
Bengkel Pendidikan 360 darjah, inisiatif bantu pelajar golongan B40
Pembangunan jati diri dalam kalangan remaja merupakan aspek penting yang tidak boleh dipandang ringan.
Lebih-lebih lagi bagi remaja dari golongan B40, yang sering berhadapan dengan pelbagai kekangan sosioekonomi yang boleh menjejaskan potensi diri serta masa depan mereka.
Inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Impian Kencana bagi menganjurkan Bengkel Pendidikan 360 darjah sebagai usaha proaktif untuk melahirkan generasi muda yang berkeyakinan.
Pengasas pertubuhan berkenaan, Shu Yi berkata, pihaknya tidak akan berputus asa untuk membekalkan kurikulum di luar bilik darjah terutama di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, Kuala Lumpur.
“Saya ada membaca satu laporan dari United Nations Children’s Fund (UNICEF) bahawa ramai pelajar dari Lembah Klang yang menetap di PPR memilih untuk berhenti sekolah.
“Perkara ini membimbangkan sebenarnya. Saya juga berasal daripada keluarga miskin bandar namun sudah berada di tempat yang lebih baik.
“Kini, tiba giliran saya untuk membantu dan menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.
Bengkel Pendidikan 360 darjah tersebut merupakan program percuma yang dijalankan selama lima bulan dan pedagogi direka untuk membantu peserta meningkatkan keyakinan diri, meneroka bakat serta mencapai potensi peserta.
Dalam pada itu, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Impian Kencana, Bei Yi Lee berkata, program yang berlangsung pada tahun 2025 itu menyasarkan sekurang-kurangnya 30 murid sekolah menengah berumur lingkungan 14 hingga 16 tahun sekitar Lembah Klang.
“Kami sangat mengalu-alukan pendaftaran peserta dan pengangkutan akan disediakan kepada mereka yang ingin menghadiri bengkel di PPR Pekan Kepong.
“Selain itu, makan tengah hari turut disediakan sepanjang bengkel dijalankan,” katanya ringkas.
Menariknya tentang bengkel tersebut, peserta juga berpeluang untuk dibimbing oleh barisan jurulatih dan sukarelawan yang datang daripada pelbagai latar belakang pendidikan serta kerjaya.