Belanjawan 2024: Peruntukan bantu guru untuk beli bahan pembelajaran
Memegang posisi sebagai seorang guru tidak terhad dengan mengajar dan mencurahkan segala ilmu kepada pelajar semata-mata.
Adakalanya pengorbanan warga pendidik seperti masa dan wang ringgit tetap dilakukan penuh keikhlasan demi memastikan aktiviti pembelajaran berjalan dengan lancar.
Baru-baru ini Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad memohon supaya kerajaan mempertimbangkan satu peruntukan dalam menyediakan bantuan peralatan mengajar kepada golongan guru.
Jelas beliau, dengan peningkatan harga barang ketika ini, kos yang terpaksa dikelurkan oleh guru bagi menampung perbelanjaan untuk perkara tersebut memakan ratusan ringgit.
“Barang semakin mahal. Kertas, kad manila, peralatan mewarna dan pelbagai lagi adalah keperluan dalam pengajaran.
“Nampak macam remeh tetapi kalau dihitung untuk setahun, ratusan ringgit juga seorang guru terpaksa belanja guna duit poket sendiri untuk memastikan pengajaran mereka berkesan.
“Semoga dalam Belanjawan 2024 nanti, kerajaan berikan peruntukan one off RM150 untuk tujuan ini kepada semua guru. Sekurang -kurangnya ia adalah tanda keprihatinan kerajaan kepada pergorbanan para guru dan kepentingan pembelajaran murid-murid,” ujarnya.
Ujar beliau, jika diluluskan peruntukan berkenaan, para guru pula mestilah membantu sekolah dengan membeli keperluan pengajaran mereka di koperasi sekolah.