Kelas PJK Cikgu Faiz bukan sahaja di atas padang atau trek balapan tetapi dilaksanakan mengikut situasi.
Kelas PJK Cikgu Faiz bukan sahaja di atas padang atau trek balapan tetapi dilaksanakan mengikut situasi.

Cikgu PJK pikul tanggungjawab sama seperti guru subjek lain

AZLEENDA SAHALUDIN
22 Apr 2024 05:05pm
A
A
A

Memikul tanggungjawab sebagai seorang guru dilihat satu peranan yang besar dalam mendidik anak bangsa demi melahirkan modal insan berkeperibadian unggul, inovatif, kritis dan kreatif.

Jadi tidak hairan apabila guru-guru ini mempunyai kepentingan tersendiri mengikut setiap subjek yang diajar agar murid mendapat ilmu pengetahuan yang bukan sahaja untuk ditulis di atas kertas peperiksaan tetapi juga menjalani kehidupan seharian.

Ini termasuk peranan guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang sering dianggap remeh oleh sesetengah pihak dengan tanggapan subjek itu mudah untuk diajar.

Terpanggil untuk mengubah persepsi itu, Sinar Bestari menemu bual guru PJK, Muhamad Faiz Jamaluddin yang telah berkhidmat selama empat tahun.

Menurut Cikgu Faiz, peranan sebagai guru PJK sama penting dengan mengajar subjek lain yang mana keperluan pendidikan jasmani dan kesihatan memfokuskan kepada perkembangan psikomotor, kognitif serta afektif murid yang mampu merangsang perkembangan mereka.

“Pada pendapat saya, PJK sangat istimewa kerana satu-satunya subjek yang dapat merangsang kemahiran lokomotor murid jika hendak dibandingkan dengan mata pelajaran lain yang fokusnya lebih kepada kemahiran intelektual.

“Aplikasi elemen efektif dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) juga dapat melahirkan murid yang seimbang dan berkembang dari segi adab dan nilai,” katanya.

Cikgu Faiz
Cikgu Faiz

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai skop pekerjaan sebenar guru PJK, pendidik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota (2) Kuala Lumpur itu memberitahu, ia merangkumi pelbagai aspek dan kemahiran yang memerlukan mereka lebih mahir agar dapat menyampaikan ilmu kepada murid.

Sebagai contoh katanya, guru PJK juga perlu mengajar kemahiran gimnastik, serangan dan pukulan termasuk kepentingan kebersihan diri serta perubahan fizikal kepada murid.

“Oleh itu, saya sangat tidak bersetuju dengan persepsi yang menyatakan tanggungjawab guru PJK paling senang kerana hanya memantau murid atau pelajar bermain di padang.

“Sebenarnya mereka ini (guru PJK) perlu menguatkan fizikal kerana aktiviti atau sukatan pelajaran yang diajarkan kepada murid itu boleh mengundang kecederaan.

“Ditambah pula dengan bilangan murid dalam sesebuah kelas, ada yang mencecah 40 orang menjadikan tugas guru PJK lebih mencabar.

“Mereka bertanggungjawab mengawal murid sewaktu berada di padang berbanding dalam kelas,” jelasnya lagi.


Kelas PJK turut diadakan di dalam kelas.
Kelas PJK turut diadakan di dalam kelas.

Badan sihat otak cergas

Seorang lagi guru PJK, Muhammad Suhail Noor Asri berkata, perumpamaan badan sihat otak cergas sangat sinonim dengan subjek PJK ini.

Ia kerana, setiap murid perlu terlebih dahulu sihat sekiranya ingin fokus dalam pembelajaran, malah ilmu yang dipelajari juga senang untuk difahami.

“Dengan adanya waktu PJK ini, membantu mereka beriadah sebentar setelah penat belajar sebab aktiviti fizikal boleh meningkatkan fokus mereka juga dalam kelas.

“Kalau belajar sahaja setiap masa boleh cenderung untuk stres dan tertekan,” ujarnya merujuk kepada murid.

Cikgu Suhail
Cikgu Suhail

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Tawar, Perak itu memberitahu, yang menjadikan subjek PJK ini menarik apabila murid tidak hanya mempelajari ilmu sukan tetapi turut mempelajari kemahiran asas dalam tarian.

Malah terdapat beberapa lagi kemahiran asas pergerakan dalam sukan yang diterapkan kepada murid sebagai suntikan minat sekiranya mereka mahu meneruskan secara aktif.

Mengulas lanjut tentang tanggapan subjek PJK tidak penting, Cikgu Suhail memaklumkan ia berkemungkinan kerana subjek itu tiada dalam silibus peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, subjek ini tetap perlu diajar dan diberi pendedahan kepada murid agar mereka dapat mencari minat sendiri sama ada menerusi akademik atau kokurikulum.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok