10 tokoh Muslim yang berjaya mengubah dunia
Sebagai seorang pelajar, mereka digalakkan mengenali tokoh yang hebat dan terkemuka serta berjaya mencipta nama dalam bidang masing-masing.
Ini kerana jasa dan sumbangan mereka begitu berharga dan boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
Hari ini, Sinar Bestari menyenaraikan 10 tokoh Muslim yang hebat dan pakar dalam bidang yang mereka ceburi.
Difahamkan, jasa dan sumbangan tokoh-tokoh ini sering menjadi tatapan dan sumber kepada pengkaji.
Jom! Kami bawakan nama-nama tokoh dan sumbangan mereka seperti dipetik menerusi portal MADADcentre.com baru-baru ini.
1) Ibn Sina (Bapa Perubatan Moden)
Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan iaitu sebagai doktor dan mahaguru bagi ilmu tersebut.
Ibnu Sina mula terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati doktor lain.
Kehebatan dan kepakarannya dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).
2) Abu Rayhan al-Biruni (Bapa Geodesi)
Dilahirkan di Khwarazm (kini Uzbekiztan) di Asia Tengah yang pada masa itu terletak dalam sempadan Kerajaan Parsi, al-Biruni mempelajari Matematik dan Astronomi daripada Abu Nasr Mansur.
Karya agungnya ialah Rasa’ll Al-Biruni, sebuah ensiklopedia Astronomi dan Matematik.
Kejayaannya yang dikagumi adalah menentukan musim dan pasang surut air laut; menentukan kedudukan garis lintang dan garis bujur bumi; mencipta jam dan kalendar; mencipta rumus trigonometri serta mencipta alat menyukat ketumpatan.
3) Ibn al-Nafis (Bapa Fisiologi Peredaran Darah)
Ala-al-din Abu al-Hassan Ali ibn Abi-Hazm al-Qarshi al-Dimashqi dilahirkan pada tahun 1213 Masihi (M) di Damsyik dan merupakan salah seorang Pakar Sains Islam yang hidup antara 1213 -1288 M.
Merupakan orang pertama yang menggambarkan peredaran darah dalam tubuh manusia (pada 1242) dengan tepat dan dikatakan lukisan kontemporari proses ini masih lagi wujud.
Ibn al-Nafis, orang pertama yang diketahui telah mendokumentasikan aliran paru-paru namun karyanya tidak ditemui sehinggalah pada 1924 di Berlin.
4) Ibn Khaldun (Bapa Sains Sosial Moden dan Sejarah Budaya)
Abd Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun merupakan salah seorang Pakar Sains Arab yang hidup antara 1332 - 1395. Lahir pada 27 Mei 1332 di Tunisia dan meninggal 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir.
5) Hasan Ibn Al-Haytam (Bapa Optik Moden/Kamera)
Beliau dikenali sebagai Ibn al-Haitham dan kadangkala sebagai al-Basri bersempena tempat kelahirannya di bandar Basra.
Selain itu, tokoh ini turut dikenali dengan gelaran Ptolemaeus Secundus (Ptolemy Kedua) atau Si Ahli Fizik di Eropah pada zaman pertengahan.
Menurut sejarah, tokoh ini merupakan manusia pertama yang memperincikan secara tepat pelbagai bahagian mata dan memberi penjelasan saintifik mengenai proses penglihatan.
Beliau menyangkal teori penglihatan Ptolemy dan Euclid yang menyebut mata menghantar sinaran visual kepada objek yang dilihat. Bagaimanapun, Hasan berkata, sinaran berasal dalam objek yang dilihat dan bukan dalam mata.
6) Zahrawi al-Ansari (Bapa Pembedahan Moden)
Zahrawi al-Ansari atau nama sebenarnya Abu al-Qasim Khalaf ibn al-Abbas al-Zahrawi dikenali di Barat dengan gelaran Abulcasis dan dianggap Bapa Pembedahan Moden.
Beliau merupakan seorang ahli bedah yang tinggal di al-Andalus pada zaman pertengahan dan dianggap Pakar Bedah terulung pada zamannya.
7) Muhammad al-Idrisi (Ahli Geografi dan Kartograf Hebat)
Abdullah Muhammad Al-Idrisi lahir 1099 M di Ceuta, Sepanyol dan meninggal pada 1166 M. Beliau merupakan salah seorang Pakar Sains Islam yang hidup di Sicily.
Sumbangan utama tokoh ini ialah menghasilkan peta bebola perak seberat 400 paun untuk Raja Roger II, lengkap dengan membahagikan dunia kepada tujuh iklim, laluan perdagangan, teluk, tasik, sungai, bandar-bandar besar, bukit dan lembah serta gunung-ganang.
Beliau juga mencatatkan jarak dan ketinggian sesuatu tempat dengan tepat.
8) Al-Khawarizmi (Bapa Algebra dan Algoritma/Matematik)
Al-Khawarizmi ialah seorang pakar dalam bidang matematik, astronomi dan geografi dari Iran juga dikenali sebagai Bapa Algebra.
Beliau ialah tokoh yang pertama kali memperkenalkan Aljabar dan Hisab malah beliau juga menghasilkan konsep-konsep Matematik yang begitu terkenal dan masih digunakan sehingga sekarang.
9) Ibn Batuta (Penjelajah Hebat Sepanjang Zaman)
Merupakan seorang Berber Maghribi dari golongan Muslim Sunni. Beliau cendekiawan dan ulama Mazhab Maliki dan kadang-kalanya berkhidmat sebagai kadi atau hakim.
Ibn Batuta tersohor sebagai penjelajah dan pengembara serta menulis mengenai pengembaraannya selama hampir 30 tahun merangkumi lebih kurang 117,000 kilometer.
Penjelajahannya meliputi daerah yang sekarang merupakan Afrika Barat hingga ke Pakistan, India, Maldives, Sri Lanka, Asia Tenggara dan China.
10) Abbas Ibn Firnas (Bapa Penerbangan)
Abbas Ibn Firnas merupakan salah seorang Pakar Sains Islam yang meninggal pada 888.
Pada 875, tokoh ini mencipta pelayangnya sendiri dan melayang turun dari menara. Penerbangan itu agak berjaya namun pendaratannya gagal. Belakangnya tercedera dan pengkritik mengatakan dia tidak mengambil kira cara burung mengepak ketika menjunam.
“Ibn Firnas was the first man in history to make a scientific attempt at flying.” - Philip Hitti, History of the Arabs