Persembahan dikir barat sangat sinonim di negeri Pantai Timur- Gambar hiasan
Persembahan dikir barat sangat sinonim di negeri Pantai Timur- Gambar hiasan

Dikir barat khazanah seni negeri Pantai Timur

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
02 May 2023 11:26am
A
A
A

Seni persembahan dikir barat yang cukup sinonim dengan negeri Kelantan disenaraikan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2009.

Ia merupakan bentuk seni muzik yang unik menggabungkan nyanyian, deklamasi puisi, tarian seirama, dan muzik.

Bahkan, sesiapa yang menyaksikan dikir barat pasti akan 'terpaku' melihat kehebatan tukang karut dan tok juara (tok jogho) memimpin awak-awak dalam persembahan kepada khalayak umum.

Mereka akan berbalas-balas pantun diikuti kumpulan awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang sehingga membekas di hati audiens.

Pada zaman dahulu, dikir barat menjadi permainan mengisi masa terluang dan dimainkan di atas bangsal yang diperbuat daripada buluh berlantaikan papan serta atap daun kelapa.

Bagaimanapun hari ini, dikir barat cukup terkenal di seluruh negara dan bukan hanya boleh disaksikan di negeri Kelantan tetapi mampu melebarkan sayap sehingga peringkat antarabangsa.

Dikir barat juga sering menerima perubahan dalam bentuk persembahan mengikut perkembangan zaman.

Sinar Bestari ingin berkongsi sembilan keunikan dikir barat bersama pembaca.

Artikel Berkaitan:

Jom baca!

  • Perkataan 'dikir' ialah hasil daripada dua kombinasi seni iaitu ‘dikir dan pantun’ atau ‘dikir dan karut’. Perkataan ‘karut’ daripada istilah ‘bercerita dalam bentuk pantun atau syair’
  • Justeru, dikir barat, dikir karut, dikir pantun dan dikir syair mempunyai makna yang sama. Begitupun, di negeri Kelantan, ia lebih tersohor dengan panggilan dikir barat manakala di Selatan Thai pula dikir karut.
  • Pada kebiasannya, bentuk kesenian ini dipersembahkan ketika musim menuai padi dan majlis perkahwinan sebagai hiburan atau pertandingan.
  • Kandungan dikir barat adalah berhubung isu semasa dan kehidupan masyarakat.
  • Pergerakan dalam persembahan dikir barat terhad kepada duduk bersila sambil membuat pergerakan badan dan tangan seirama serta bertepuk tangan mengikut lagu.
  • Pada peringkat awal, persembahan dikir barat hanya menggunakan satu alat adiofon sahaja iaitu kecerek iaitu keping-keping buluh yang diketuk bersama untuk menghasilkan rentak irama.
  • Mereka juga tidak perlu bertepuk tangan tetapi dikehendaki meletakkan kedua belah tangan ke pipi masing-masing bagi menguatkan suara.
  • Peredaran masa menyaksikan, persembahan dikir barat melalui transformasi dengan menggunakan alat terdiri daripada tetawak, dua biji rebana (ibu dan anak), sepasang rumbia (marakas), canang dan kerci.
  • Lagu dikir barat paling ikonik adalah karya sentuhan Allahyarham Seman Mamat atau lebih dikenali Seman Wau Bulan berjudul Wau Bulan.

Sumber: Pemetaan Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok