Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Cuaca panas: Ibu luah rasa kesal guru kenakan denda berdiri tengah panas

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
10 May 2023 04:13pm

Cuaca panas dan bahang yang melanda negara ketika ini menyebabkan ramai pihak khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan notis penangguhan aktiviti luar bilik darjah.

Ini untuk memastikan keselamatan dan kesihatan setiap pelajar lebih terjaga apatah lagi cuaca panas kini boleh mengundang strok haba.

Namun, lain pula ceritanya yang dikongsi seorang ibu di aplikasi TikTok dengan mendakwa sekolah anaknya mengambil tindakan mendenda berjemur di tengah panas.

Pemilik akaun bernama Dvafella itu memaklumkan, sekolah berkenaan mengenakan denda hanya disebabkan anaknya terlewat ke sekolah.

“Dalam pada KPM mengambil langkah berjaga-jaga pada musim panas ini anak saya selamba sahaja ustazahnya denda jemur di tengah cuaca panas.

“Denda tersebut dilakukan atas alasan anak terlambat ke sekolah.

Tangkap layar video seorang ibu yang meluahkan rasa kesal melihat anaknya didenda berdiri tengah panas.
Tangkap layar video seorang ibu yang meluahkan rasa kesal melihat anaknya didenda berdiri tengah panas.

“Sudahlah dipulaukan dan diasingkan berdiri jauh dari perhimpunan pelajar-pelajar lain, disidainya pula anak saya seorang diri di bawah panas terik pukul 2 petang sedangkan ustazah berkenaan berteduh di bawah koridor,” katanya dalam satu hantaran di TikTok.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sebagai ibu, dia juga makan hati melihat anaknya yang baru berusia tujuh tahun telah dikenakan denda selain tidak dibenarkan untuk masuk ke barisan perhimpunan hanya kerana lewat 10 minit.

Kata Dvafella, dia bukan sengaja lambat untuk menghantar anaknya itu dan tidak berpuas hati dengan tindakan denda yang dikenakan kepada anaknya.

“Warga pendidik perlu lebih peka, bijak dan ada jiwa. Lihatlah anak didik sebagai anak sendiri apatah lagi mereka yang baharu memasuki alam persekolahan.

“Banyak lagi cara lain yang boleh dikenakan kepada murid yang lewat tetapi bukan dengan menyuruh mereka berdiri di tengah panas.

“Sekarang juga terdapat banyak kes strok haba telah dilaporkan dan ia sememangnya merisaukan lebih-lebih lagi saya sebagai ibu,” ujarnya.

Video 13 saat yang dikongsi di TikTok itu telah menjadi tular sejak semalam dengan mendapat 1.4 juta tontonan dan 8,060 komen daripada warga maya yang rata-ratanya terkesan melihatnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp