ke dalam jiwa mereka.

Sejak penjenamaan semula, PPT terus sentiasa melalui pelbagai penambahbaikan dari segi operasi dan penstrukturan tugas dengan penambahan jawatan tiga felo.

Selain daripada itu, program ini telah dibuka juga kepada golongan bukan B40 mulai Mac 2020. PPT menawarkan dua program akademik utama iaitu Pra Diploma Perdagangan dan Sains yang membabitkan di 13 buah kampus cawangan UiTM di seluruh negara dan tiga lagi program baru akan dijalankan iaitu Pra Diploma Agroteknologi, Pengajian Islam dan Sains Aliran Stem C dan Sastera.

Beri peluang kepada pelajar

Dr Aini menjelaskan, penawaran program akademik ini akan memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semasa dan lepasan lima tahun kebelakang yang memenuhi syarat asas tiga kredit untuk meneruskan pengajian di UiTM.

Beliau berkata, program ini merupakan bridging program ke Diploma UiTM dan buat masa ini terdapat empat laluan untuk ke program PPT iaitu B40 (pendapatan kasar ibu bapa kurang daripada RM4000), non B40 (pendapatan kasar ibu bapa melebihi daripada RM 4000), atlet (mewakili negeri/negara dalam kejohanan sukan) dan Orang Asli (berketurunan orang asli).

Setelah tamat menjalani program Pra Diploma, para pelajar ini akan diserapkan ke pengajian di peringkat Diploma di kampus di UiTM.

Program unik ini adalah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) UiTM di mana pembiayaan adalah dari dana dalaman UiTM antaranya pemotongan gaji bulanan kakitangan UITM secara sukarela, penjualan air mineral UiTM, sumbangan tetap tahunan dari International Continuing Educational & Profesional Studies (ICEPS) UiTM, sumbangan perseorangan atau alumni dan juga dari badan korporat antaranya Yayasan Sime Darby dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Pelajar-pelajar golongan B40 ini akan mendapat tajaan sepenuhnya dari segi yuran pengajian, asrama dan juga tambang pergi balik sepanjang tempoh pengajian iaitu satu semester sahaja.

Katanya, untuk merealisasikan agar PPT menjadi pilihan calon-calon yang tidak mendapat tempat di IPTA, pelbagai promosi dan program outreach yang proaktif telah dijalankan bagi menyampaikan maklumat berkaitan kepada golongan sasaran di setiap masa samada secara fizikal dan alam maya.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan adalah kolaborasi dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia seperti program bersama dengan Guru-guru Kaunselor sekolah menengah, taklimat pelajar-pelajar di sekolah-sekolah, karnival/ekspo dan PPD seluruh negara juga termasuk pameran PPT serentak seluruh negara semasa Hari Pengumuman SPM.

Selain dari itu, Hari Terbuka Khas untuk 300 Guru Kaunselor di peringkat Lembah Klang dan pelantikan Rakan PPT juga dilancarkan.

Begitu juga, program taklimat khas kepada guru kaunselor peringkat negeri juga pada orang awam contohnya oleh koordinator-kordinator negeri.

Hubungan PPT dengan agensi kerajaan juga dikukuhkan lagi melalui program-program kemasyarakatan dan motivasi antaranya Yayasan Kami Anak FELDA, Yayasan Pendidikan Malaysia, Yayasan Chow Kit, Yayasan Kebajikan Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Pendidikan Tinggi di seluruh Malaysia, PTPTN, Persatuan Ulamak Malaysia, IADA, SPRM dan LKIM.

Selain dari itu, PPT juga proaktif dengan jaringan kerjasama dengan ahli parlimen, Pengerusi MPKK dan Rukun Tetangga, Ketua-ketua kampung, kejiranan dan etnik, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Unit Penyelarasan Perlaksanaan, JPM (eKasih). PPT juga menjalinkan kolaborasi bersama Persatuan Alumni PPT, persatuan anak yatim dan ibu tunggal serta membuat taklimat promosi dan pengedaran poster di lebih 400 masjid yang diberikan kebenaran.

Pada tahun 2020, PPT telah menyertai pelbagai misi akademik yang lebih bersistematik di peringkat kebangsaan contohnya penglibatan bersama Kementerian Pengajian Tinggi Negara iaitu Jom selangkah ke UiTM, Jom masuk ‘U’ di lima buah zon, Program Pendidikan Tinggi anjuran bersama Felda di 14 wilayah Felda, perbincangan kolaborasi penyelidikan dan penajaan bersama Yayasan Terengganu dan Yayasan Diraja Sultan Mizan, taklimat  dan ceramah motivasi di sekitar Selangor serta program kemuncak 2020 iaitu UiTM Prihatin yang dirasmikan Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi di UiTM Shah Alam dan dilancarkan ke seluruh cawangan selepas itu.

PPT giat promosi

Menurut Dr Aini lagi, walaupun penularan wabak Covid sejak Mac 2020, PPT tetap meneruskan dan menambah usaha promosi secara atas talian. Pelbagai inisiatif media sosial telah dilancarkan antaranya hebahan melalui Facebook Page PPT, Facebook Page Alumni PPT, laman Sesawang PPT, komunikasi korporat, penampilan Facebook Live bersama Pengarah dan Koordinator dari setiap cawangan.

Selain dari laman sesawang PPT, facebook dan instagram PPT turut menyalurkan maklumat kepada orang ramai. Ini bertujuan memudahkan kepada masyarakat luar untuk lebih memahami sistem UiTM di peringkat Pra Diploma.

Bagi membantu pelajar yang baharu mendaftar, PPT di setiap kampus juga membuat inisiatif mewujudkan kumpulan whatsapp yang dikelolakan oleh Koordinator oleh di setiap cawangan bagi memudahkan urusan semua pelajar. PPT juga telah mendapat pujian dari orang awam dalam melayani pertanyaan orang awam. Maklum balas seperti ini menjadikan pemangkin agar staf-staf dan koordinator PPT untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Sokongan dan kerjasama dari pelbagai pihak terutamanya dari pensyarah yang mengajar pelajar-pelajar PPT yang sangat komited antara faktor terpenting kejayaan pelajar ini sejak tahun 2010.

Ini dibuktikan dengan peningkatan peratus pencapaian akademik pelajar dari 79% (2010) ke 96% secara purata hingga tahun 2020. Sehingga kini, seramai 44,000 pelajar telah menjalani program ini. Kejayaan 11 graduan PPT kumpulan pertama telah menyambung pengajian ke peringkat ijazah falsafah kedoktoran (PhD) amat membanggakan seluruh sistem PPT.

Dr Aini turut menambah, antara kejayaan pelajar Pra Diploma yang terkini adalah Nur Atiqah Nasser Shah, anak nelayan alumni PPT 2011 yang menerima pengiktirafan Anugerah Graduan Terbaik Khas peringkat Sarjana Muda Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pulau Pinang yang telah tamat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada 2018.

Sementara itu, kejayaan Nur Liyana Kamaruddin dari Program Pra Diploma Sains, UiTM Pulau Pinang telah turut serta dalam kumpulan pertandingan inovasi Robust Stretcher, mengharumkan nama PPT apabila meraih pingat perak dan menerima Special Award Highest Standard of Excellence daripada delegasi kerajaan Rusia; Ministry of Education and Science of Russian Federation di 7th International Exhibition of Inventions Geneva di Geneva, Switzerland, pada 8-16 April 2019 lalu.

Nur Liyana meraih pingat perak dan menerima Special Award Highest Standard of Excellence di Geneva, Switzerland, 2019.

Selain itu, dua lagi pelajar Pra Perdagangan dan Pra Sains dari UiTM Pulau Pinang iaitu Nur Alia Liyana Kamaruddin dan Ahmed Shah Irwan Abdul Aziz telah memenangi pingat perak dan gangsa di Seoul International Invention Fair (SIIF2018) di Seoul, Korea pada 5-10 September 2018 bagi inovasi kumpulan UiTM Pulau Pinang mereka terhadap Robust Stretcher dan Persistent Life Guard.

Selain daripada itu, pada tahun 2018, pelajar-pelajar alumni PPT di peringkat diploma dari kampus UiTM Kedah dan Pahang juga diberi pendedahan misi kemanusiaan ke negara Acheh, Indonesia.

Kisah kejayaan pelajar-pelajar ini membuktikan PPT telah berjaya dengan visinya iaitu pelajar-pelajar di bawah program ini mampu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi agar terlahir graduan yang berdaya saing, global dan beretika di setiap peringkat pembelajaran mereka.

Peroleh dana penyelidikan

PPT yang diketuai Dr Aini Jaapar turut memperoleh dana penyelidikan pada tahun 2019 iaitu dana dalaman SDG-Pulau Tuba dan kajian ini melibatkan motivasi untuk memahami persepsi anak-anak desa tentang pelajaran di masa depan.

Sepanjang tahun 2019 hingga kini, empat penerbitan kertas kerja yang berindeks juga turut dihasilkan antaranya kajian ke atas Orang Asli dan juga kajian pengesanan pelajar PPT secara umum.

Bukan itu sahaja, program ini turut dibentangkan oleh Dr Aini di FEIIC-International Conference on Engineering Education and Research 2019 Mekah, Kingdom of Saudi Arabia pada 2-5 November 2019. Juga, beberapa inovasi aplikasi telah di pertandingkan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dengan usaha yang komited dari semua pihak terutamanya dari pengurusan tertinggi UiTM, koordinator-koordinator PPT, pensyarah-pensyarah dan juga staf-staf yang terlibat, PPT akan terus memastikan pelajar-pelajar PPT mampu mencetuskan perubahan minda, keyakinan dan kepercayaan diri seterusnya melahirkan majoriti graduan yang berjaya dalam pelbagai bidang.

Memetik dari firman Allah SWT dalam surah Ar-Rad ayat 11

"Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri,"

Firman ini boleh diinterpretasikan sebagai apa-apa cabaran yang dihadapi oleh pelajar-pelajar PPT perlu ditukarkan kepada usaha-usaha positif secara berterusan untuk mempunyai masa depan yang cemerlang.

Pengarah PPT ini juga mengharapkan usaha UiTM yang berterusan dari tahun 1967 dalam membantu masyarakat golongan yang kurang berkemampuan terutamanya dari segi ekonomi dan akademik akan diteruskan secara konsisten dan sentiasa ditambah baik di masa-masa akan datang.

"Usaha ini memberi peluang yang luas untuk pelajar-pelajar PPT agar mereka lebih berdaya saing seperti kata peribahasa Melayu  duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bukan sahaja di peringkat negara tetapi juga antarabangsa," katanya lagi.

*****Ts Dr Wan Zuraida Wan Mohd Zain merupakan Felo Penyelidikan dan Penerbitan

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok