Awang Sariyan Tokoh Guru Suluh Budiman UPSI 2023
Cendekiawan Senator Datuk Seri Profesor Dr Awang Sariyan sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi di negara ini.
Jasa dan sumbangan yang diberikan kepada negara terlalu banyak sehinggakan beliau menjadi idola semua lapisan umur masyarakat.
Jawatan penting seperti Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University (BFSU); penyandang Kursi Za’ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); penyandang Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di Beijing; menjadi Profesor tamu di beberapa universiti terkemuka antarabangsa dan banyak lagi sememangnya tepat untuk beliau galas.
Dalam berkongsi kepakaran dan kemahiran sedia ada, Awang Sariyan turut menerbitkan 70 buah buku ilmiah, buku umum, buku teks dan buku himpunan puisi.
Selain itu, beliau turut menerbitkan lebih daripada 500 makalah dalam jurnal, majalah dan surat khabar serta lebih 200 kertas kerja dan syarahan yang disampaikan seluruh pelosok dunia.
Kerana kehebatan dan kebijaksanaan Awang Sariyan ini, maka selayaknya beliau dianugerahkan Tokoh Guru Suluh Budiman UPSI 2023 pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Sambutan Hari Guru UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, Tanjong Malim, Perak pada Rabu.
Menerusi anugerah tersebut, Awang Sariyan yang berasal dari Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000, selempang tokoh dan sijil iringan.
Selain Awang Sariyan, beberapa lagi penerima anugerah pelbagai kategori turut hadir menerima penghargaan yang diberikan kepada mereka.
Antara penerima kategori Anugerah Tokoh Guru Alumni adalah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Perak, Khairudin Abu Hanipah; bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Perlis, Datuk Hamdan Bahari; Sasterawan Negara 2022, Datuk Rahman Shaari; penerima Hadiah Sastera Malaysia 2014, Profesor Dr Abdul Halim Ali dan komposer terkenal, Rozman Shafie atau LY.
Seterusnya, 14 guru turut terpilih menerima Anugerah Guru Cemerlang antaranya Ikon Guru Teknologi Pendidikan Kebangsaan, Cikgu Abd Rahman Ali Bashah; Pemenang Malaysia Teacher Prize 2022, Anuthra Sirisena dan Tokoh Abdullah Uraiqith-Sambutan Maulidur Rasul Negeri Melaka 2021, Chan Chin Ho.
Kesemua penerima membawa pulang duit syiling ‘Peringatan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI’ dan sijil iringan.
Sementara itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI berkenan mencemar duli lafaz pelancaran dan menganugerahkan kurniaan Anugerah Guru kepada penerima terpilih di hadapan lebih 5,000 pengunjung yang terdiri daripada warga universiti, para guru, kakitangan kerajaan, para alumni dan masyarakat sekitar daerah Muallim.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff ketika menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih berkata, tema ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’ tahun ini amat bertepatan dengan aspirasi menjulang pendidik yang berilmu dan tinggi nilai pekerti.
“Tema ini amat simbolik dengan peranan sebenar guru dalam membangunkan jiwa murid agar tidak bersandar kepada bilangan ‘A’ yang dicapai semata-mata,” ujarnya.
Menurut beliau, majlis seumpama ini sememangnya diadakan setiap tahun bagi menghargai pengorbanan seorang insan bergelar guru yang telah mendidik anak bangsa tanpa jemu.
“Jika ditelusuri sejarah tanah Muallim, di sini lahirnya insan termulia yang bergelar guru.
“Misalnya, UPSI telah melahirkan legasi pendidikan di seluruh negara, bermula dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) sehingga terukirnya nama-nama tokoh guru yang hebat seperti Pendeta Za’ba, Aminuddin Baki, Tun Rahman Abbas, Ibrahim Haji Yaakub, Tun Abdul Ghafar Baba dan ramai lagi.
“Mereka yang dikategorikan sebagai tokoh pendidik ini telah memberi banyak inspirasi kepada kita dalam menabur bakti sebagai warga pendidik,” ujarnya.