Berikut 10 pendidik cemerlang yang telah disenarai pendek (dari kiri, atas) Cikgu Anne, Cikgu Ashok, Cikgu Kok Ming, Cikgu Mohammad Shukri dan Cikgu Muhammad Anas manakala (dari kiri, bawah) Cikgu Muhammad Nur Asnawi, Cikgu Shawn Stanly,  Siti Ainulmursyida, Cikgu Siti Intan Farahana dan Cikgu Sumanthy.
Berikut 10 pendidik cemerlang yang telah disenarai pendek (dari kiri, atas) Cikgu Anne, Cikgu Ashok, Cikgu Kok Ming, Cikgu Mohammad Shukri dan Cikgu Muhammad Anas manakala (dari kiri, bawah) Cikgu Muhammad Nur Asnawi, Cikgu Shawn Stanly, Siti Ainulmursyida, Cikgu Siti Intan Farahana dan Cikgu Sumanthy.

10 pendidik cemerlang disenarai pendek RISE Educator Award 2024

ROSHLAWATY MD RAIEH
25 Apr 2024 05:15pm
A
A
A

Seramai 10 guru cemerlang yang mempamerkan impak pengajaran transformatif dan menunjukkan dedikasi luar biasa kepada komuniti pendidikan, telah disenarai pendek sekali gus bakal diangkat sebagai pemenang RISE Educator Award 2024 tidak lama lagi.

Penganjurnya, Taylor’s College memaklumkan, mereka (guru cemerlang) dipilih berdasarkan empat kategori iaitu Inovator dalam Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan Pendidikan; Pendokong Kebolehcapaian dan Pendidikan Khas; Juara dalam Kebolehcapaian dan Kesejahteraan Pelajar dalam Pendidikan serta Pembelajaran Berpengalaman dan Penglibatan Komuniti.

Mereka ialah Cikgu Goh Kok Ming dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hua Lian 1, Taiping, Perak; Cikgu Muhammad Anas Murugan Abdullah (Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Intan, Perak); Cikgu Siti Intan Farahana Mhd Fauzy (SK Bandar Laguna Merbok, Kedah); Cikgu Mohammad Shukri Mohd Zain (SK Pendidikan Khas Jalan Peel, Kuala Lumpur) dan Cikgu Siti Ainulmursyida Shamsudin (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orked Desa, Kuala Lumpur).

Turut terpilih Cikgu Sumanthy Appannah (SK Seri Setia, Perak); Cikgu Ashok Pillai Kuppusamy (SJKC Jerik, Pahang); Cikgu Anne Margarette Kho (SK Belipat Lawas, Sarawak); Cikgu Shawn Stanly Anthony Dass (SK RPS Banun, Perak) dan Cikgu Muhammad Nur Asnawi Romly (SK Pos Musoh LZ, Perak).

Seterusnya, lima guru dengan undian tertinggi akan melangkah ke peringkat akhir, dengan undian awam menyumbang 25 peratus kepada keputusan akhir.

Kemudian, kisah-kisah tersebut akan dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada Ketua Pengawai Eksekutif Teach For Malaysia, Chan Soon Seng dan pemenang RISE Educator of the Year 2023, Cikgu Kumaresan Muniandy dari SMK Khas Vokasional Merbok, Kedah.

Mereka (panel juri) akan menilai usaha dan impak sumbangan guru yang menyumbang 75 peratus untuk menentukan siapa penerima RISE Educator Award 2024 kelak.

Dalam pada itu, Taylor’s College berkata, pemenang RISE Educator Award 2024 akan menerima hadiah utama RM5,000 manakala pemenang pencadang meraih RM500.

Artikel Berkaitan:

Bagi sekolah penerima pula, sebanyak RM20,000 akan diberikan untuk pembangunan kemudahan atau infrastruktur sekolah.

Finalis lain akan menerima RM1,000 setiap seorang, dengan RM250 diberikan kepada pencadang mereka.

Wang tajaan RM10,000 pula akan diberikan untuk membangunkan kemudahan atau infrastruktur sekolah masing-masing.

Untuk mengetahui lebih lanjut kisah inspirasi 10 guru cemerlang yang terpilih, layari Facebook Taylor’s College dan laman web https://college.taylors.edu.my/en/the-risers/rise-educator-award-2024.html serta undilah cikgu luar biasa kesukaan dan kegemaran anda.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok