GAMBAR HIASAN.
GAMBAR HIASAN.

Cikgu kongsi 31 'point' isu pendidikan

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
06 Feb 2024 11:15am

Guru dan pendidik merupakan satu kerjaya yang sangat mulia kerana memikul satu tanggungjawab besar dalam menyampaikan ilmu sebagai asas pembentukan sahsiah seseorang dari dahulu sampai bila-bila.

Tidak mudah untuk menjadi seorang cikgu kerana tugasnya bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah mereka juga insan yang sentiasa berusaha untuk mengajar anak-anak akan erti sebuah nilai murni.

Jika dilihat pada hari ini, tugas seorang cikgu juga sudah semakin bercambah dengan adanya pelbagai tambahan baharu mengikut sistem pendidikan yang dibawa oleh kerajaan.

Tertarik untuk mengetengahkan situasi ini, baru-baru ini Sinar Bestari ada terbaca akan satu perkongsian yang dimuat oleh oleh seorang guru di laman media sosialnya.

“Izinkan saya memberi sedikit luahan dan pandangan sebagai seorang guru sempena tahun ke-10 perkhidmatan,” tulisnya dalam satu hantaran.

Menerusi hantaran itu, terdapat 31 perkara yang telah dinyatakan oleh cikgu terbabit.

Mari sama-sama kita baca perkongsian tersebut.

1) Sebelum ini kita ada Program Literasi dan Numerasi (LINUS). Di hujung penilaian, mesti lepaskan semua budak (murid). Tidak boleh budak itu tidak dilepaskan, semua konstruk.

Artikel Berkaitan:

2) Datang pula menteri baru dan hapuskan LINUS. Cubaan untuk memperkasakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

3) Datang pula menteri baharu yang lain pula, hapuskan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) terus. Masih mahu memperkasakan PBP dengan meletakkan PBD sebagai satu-satunya instrument utama dalam penilaian murid.

4) PBD pun ada pincangnya. Secara dasarnya, memang boleh meletakkan deskripsi sekian TP sekian tahap yang perlu dicapai oleh murid.

5) Tetapi, pengisian data oleh setiap panitia pun berbeza.

6) Contoh, dalam Bahasa Melayu tidak ada kolum nilai dan sikap murid tapi dalam Matematik ada.

7) Makna kata, sungguh pun budak itu (murid) tidak pandai dan menguasai kemahiran kognitif asalkan sikapnya bagus dalam kelas dan menyiapkan kerja rumah yang diberi dengan tekun masih boleh dinilai dengan TP yang tinggi pada kolum nilai dan sikap tersebut.

8) Tetapi perlu diingat, tidak semua panitia ada kolum itu dalam penilaian dan pengisian data.

9) Datang menteri baharu lagi, kita dihidangkan dengan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), instrumen tambahan untuk menilai kognitif murid.

10) Sebelum ini, alasan yang diberi semasa pemansuhan UPSR adalah tidak mahu melahirkan generasi yang ‘exam oriented’.

11) Sudahnya, generasi yang lahir bukan sekadar tidak ‘exam oriented’ malah adab dan akhlak mithali yang ingin dicapai dengan pelaksanaan PBD pun semakin sayup dari pandangan.

12) UASA hadir bersama Sistem Pengurusan Identiti (idMe). Pengisian data dalam idMe terbahagi kepada PBD dan UASA.

13) PBD mengikut TP dan UASA mengikut jumlah markah yang dimasukkan oleh guru mata pelajaran per-50.

14) Apa yang kita tidak tahu adalah markah per-50 tadi rupa-rupanya ditukarkan menjadi TP (yang tidak dimaklumkan langsung tentang julat penggredan) pada ‘dashboard’ guru kelas.

15) Makna kata, guru mata pelajaran nampak sebagai markah yang dimasukkan tetapi guru kelas akan nampak sebagai TP.

16) Persoalannya, apakah rasional menjadikan markah itu dalam TP yang sangat subjektif untuk difahami? Kenapa tidak boleh kekalkan sahaja markah tersebut dalam bentuk angka?

17) Sunggu begitu, dalam segala macam kekalutan orang atasan di langit ketujuh nun sana pula hadir dengan keinginan dan kemahuan data yang cantik.

18) Cuba kita fikir sejenak. Cerita mahu data cantik dah zaman berzaman pun. Tidak pernah berubah. Data yang sampai pada orang atasan semuanya cantik yang telah diubah mengikut selera mereka supaya sekolah tidak dipersoalkan dan guru tidak dipersalahkan.

19) Tapi sampai bola kita hidup dalam kepura-puraan? Data yang cantik tidak akan dapat menafikan masalah anak-anak kita dari peringkat akar umbi.

20) Cikgu-cikgu tersepit antara integriti sebagai seorang guru dan kepatuhan seorang pekerja.

21) Bayangkan, kalai kita sentiasa nak hidangkan data yang cantik pada orang awam dan pihak atasan bukankah makanya kita sebenarnya menipu?

22) Jadi cikgu katanya pekerjaan yang mulia tapi kalau dah sampai menipu data mana letaknya maruah dan integriti kita sebagai seorang guru?

23) Bila cikgu-cikgu mengeluh dengan sikap sambil lewa pelajar sekarang kononnya satu jari tuding orang empat jari tuding diri sendiri.

24) Pusing punya pusing cikgu juga yang salah bila anak murid malas dan tidak pandai.

25) Orang pernah tahu tak kesusahan (struggle) yang cikgu hadapi? Orang pernah berhadapan tak dengan murid yang kita sentiasa kena ‘suap’ dengan jawapan bagi setiap soalan?

26) Benar, peperiksaan bukanlah satu-satunya instrument untuk menilai tahap kognitif murid.

27) Tapi, kita tidak boleh nafikan peperiksaan adalah instrument yang paling berkesan dalam menilai tahap kognitif murid.

28) Nak nilai adab, sahsiah apa semua jangan campur adukkan dengan penilaian kognitif.

29) Benar, bukan semua gajah boleh diuji berenang bukan semua ikan boleh diuji terbang.

30) Tapi pada aku, sebenarnya semua memang ikan dan boleh berenang cuma mungkin ada yang berenang laju, ada yang berenang perlahan, ada yang ‘power’ berenang kuak lentang, ada yang berenang kupu-kupu. Semua pun ikan dengan tahap kemahiran berbeza.

31) Yang penting, kita kena buat sesuatu dengan keadaan pendidikan kita yang semakin membimbangkan. Kalau perlu ‘u-turn’ oada sistem peperiksaan, ‘u-turn’ demi kemaslahatan bersama.

“Cukuplah 31 ‘point’ sempena hari yang ke-31 bagi tahun 2024 ini. Harapnya masih ada sinar buat sistem pendidikan negara kita. Jangan dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran.” tulisnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp