No Image Caption

5 tip pelajar menjadi huffaz dan cemerlang akademik

AZLEENDA SAHALUDIN
27 Mar 2023 10:35am
A
A
A

Melihat kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015, Kementerian Pendidikan (KPM) bertungkus lumus menyediakan pendidikan berkualiti bagi mempersiapkan murid dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran relevan berteraskan nilai keislaman yang kukuh.

Untuk itu, Model Pendidikan Ulul Albab telah diperkenalkan dan diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara sejak 2014 dengan bertujuan melahirkan golongan profesional dan cendekiawan agama hafiz al-Quran.

Lebih menarik, model pendidikan berkenaan menitikberatkan pendekatan Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik yang seimbang antara bidang keagamaan dan akademik dalam melahirkan modal insan holistik serta serba boleh meliputi pelbagai aspek.

Kali ini Sinar Bestari kongsikan lima tip yang boleh diamalkan pelajar untuk cemerlang menjadi seorang huffaz dan juga berjaya dalam akademik.

1) Fokus

Pelajar yang bercita-cita menjadi seorang huffaz di samping cemerlang dalam pelajaran hendaklah sentiasa memberikan sepenuh perhatian semasa pembelajaran sama ada di dalam kelas atau sesi mempelajari al-Quran. Ia bertujuan memastikan seseorang pelajar itu dapat mendalami dan memahami setiap ilmu yang diperoleh malah memudahkan urusan mereka menghafal al-Quran dengan lebih cepat. Sekiranya pelajar mampu fokus ketika menuntut ilmu pasti mudah jalan mereka untuk melakar dan mencapai sesuatu kejayaan.

2) Bijak bahagi masa

Sebagai seorang pelajar yang sentiasa padat dengan aktiviti harian, mereka perlu bijak membahagikan masa supaya tidak terasa terbeban. Malah pengurusan masa yang berkesan juga mampu mendorong seseorang itu menjalani kehidupan seharian dengan lebih teratur, sistematik dan lancar. Sebagai contoh, pelajar boleh menyusun jadual aktiviti harian dengan bangun awal pagi untuk membaca serta menghafal al-Quran sebelum ke kelas dan beriadah di waktu petang.

3) Baca secara berulang kali

Sama seperti membaca nota-nota pelajaran yang memerlukan proses berulang kali, begitu juga dengan teknik menghafal al-Quran. Pembacaan secara berulang akan membantu menguatkan daya ingatan sekali gus mengukuhkan kefahaman tentang sesuatu perkara. Ia juga boleh dilakukan pada waktu lapang. Daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah, lebih baik dipenuhkan dengan aktiviti yang bermanfaat.

Artikel Berkaitan:

4) Rehat yang cukup

Setiap pelajar perlu mendapatkan rehat dan tidur yang cukup kerana ia berpotensi meningkatkan pembelajaran dan memori. Terdapat kajian menunjukkan tidur memainkan peranan penting dalam aspek memori, sekali gus mempengaruh kebolehan seseorang untuk belajar. Dalam Islam juga ada menyatakan tentang tidur sekejap pada pertengahan siang hari iaitu Qailulah yang boleh membantu meningkatkan kecerdasan, emosi dan fokus pelajar.

5) Penjagaan makanan

Pemilihan makanan memainkan peranan terutama untuk mereka yang masih bergelar pelajar. Bagi mereka yang sedang berusaha menjadi seorang huffaz adalah penting untuk menitikberatkan soal pemakanan seharian bagi memudahkan urusan pembelajaran dan hafalan. Terdapat banyak makanan sunah yang boleh diamalkan selain membantu menajamkan minda pelajar antaranya kurma, kismis dan madu. Selain itu, pelajar hendaklah mengelak mengambil sebarang makanan berbentuk syubhah yang bermaksud tidak jelas atau keliru antara halal atau haram. Sebagai seorang yang beragama Islam lebih-lebih lagi sedang menuntut ilmu, menjadi kepentingan untuk mencari makanan atau produk yang diyakini halal serta mendapat pensijilan halal dan dari badan Islam luar negara yang telah diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok