Cikgu Sydney
Cikgu Sydney

Cikgu Sydney menang Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024

13 May 2024 05:51pm
A
A
A

Sewaktu zaman kanak-kanaknya, Sydney Engelbert Ganggang gemar menonton kartun berbahasa Inggeris, bukan sekadar untuk hiburan tetapi juga sebagai wahana mempelajari dan menguasai bahasa itu.

Kini, pada usia 30 tahun, Sydney mengajar subjek bahasa Inggeris di Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah.

Daerah (Keningau) ini adalah kawasan pedalaman yang terletak kira-kira 109 kilometer di selatan Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam tempoh lima tahun sejak mengajar di kolej itu, Cikgu Sydney membuktikan dirinya adalah seorang guru yang komited dalam menjalankan tanggungjawab dan menerima pengiktirafan antarabangsa atas sumbangannya.

Baru-baru ini, Cikgu Sydney yang berketurunan Kadazandusun dari Kampung Kiawan di Tambunan, Sabah, dinamakan sebagai pemenang Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024 (CDTA) bagi Rantau Asia Tenggara dan Pasifik, bersama-sama lapan lagi yang mewakili rantau masing-masing di seluruh dunia.

Cikgu Sydney memenangi anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap usahanya dalam memperkaya pengalaman pembelajaran penuntutnya menerusi program pertukaran dalam talian yang dimulakan beliau pada tahun 2022, melibatkan beberapa kolej vokasional di Malaysia, Filipina, Kemboja dan Indonesia.

Para hakim kagum dengan komitmen beliau dalam membantu membangunkan kemahiran bahasa Inggeris dan komunikasi pelajarnya yang tinggal jauh di kawasan pedalaman serta jarang keluar ke kawasan lain.

Dianjurkan oleh Cambridge University Press and Assessment (sebahagian daripada University of Cambridge di England dan merupakan peneraju dunia dalam penerbitan penilaian, pendidikan, penyelidikan dan akademik), CDTA merupakan pertandingan peringkat global dengan masyarakat umum - pelajar, ibu bapa atau guru lain - mencalonkan guru sekolah rendah dan menengah untuk dianugerahi pengiktirafan itu atas sumbangan dan perkhidmatan cemerlang mereka.

Artikel Berkaitan:

Panel hakim akan memilih sembilan pemenang peringkat rantau sementara orang ramai mengundi pemenang keseluruhan CDTA.

Menurut laman sesawang Cambridge University Press and Assessment, CDTA 2024 menerima hampir 15,000 pencalonan.

Program pertukaran

Ditanya tentang program pertukaran dalam talian itu, Cikgu Sydney berkata, idea tercetus apabila beliau menyedari ramai pelajarnya menjadi kurang berminat untuk belajar akibat burnout (lesu upaya) selepas terpaksa mengikuti pembelajaran dalam talian di rumah pada 2020 dan 2021, susulan penularan pandemik Covid 19.

"Bagi mereka, pembelajaran di rumah tidak sama (dengan belajar secara bersemuka di sekolah),” katanya.

Guru muda itu kemudian bekerjasama dengan Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) bagi memulakan program pertukaran dalam talian, di mana pelajar dapat mengikuti pembelajaran dalam persekitaran baharu menerusi kelas yang dijalankan oleh guru di tempat lain di Malaysia, Filipina, Kemboja dan Indonesia.

SEAMEO VOCTECH adalah Pusat Serantau bagi Latihan Vokasional dan Teknikal yang ditubuhkan oleh SEAMEO pada 1990.

Edisi pertama program pertukaran selama tiga bulan itu bermula pada 2022.

Cikgu Sydney berkata, seramai 112 pelajar dari empat negara termasuk 45 dari KV Keningau, menyertai program tersebut.

"Pada 2023, jumlah (peserta) meningkat kepada 252 orang dengan 70 adalah pelajar KV Keningau," katanya.

Beliau berkata, menerusi program pertukaran itu, pelajarnya bukan saja dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi juga kemahiran komunikasi, kompetensi budaya dan pengetahuan melangkaui tajuk dalam kurikulum pengajian.

"Program ini melengkapi pembelajaran di dalam kelas," katanya, menambah pelajarnya bukan sahaja beroleh "kenalan baharu" tetapi juga mempelajari perkara dan subjek di luar tajuk kursus yang diikuti mereka.

Katanya, program itu masih diteruskan pada masa ini dan beliau berharap projek tersebut dapat dijalankan secara fizikal pada masa akan datang.

Tabiat membaca

Berkenaan langkah yang diambil bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajarnya, Cikgu Sydney berkata, beliau memupuk tabiat membaca dengan menggemblengkan elemen kesenian dan kesusasteraan dalam pembelajaran, memandangkan hampir kesemua penuntutnya adalah pelajar visual dan artis semula jadi.

"Contohnya, saya akan minta pelajar memilih buku cerita berbahasa Inggeris dari perpustakaan dan lukis komik mini berdasarkan bahagian kegemaran mereka di dalam buku itu dan kongsikan dengan kelas," katanya.

Mengimbau zaman sekolah rendah beliau, Cikgu Sydney berkata, kaedah pembelajaran yang digunakan oleh guru bahasa Inggerisnya menjadikan bahasa itu menarik untuk dipelajari.

Cikgu Sydney yang turut fasih berbahasa Melayu serta bahasa ibundanya Kadazadandusun memberitahu, beliau mendapat inspirasi untuk menjadi guru daripada kedua orang tuanya yang merupakan warga pendidik.

Menurut beliau, bapanya bagaimanapun telah bersara pada 2022.

Selain itu kata Cikgu Sydney, sebahagian besar ahli keluarganya seperti bapa saudara, ibu saudara dan sepupu juga terbabit dalam bidang itu.

Gemar membaca buku tulisan Mitch Albom dan Hanya Yanagihara, wanita itu berkata, beliau berhasrat memperkenalkan dan menjalankan lebih banyak program antarabangsa untuk pelajarnya yang turut akan melibatkan guru-guru lain.

"Ini akan memberikan pengalaman pembelajaran yang baik untuk pelajar saya serta peluang bagi mereka meneroka dunia luar," jelasnya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok