Fobia air: Ini langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh pengidapnya
Kecoh di laman sosial kisah seorang guru lelaki yang dipecat ekoran tidak hadir ke sekolah selama 1,535 disebabkan fobia kepada air.
Isu ini bertambah hangat apabila cikgu lelaki yang dikenali sebagai Yahaya Wahi, 44, dikatakan kembali menyandang jawatannya sebagai tenaga pengajar dalam perkhidmatan perguruan pada Isnin.
Difahamkan, Cikgu Yahaya fobia dengan air kerana pernah berhadapan pengalaman pahit sewaktu kecil.
Beliau dikatakan hampir lemas semasa kanak-kanak manakala abangnya meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Ekoran kejadian itu, cikgu berkenaan kemudiannya telah menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan di Sungai Petani, Kedah dan dirujuk ke Jabatan Psikiatri untuk penilaian lanjut pada 2015.
Susulan rasa takut itu, Cikgu Yahaya tidak hadir ke sekolah selama empat tahun dari 3 April 2013 hingga 16 Mei 2017 namun kembali mengajar setelah menjumpai ‘jalan darat’ untuk ke tempat kerjanya.
Memandangkan punca utama Cikgu Yahaya gagal ke sekolah disebabkan fobia dengan air, Sinar Bestari kongsi maklumat berhubung definisi fobia air tersebut.
Berikut adalah infonya!
Fobia air atau aquaphobia adalah ketakutan yang berlebihan dan tidak masuk akal terhadap air.
Ia disebabkan pengalaman masa lalu yang berada dalam pemikiran seseorang hingga membuatkannya takut.
Fobia ini akan menyebabkan seseorang mengelak untuk berenang.
Bagi individu yang mempunyai fobia air, pastinya apabila ke pantai atau laut membuatkan mereka berubah menjadi cemas dan panik.
Rasa takut terhadap air akan muncul dalam diam dan di bawah para sedar.
Ini akan mengganggu kehidupan seharian dan kadang-kadang di luar pengawalan mereka.
Penghidap fobia akan mengelak daripada berdekatan dengan perahu dan kapal kerana aquaphobia akan memberi tanda gelisah.
Terkena siraman air dengan tiba-tiba juga akan membuatkan penderita aquaphobia mengalami histeria.
Penyebab dan Gejala Aquaphobia
Tiada penyebab spesifik untuk aquaphobia ini kerana ketakutan mungkin muncul dengan tiba-tiba apabila mereka menghampiri atau ternampak air.
Seseorang yang pernah kehilangan segalanya ketika banjir juga akan menderita fobia ini.
Kadang-kadang, penderita fobia air tidak akan memasukkan badan mereka ke dalam air kerana takut pada ikan pemangsa dan haiwan lautan lain yang menakutkan.
Setakat ini, terdapat beberapa gejala aquaphobia ini berlaku antaranya sesak nafas, peluh berlebihan, mulut kering, tubuh menggigil kerana takut, denyutan jantung laju, tidak mampu berkomunikasi, cemas, hilang kawalan sehingga menjerit atau melemparkan barang disekitarnya.
Bagaimana cara mengatasinya?
Aquaphobia boleh dibantu melalui pelbagai rawatan terapi.
Rawatan terapi itu meliputi terapi psikologis dan juga hipnotis.
Kedua-dua terapi ini penting bagi memberi keyakinan pada diri dan mengambil langkah-langkah kecil dalam mengatasi fobia air.
Sebagai contoh, penghidap perlu berusaha untuk berjalan di sepanjang kolam renang atau pantai. Kemudian, buatkan kaki anda basah ketika berjalan sekitarnya.
Fahami istilah pelampung dan terapung yang akan membantu anda kekal bertahan di atas air tanpa tenggelam.
Terima baik semua strategi yang disarankan oleh Pakar Psikologi untuk mengatasi fobia air sekali gus mempercepatkan proses pembaikan diri.