No Image Caption

Bapa ubah suai basikal demi keselesaan hantar anak ke sekolah

20 Aug 2024 04:43pm

Kasih ibu bawa ke syurga kasih bapa sepanjang masa. Itulah perumpaan yang sangat sesuai bagi menggambarkan pengorbanan seorang lelaki yang sanggup memerah keringat bagi menghantar anaknya ke sekolah.

Menurut hantaran video yang dimuat naik di media sosial, seorang bapa dilihat begitu kreatif dengan mengubah suai basikal menggunakan tong sampah demi keselesaan anak bongsunya yang berada di Tahun Satu untuk ke sekolah.

No Image Caption

Bapa yang dikenali sebagai Basri itu, memasang dua buah tong sampah pada bahagian sisi kiri dan kanan untuk memudahkan anaknya Putri Sarah meletakkan kaki serta memuatkan beg sekolah sepanjang perjalanan.

Susulan video tersebut telah mendapat perhatian aktivis masyarakat, Adrian Edy.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram, Adrian telah berkongsi pertemuannya dengan keluarga itu selain turut menghadiahkan sebuah motosikal.

"Motosikal kasih rakyat, daripada rakyat untuk rakyat. Menangis di Lahad Datu kelmarin, beberapa hari lalu ternampak video pak cik Basri yang menunggang basikal bersama anaknya, Putri Sarah ketika balik dari sekolah. Tersentuh hati dan terus terdetik di hati untuk membantu serba sedikit. Syukur Tuhan pertemukan.

"Kami hadiahkan sebuah motosikal baharu buat Pakcik Basri supaya boleh digunakan untuk menghantar dan ambil anaknya,ke bandar membeli barangan keperluan dan memudahkan sedikit kerjanya.

Artikel Berkaitan:

"Terkejut beliau nampak motosikal ini dan dalam masa yang sama sangat bersyukur. Mungkin ini rezeki anak katanya. Beliau tidak pernah menyangka akan mendapat hadiah motosikal. Rezeki ni semua dari Tuhan untuk keluarga orang yang baik baik. Tuhan sayang pakcik dan keluarga," kongsi Adrian.

Ternyata pengorbanan bapa ini sungguh besar. Biarpun tidak memiliki kemudahan kenderaan tetap berusaha menghantar anak ke sekolah dengan kudrat yang ada.

Edy turut berkongsi pengorbanan dan kasih seorang bapa untuk melihat anaknya menjadi insan berpendidikan.

"Pakcik Basri dahulu kerja jual aiskrim di sekitar Lahad Datu. Selama 11 tahun beliau menjualnya namun terpaksa berhenti disebabkan keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan. Dengan keuntungan jualan dari pagi sampai petang sebanyak RM30 hingga RM40 beliau menyara 10 anak," kongsinya lagi.

Menurut Edy, setiap hari Basri akan mengayuh basikal bermula jam 11 pagi untuk menghantar Putri Sarah dan menjemput pulang pada jam 5 petang.

"Selepas hantar anaknya, pak cik Basri akan tunggu di masjid sambil solat sehingga jam 5 petang, baru ambil Putri Sarah balik.

"Jarak dari rumah ke sekolah dalam 20 minit juga.

"keluarga ini tiada kereta. Jika perlu ke bandar, mereka akan menumpang orang," katanya.

Memuat naik gambar dengan basikal yang diubahsuai warga emas itu pada jarak dekat, Edy meluahkan rasa kagum.

"Saya sempat tengok basikal yang pakcik Basri pakai. Unik dan kreatif sangat, tempat simpan beg sekolah pakcik gunakan tong sampah kecil manakala ruang untuk kaki juga gunakan tong sampah kecil.

"Pertama kali dalam seumur hidup saya lihat basikal yang unik seperti itu. Kalau hujan dia akan pasang kain di atas tu untuk lindungi Putri Sarah.

"Katanya biarlah pakcik berpanas dan berhujan janji anak pakcik tidak kena hujan dan panas katanya," kongsi Edy lagi.

No Image Caption

Beliau turut memberikan sumbangan wang dan bekalan makanan buat keluarga itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp