Norashuha (tujuh dari kiri) bersama sebahagian peserta Bengkel Kerja dan Lawatan Ilmu Jurulatih Utama SLB Negeri Johor 2023 yang mengikuti lawatan ke Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.
Norashuha (tujuh dari kiri) bersama sebahagian peserta Bengkel Kerja dan Lawatan Ilmu Jurulatih Utama SLB Negeri Johor 2023 yang mengikuti lawatan ke Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.

38 Jurulatih Utama Johor timba ilmu penulisan kreatif di Karangkraf

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
04 Sep 2023 02:33pm

Bagi merealisasikan hasrat melahirkan pelajar sebagai generasi pemimpin muda yang baik, bijaksana dan berwibawa, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah menganjurkan lawatan berilmiah ke Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.

Lawatan yang dikenali Bengkel Kerja dan Lawatan Ilmu Jurulatih Utama Badan Pemimpin Muda Sekolah atau Student Leaders Board (SLB) Negeri Johor 2023 itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berhubung teknik penulisan kreatif.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Unit Hal Ehwal Murid JPN Johor, Norashuha Tajuddin, seramai 38 jurulatih utama SLB menjadi peserta dan mereka merupakan Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) yang terpilih bagi mewakili daerah masing-masing di negeri berkenaan.

“Menerusi lawatan ini, saya mewakili jabatan berharap semua peserta memperoleh pelbagai ilmu dan teknik penulisan yang dikongsi Editor Grup Buku Karangkraf, Shahida Md Khasim.

“Apabila peserta (jurulatih utama SLB) memahami tip yang disampaikan mereka akan berkongsi pula dengan SLB di sekolah sekali gus membentuk dan melatih pelajar dalam bab kepimpinan,” ujarnya.

Bengkel Kerja dan Lawatan Ilmu Jurulatih Utama SLB Negeri Johor 2023 yang dianjurkan Sektor Pembangunan Murid, JPN Johor antara lain memberi fokus melahirkan sekumpulan SLB di Johor bagi mewujudkan legasi yang kreatif, dinamik serta inovatif.

Selain menjadi pemimpin, SLB turut ditugaskan menjadi perancang, pengelola dan kumpulan pemikir yang akan membantu guru di sekolah dalam menjayakan sesebuah aktiviti atau kegiatan.

Sebanyak 11 kohort SLB telah dilatih dan sehingga kini seramai 215 pemimpin muda berjaya dilahirkan, dengan masing-masing sudah berjaya mencipta nama di dalam dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Norashuha berkata, pihaknya memilih Kumpulan Karangkraf sebagai lokasi kerana kredibiliti syarikat itu yang cukup gah dalam dunia penerbitan, percetakan serta pengedaran majalah, buku, surat khabar dan bahan bercetak di Asia Tenggara.

“Karangkraf adalah satu nama besar dalam industri penerbitan dan media cetak. Pelbagai anugerah dan pencapaian telah mereka raih sepanjang penubuhan.

“Rentetan daripada kejayaan inilah JPN Johor mengadakan lawatan ke sini dan berharap ia bakal menjadi kerjasama berterusan antara kami dengan Karangkraf kelak,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp