Golongan mahasiswa perlu turun ke lapangan sekiranya mahu mendalami skop kerja warga media dengan lebih mendalam.
Golongan mahasiswa perlu turun ke lapangan sekiranya mahu mendalami skop kerja warga media dengan lebih mendalam.

Dari bilik kuliah kepada praktis hubungan media

30 May 2023 02:20pm
A
A
A

Kefahaman terhadap cara kerja dan kaedah berhubung baik dengan pihak media tidak dapat diterjemahkan dengan baik oleh golongan mahasiswa sekiranya perkara ini hanya disampaikan dalam dewan kuliah sahaja.

Ini kerana apabila ia melibatkan prosedur kerja dan amalan komunikasi korporat dengan salah satu komponen utama ini, ia perlu dibimbing dengan pelaksanaan kerja praktikal yang teratur, teliti dan komitmen terhadap masa yang wajib dipatuhi.

Sebagai pensyarah, saya berpandangan, memahami tugas media bukan sekadar mengetahui secara umum bidang tugas Wartawan dan Penerbit atau Ketua Pengarang.

Dengan membaca surat khabar, menonton televisyen atau mendengar radio, kita sebenarnya boleh mengetahui banyak perkembangan semasa dan pengetahuan dari pelbagai organisasi dan kerana itulah peranan media bertindak menjadi penghubung pengetahuan masyarakat.

Lebih daripada itu, memahami manfaat besar hubungan baik dengan media ini dapat membantu meningkatkan identiti, imej dan reputasi sesebuah organisasi korporat mahupun agensi kerajaan yang bakal disertai dalam membina kerjaya masa hadapan.

Rahmahtunnisah (tiga dari kanan) bersama sebahagian mahasiswa yang dilantik sebagai Jawatankuasa Hubungan Media baru-baru ini.
Rahmahtunnisah (tiga dari kanan) bersama sebahagian mahasiswa yang dilantik sebagai Jawatankuasa Hubungan Media baru-baru ini.

Mengupayakan daya fikir pantas

Bagi mahasiswa kursus Komunikasi Korporat, Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah dengan Komunikasi, Universiti Islam Selangor (UIS), peluang berurusan secara langsung dengan media dan kerajaan sudah tentu suatu yang sukar untuk dilepaskan apatah lagi ia berlaku serentak dalam satu program universiti.

Artikel Berkaitan:

Justeru, ketika saya menerima tugasan sebagai Ketua Jawatankuasa Hubungan Media, mahasiswa yang dipilih sebagai ahli jawatankuasa telah diingatkan tentang kesediaan untuk bertindak menepati masa, berdaya fikir pantas dan profesional menerima sebarang perubahan tanpa jangka.

Bermula dengan memahami objektif keseluruhan program, khalayak sasaran, tetamu dan agenda program, ia memudahkan barisan jawatankuasa untuk proses penyediaan ‘kenyataan media’ yang bakal diedarkan kepada jemputan media.

Kenyataan media yang baik dan lengkap dapat mempengaruhi keputusan organisasi media sama ada untuk menugaskan wartawan, jurufoto, jurukamera atau sebaliknya bagi sesebuah acara dan program.

Pembuat keputusan turut dipengaruhi oleh nilai berita sesebuah program terutamanya kepada kepentingan awam, impak terhadap dasar atau polisi kerajaan dan faktor kredibiliti tetamu yang diundang.

Organisasi media kebiasaannya akan menghantar dua petugas iaitu wartawan, jurufoto atau jurukamera.

Oleh itu, Jawatankuasa Hubungan Media perlu menjelaskan dengan baik aturcara program atau sebarang perubahan aturcara bagi memudahkan petugas media.

Di samping itu, mereka juga perlu bersiap sedia untuk menawarkan bantuan sekiranya petugas media memerlukan individu tertentu untuk ditemu bual, menyediakan tempat yang sesuai untuk sidang media atau maklumat-maklumat tambahan yang diperlukan.

Menyediakan ‘press kit’ yang terkandung di dalamnya kenyataan media, beberapa risalah maklumat yang berkaitan program dan sedikit cenderamata juga antara yang perlu diambil perhatian.

Walaupun cenderamata bukanlah sesuatu yang wajib dan tidaklah diharapkan oleh media, namun ia boleh mempengaruhi imej dan reputasi organisasi.

Kebiasaannya cenderamata penghargaan ini adalah barangan yang menjadi identiti korporat organisasi malah dapat memberi manfaat kepada petugas media.

Menanti penerbitan dan siaran berita

Tugasan Jawatankuasa Hubungan Media belum selesai walaupun sesebuah program telah berakhir.

Ada kalanya wartawan memerlukan semakan tambahan terhadap nama-nama individu, memerlukan pengesahan maklumat atau meminta foto-foto tambahan untuk melengkapkan siaran bahan berita dan kerana itu ia perlu dipenuhi dengan segera memandangkan tugas wartawan yang terikat dengan pematuhan masa (deadline).

Lazimnya bagi sesebuah program yang dihadiri Menteri atau Timbalannya dan wakil media hadir membuat liputan, maka dijangka dan diharapkan berita akan disiarkan pada hari yang sama. Apatah lagi ia berkait rapat dengan isu semasa.

Seterusnya, ahli jawatankuasa hubungan media perlu membuat sedikit analisis pula tentang berita yang disiarkan oleh media elektronik misalnya televisyen berdasarkan petugas media yang hadir.

Antara analisis siaran media yang dibimbing kepada mahasiswa Kursus Komunikasi Korporat ini ialah mengenal pasti tajuk berita, waktu siaran (kedudukan blok berita), durasi berita, skrip berita dan gambar-gambar atau visual yang disiarkan.

Para penuntut ditugaskan untuk menonton tiga atau empat saluran televisyen yang berbeza bagi membuat perbandingan berkenaan.

Analisis ini akan membantu mahasiswa memahami dan menilai pengaruh siaran berita dengan agenda media.

Selain itu, mereka perlu mengamati keutamaan berita berdasarkan lima nilai berita yang utama iaitu berkepentingan awam, memberi impak, ketepatan masa, pendekatan dan menonjol.

Hasil siaran berita akan disunting untuk tujuan rekod dan serahan kepada penganjur program sebagai satu dokumentasi bagi pelbagai kegunaan jika diperlukan.

Antaranya ia boleh dimanfaatkan untuk siarkan melalui media sosial universiti dan pihak penganjur sebagai satu bentuk promosi dan publisiti.

Bagaimanapun sekiranya jemputan media tidak dipenuhi dan tiada liputan langsung dari mana-mana organisasi media ketika program, penganjur masih berpeluang menghantar bahan berita kepada mereka.

Lazimnya berita boleh ditulis mengikut formula asas 5w (what, when, where, who, why) dan 1h (how) yang diselarikan dengan nilai berita yang ingin ditonjolkan.

Beberapa keping foto atau video pendek boleh disertakan bagi memudahkan suntingan bahan berita distrukturkan mengikut gaya penerbitan syarikat media berkaitan.

Yakinlah media turut menghargai bahan berita yang dibekalkan dan mempunyai potensi untuk diterbitkan kerana berita adalah kandungan utama sesebuah syarikat akhbar, televisyen dan radio.

Namun sesebuah bahan berita itu perlu dipastikan sahih dan telah mendapat pengesahan daripada penganjur atau pihak pengurusan organisasi.

Mengimbangi peperiksaan dengan kemahiran insaniah

Penganjuran program universiti yang disertai oleh mahasiswa atau program anjuran kursus sebenarnya bukanlah untuk menambah beban masa belajar.

Malah ia merupakan keperluan bagi kebanyakan kursus yang ditawarkan untuk memberdayakan graduan dengan melengkapkan kemahiran insaniah, kecekapan membuat keputusan dan kepimpinan yang berdasarkan asas kerjaya.

Oleh kerana itulah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sangat cakna dengan pemetaan hasil pembelajaran kursus yang selari dengan kaedah pembelajaran dan penilaian yang dilaksanakan.

Dalam masa sama ia perlu diimbangi dengan masa pembelajaran penuntut yang teratur bagi memastikan objektif pembelajaran kursus yang ditawarkan mencapai standard yang ditetapkan.

Kebanyakan kursus tidak lagi menumpukan kepada orientasi peperiksaan semata-mata bagi menilai keseluruhan pencapaian mahasiswa.

Oleh itu, tingkat Bloom’s Taxonomy perlu difahami dengan baik oleh tenaga pengajar.

Ia penting bagi memastikan potensi mahasiswa tidak sekadar boleh mengingat dan memahami sahaja namun perlukan keupayaan mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mereka bentuk yang dinilai berdasarkan tahap pengajian yang diikuti.

Maklumat Penulis

Pensyarah, Program Komunikasi (Penyiaran), Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor, Rahmahtunnisah Sailin.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok