Cikgu Murdani (gambar kanan) dijumpai kira-kira jam 12:45 tengah hari tadi selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang Ahad lalu.
Cikgu Murdani (gambar kanan) dijumpai kira-kira jam 12:45 tengah hari tadi selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang Ahad lalu.

Cikgu Murdani akhirnya ditemui! ‘Allahyarham tersangkut pada jaring, 300 meter dari rumah rakit di Jeti Chenor’

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
26 Nov 2024 03:58pm

"Cikgu Murdani sudah dijumpai kira-kira jam 12:45 tengah hari tadi. Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh.”

Demikian reaksi sedih warga maya di platform Facebook susulan penemuan mayat Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan, Chenor, Maran, Pahang, Cikgu Murdani Ab Rahman, 53, yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang berhampiran Jeti Chenor, Kampung Chenor sejak Ahad lalu.

Allahyarham ditemui tersangkut pada jaring kira-kira 300 meter dari rumah rakit di Jeti Chenor dan Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai telah mengesahkan pertemuan mayat guru terbabit.

Menurut Kim Wai, pengecaman mayat sudah pun disahkan oleh ahli keluarga dan beliau akan maklumkan fakta kes sebentar lagi.

Sementara itu, mayat Cikgu Murdani kini dihantar ke Hospital Jengka untuk proses bedah siasat.

Allahyarham meninggalkan balu, Nooradiwati Mohamed (seorang guru di Sekolah Kebangsaan Jengka 19) dan empat anak berusia antara 17 dan 28 tahun.

Terdahulu, Sinar Bestari menyiarkan artikel berkenaan Cikgu Murdani yang dikatakan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang sewaktu memancing.

Beliau yang mesra disapa Sir Dani cukup dikenali ramai dan mesra dengan penduduk kampung.

Ramai mengharapkan agar Cikgu Murdani dijumpai dalam keadaan selamat namun siapa kita untuk menidakkan kuasa ALLAH dalam hal berkaitan kematian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp