Bengkel PSS dan NILAM bantu guru rangka strategi galak amalan membaca dalam pelajar
Membaca merupakan kunci kepada ilmu pengetahuan yang harus disemai dalam diri setiap pelajar.
Justeru, bagi memastikan amalan tersebut dapat diterapkan dengan jaya, maka sekolah antara pihak utama yang bertanggungjawab terhadapnya.
Antara inisiatif yang perlu dilakukan adalah termasuk memastikan keteraturan pengurusan Pusat Sumber Sekolah (PSS) atau perpustakaan.
Peka dengan perkara tersebut, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama dan Perdana telah mengadakan Bengkel Pengurusan PSS dan NILAM pada Isnin dan Selasa.
Menurut Penolong PPD Petaling Utama, Maria Farinna, program tersebut mendapat penyertaan daripada seramai 80 orang guru di sekitar daerah tersebut.
Jelas beliau, menerusi seminar berkenaan, para guru akan didedahkan cara pengurusan pusat sumber bermula daripada mendapatkan buku sehingga projek nilam.
“Mereka turut mendapat perkongsian daripada guru berpengalaman tentang bagaimana ingin menarik minat pelajar untuk lebih rapat dengan amalan membaca.
“Seperti kita sedia maklum, negara mensasarkan seorang pelajar perlu membaca paling minimum 42 buah buku dalam satu-satu tempoh, namun dapatan yang diterima menunjukkan ramai dalam kalangan kita hanya membaca lebih kurang 40 buah buku sahaja.
“Jadi, usaha memperkasa amalan pembacaan dalam diri para pelajar terutama memang diperlukan,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari pada program tersebut yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada Isnin.
Perkongsian semasa seminar itu disampaikan oleh Guru Cemerlang Perpustakaan dan Media Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu, Jerantut, Pahang, Cikgu Norafizah Abdul Razak.
Sementara itu, Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika berucap pada pembukaan program itu berkata, pihaknya amat menyokong usaha tersebut demi membangun masyarakat lebih intelektual.
Ujarnya, amalan pembacaan hakikatnya membantu ke arah pembentukan karakter tersendiri dalam diri seseorang.
Justeru, bagi memberi nafas baharu terhadap amalan tersebut, suasana yang menarik minat para pelajar terutama di PSS mesti diwujudkan.
“Kalau dahulu, bila orang tengok perpustakaan nampak sunyi dan menyeramkan sahaja. Kini sudah tiba masanya untuk ia menjadi tempat yang menarik.
“Maka, pendedahan dalam program ini tentang bagaimana menjadikan pusat sumber atau perpustakaan merupakan tempat yang santai dan menyeronokkan merupakan satu usaha yang bagus,” ulas beliau.