Warga pendidik antara individu yang sering mengalami stres dalam kerjayanya.
Warga pendidik antara individu yang sering mengalami stres dalam kerjayanya.

Cara Cikgu Nor Amin tangani stres! Berbaloi jika mahu mencubanya

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
19 Jul 2024 02:07pm

"Guru tidak dapat lari dari situasi stres. Ia akan sentiasa ada sepanjang kita bergelar pendidik.

"Bagaimanapun, stres tidak harus dijadikan penghalang untuk cikgu menjalankan tugas sebagai pendidik. Sebagai guru, anda perlu mengendalikan stres dengan betul supaya tidak melarat dan menjejaskan kerja serta orang di sekeliling termasuklah impak tekanan guru kepada murid,” kata Cikgu Nor Amin Lawisau kepada wartawan Sinar Bestari baru-baru ini.

Beliau yang kini Pensyarah Akademik, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Sabah memberitahu, stres adalah isu yang dihadapi oleh semua termasuklah pendidik di Malaysia.

“Saya melihat stres adalah isu yang boleh ditangani guru-guru dengan begitu baik sekali dengan syarat, kaedah dan cara yang sesuai pada kadar segera agar tidak mempengaruhi rutin kerja hakiki guru serta kehidupan di luar waktu kerja,” ujarnya.

Cikgu Nor Amin mengakui yang dirinya sentiasa berhadapan dengan stres sepanjang menjadi guru.

Sehubungan itu, beliau bersedia berkongsi serba sedikit pengalamannya dalam menangani tekanan untuk rujukan guru-guru di luar sana.

No Image Caption

*****

Apakah itu stres?

Normalkah guru menghadapi stres?

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan stres sebagai keadaan resah, cemas, tegang dan sebagainya akibat tekanan mental atau fizikal.

Kamus Oxford mendefinisikan stres sebagai satu tekanan atau desakan, usaha, tuntutan ke atas keupayaan fizikal atau mental.

Ahli psikologi, Walter Cannon (1920) dalam kajian (Johari & Noornazifah, 2010) menyatakan stres bermaksud gerak balas lawan atau lari (fight or flight).

Banyak simptom stres dalam kalangan guru. Antaranya ialah simptom pada fizikal. Misalnya kerisauan, sakit kepala dan sesak nafas.

Setiap guru mempunyai cara berbeza menangani stres walaupun berhadapan masalah sama.

Ini kerana, guru mempunyai tahap kesihatan berbeza, pengalaman hidup yang berlainan, persekitaran yang tidak sama, personaliti dan persepsi guru terhadap isu atau stres yang dilalui juga pelbagai ragam.

Kenapa guru stres?

Antaranya faktor bilik darjah. Bilangan murid 25-30 dalam satu kelas kecil boleh mengundang stres (Bill Rogers, 2012).

Menurut Profesor Dr Saedah Siraj (Universiti Pendidikan Sultan Idris), melalui perkongsiannya dalam Sinar Harian bertarikh 20 Julai 2022 menjelaskan, purata bilangan murid di Malaysia hari ini seramai 45 orang. Ini memerlukan guru benar-benar fokus dan memberi tumpuan kepada ramai bilangan murid selain melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan mencapai objektif pelajaran.

Selain itu, isu bilik darjah seperti kekurangan bangku, meja, kipas, papan putih uzur, pengudaraan dan pencahayaan dalam kelas tidak baik, isu elektrikal, capaian internet turut menjadi faktor stres guru.

Pada kebiasaannya guru akan masuk kelas setiap hari, lima kali seminggu sepanjang sesi persekolahan, namun isu bilik darjah ini masih berlanjutan serta memakan masa untuk diselesaikan.

No Image Caption

Sebahagian dari isu bilik darjah ini merupakan isu di luar kemampuan seorang guru atau sekolah untuk menyediakannya. Kerana itu jugalah, guru-guru bermurah hati untuk cuba mengatasi kekurangan yang wujud dalam bilik darjah dengan menggunakan sumber kewangan sendiri bagi menambah bajet yang diperuntukkan kepada guru-guru kelas khususnya dalam menghias kelas agar kondusif dan menyediakan ‘iklim’ sesuai demi pembelajaran semua murid.

Di samping itu juga, guru berhadapan dengan pelbagai situasi setiap hari seperti berhadapan dengan murid dan kelas yang sukar (murid agresif dan mempunyai pelbagai masalah pembelajaran), mengejar deadlines, hubungan dengan rakan atau komuniti sekolah yang kurang menyokong kerja guru, masalah disiplin murid melibatkan campur tangan pihak luar, pengurusan bilik darjah perlu dikemas kini dari masa ke masa, beban kerja melampaui tugas hakiki, juga permintaan data, analisis, gambar, minit mesyuarat dari pihak atasan di sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Kementerian Pendidikan (KPM) dalam bentuk pelaporan.

Hingga sampai pada satu tahap stres bertukar kepada depresi atau kemurungan.

Dalam profesion perguruan kemurungan mencapai 43.9 peratus (wanita) dan 40 peratus (lelaki) (Othman & Sivasubramaniam, 2019).

Adakah jalan penyelesaian berhadapan dengan stres?

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Ada dalam kalangan guru yang menangani stres dengan meditasi, kerap bersenam, makan makanan yang berkhasiat, mencipta hobi dan membentuk tingkah laku mental yang betul.

Guru tidak dapat lari dari situasi stres. Namun guru perlu mengendalikan stres dengan betul agar tidak melarat dan menjejaskan kerja serta orang di sekeliling termasuklah impak stres guru kepada murid.

Saya sendiri sepanjang menjadi guru novis (orang yang baru dan tidak berpengalaman dalam sesuatu bidang), mengatasi masalah stres dengan bermain game kesukaan dan terkenal masa itu (Counter Strike) menggunakan sniper @ machingun menewaskan musuh.

Aktiviti lain ialah saya menonton video kegemaran (action movie) seperti Rambo, Iron Man, The Karate Kid menggunakan LCD di rumah pada hujung minggu. Andai menonton bersama ahli keluarga, video di tonton mesti sesuai dan tidak mempunyai elemen seram ganas, seksual dan sebagainya.

Atau saya mencari masa untuk membaca buku berkaitan dunia keguruan dan pengalaman hidup misalnya (Hikayat Budak PhD & Teusday With Morrie).

Aktiviti paling mustahak ialah mengeluarkan peluh sekurang-kurangnya tiga kali seminggu sama ada joging atau renang.

No Image Caption

Namun, pada satu masa, hobi-hobi ini tidak membantu mengurangkan stres kerana saban tahun, tugasan akan bertambah sama ada secara adhoc atau diminitkan dalam mesyuarat kurikulum, Hal Ehwal Murid (HEM), kokurikulum di peringkat sekolah hingga ke PPD. Kita akan terlibat membantu tugas-tugas di luar sekolah yang memerlukan kita bijak mengurus stres atau dapat mengurus stres dengan betul.

Lain cabaran, maka lain pula kaedah mengatasinya. Saya mula memilih dan fokus atau bergiat aktif dalam sukan permainan (catur) dan (unit berunifrom Pengakap) sebagai guru pengiring, pengurus pasukan atau jurulatih. Antara tujuannya ialah mencari kenalan baharu, situasi baharu yang boleh membantu kita melihat stres dari sudut berbeza dan lebih positif.

Di sisi lain, saya mencari ilmu baharu berkaitan pengurusan stres, kaunseling asas atau mengambil ujian Pembimbing Rakan Penjawat Awam (AKRAB) yang boleh membantu saya menangani stres dan belajar sedikit ilmu berkaitan psikologi di tempat kerja.

Kongsi cerita, satu terapi

Selain itu, berkongsi cerita dan pengalaman kepada pasangan dan meluangkan masa dengan anak-anak juga satu terapi.

Kadang kala kita melihat bahawa kita lebih terbeban dengan tugas-tugas di sekolah, namun kita akan berjumpa individu lain atau guru lain yang lebih terbeban tetapi dapat menghadapi semua beban tugas dengan gembira dan bahagia.

Persepsi dan perspektif berbeza sangat kita perlukan untuk membuat pertimbangan dalam menyelesaikan kemelut stres yang dialami.

Pada tahap yang lain, guru perlu meneroka peluang meningkatkan kemahiran, pengetahuan dalam profesion keguruan. Misalnya, melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana atau ijazah kedoktoran.

Bagi yang suka mencabar diri, ramai guru-guru memohon biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) setiap tahun yang ditaja oleh KPM.

Ada juga guru-guru yang berkarya hingga mempunyai inovasi, kajian tindakan malah kajian ilmiah bukan sahaja dalam negeri malah hingga ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Misalnya mentelaah ilmu hingga menggenggam segulung ijazah PhD dan aktif dalam penglibatan di peringkat antarabangsa seperti Dr Sirhajwan Idek.

Seterusnya guru-guru yang berbakat dalam penulisan boleh mencuba untuk mengikuti Guru Pengkarya Muda seperti Cikgu Noorsyazana Taib yang menjadi penulis Buku Teks KPM dalam mata pelajaran Sejarah Tahun Empat.

Mengikuti perkembangan dan aktiviti perkongsian buku Kajian Tindakan oleh Cikgu Mohd Ridzuan Md Nasir dan juga peka dengan kisah guru yang giat memperjuangkan pendidikan melalui NGO misalnya Cikgu Mohd Fadli Salleh.

Tidak kurang juga, guru-guru mengasah bakat dan hobi baharu berkaitan peningkatan kemahiran ICT dan menguasai pedagogi bidang pendidikan. Ramai kenalan guru menyertai Apple Teacher, Microsoft Innovation Educator Expert (MIEE), Guru Cemerlang (Cikgu Juilis Mokujal Boringgit dan Cikgu Hanita Ladjaharun di Sabah), Guru Adiwira (Cikgu Muhammad Nazmi Rosli), Ikon Guru Digital, Ikon guru STEM, Edufluencers, Cikgootube, Guru DIDIK TV dan banyak lagi. Malahan ada rakan guru Malaysia yang tersenarai dalam Global Teacher Award (GTA) seperti Cikgu Hailmi dan Cikgu Samual Isaiah yang merupakan 10 finalis GTA 2020.

No Image Caption

Dapatkan sokongan

Di sekolah, guru perlu mendapatkan sokongan dari mentor. Tidak kiralah mentor itu merupakan Ketua Panitia, Ketua Bidang, Guru Pentadbir, Guru Bimbingan & Kaunseling, ustaz ustazah atau pakar dalam bidang kesihatan mental untuk mendapatkan panduan dalam menangani stres.

Atau mentor di luar sekolah, misalnya dalam komuniti tertentu di peringkat negeri dan kebangsaan. Perkongsian pakar bidang di universiti, Institut Pendidikan Guru (IPG) atau institusi kerajaan dan swasta sangat membantu dan boleh membuka minda guru terhadap pendidikan dalam konteks yang lebih luas dan global.

Stres satu isu yang boleh ditangani oleh guru-guru namun dengan kaedah dan cara yang sesuai pada kadar segera agar tidak mempengaruhi rutin kerja hakiki guru serta kehidupan di luar waktu kerja.

Guru-guru perlu duduk dalam cirlce yang betul agar dapat kekal bermotivasi dan meningkatkan minat terhadap profesion perguruan.

Guru-guru boleh secara konsisten untuk mengatasi stres dengan fokus kepada tujuan matlamat dalam pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Akhir sekali, pastinya kembali kepada pegangan agama dengan kerap berdoa, membaca kalam ALLAH (al-Quran) yang mempunyai semua jawapan kepada masalah dan lebih ampuh bagi sesetengah guru bagi menempuh liku-liku kehidupan dalam profesion keguruan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp