Cikgu Siti Zaitun (kiri) dinobatkan sebagai Guru KAFA Cemerlang Kebangsaan di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini. Kredit foto: Facebook Padps Pokok Sena
Cikgu Siti Zaitun (kiri) dinobatkan sebagai Guru KAFA Cemerlang Kebangsaan di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini. Kredit foto: Facebook Padps Pokok Sena

‘16 tahun berkhidmat, inilah kenangan terindah dalam hidup’ - Cikgu Siti Zaitun

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
01 Jun 2023 06:17pm

“Inilah pencapaian terbesar sepanjang 16 tahun saya berkhidmat sebagai guru dan saya akan jadikannya sebagai kenangan terindah yang sukar dilupakan seumur hidup,” kata Siti Zaitun Khazali yang baharu sahaja dinobatkan Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Cemerlang Kebangsaan.

Merupakan pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Jabi, Pokok Sena, Kedah, Cikgu Siti Zaitun yang kini berusia 51 tahun berkata, anugerah yang diterimanya itu bagaikan satu kejutan yang tidak disangka-sangkakan.

“Anugerah yang ALLAH SWT beri ini adalah rezeki yang tidak pernah terlintas di hati.

“Apa-apa pun, syukur alhamdulillah. Terima kasih ALLAH,” katanya pada Konvensyen KAFA di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.

Siti Zaitun menerima anugerah Guru KAFA Cemerlang Kebangsaan atas kesabaran dan kecekalannya mengajar murid Orang Kurang Upaya (OKU) membaca al-Quran dan mendalami ilmu pendidikan Islam menggunakan Braille.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, mengajar murid istimewa mempunyai cabarannya tersendiri dan ia menuntut banyak kesabaran ketika mengajar.

“Bukan semua murid saya mempunyai masalah penglihatan kerana ada juga yang menghidap autisme dan lain-lain kategori.

“Kita kena pandai menggunakan pendekatan psikologi kepada anak-anak didik ini.

Artikel Berkaitan:

“Kaedah pengajaran, pembelajaran dan aktiviti dijalankan sepenuhnya dalam tulisan Braille dan alhamdulillah, sepanjang saya mendidik ada antara mereka mendapat keputusan 6A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK),” jelas Cikgu Siti Zaitun lagi.

Dengan kejayaan yang dirangkul Cikgu Siti Zaitun itu, kami di Sinar Bestari mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru hebat ini.

Semoga anugerah yang diterimanya itu menjadi pembakar semangat untuk dia terus berjuang buat murid-murid OKU di SK Jabi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp