Tiga waktu utama umat Islam akan menikmati juadah pada bulan Ramadan adalah ketika berbuka, moreh dan bersahur.
Tiga waktu utama umat Islam akan menikmati juadah pada bulan Ramadan adalah ketika berbuka, moreh dan bersahur.

Guru dan pelajar, berikut 3 tip pemakanan sihat yang boleh diamalkan sepanjang Ramadan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
29 Mar 2023 02:04pm

Pemilihan makanan pada bulan Ramadan sering menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat setempat.

Ini kerana ada segelintir antara kita mengambil makanan mengikut pilihan masing-masing tanpa memikirkan sama ada juadah itu seimbang dan berkhasiat ataupun tidak.

Umumnya, terdapat tiga waktu utama yang umat Islam akan menikmati juadah pada bulan Ramadan.

Waktu-waktu tersebut adalah ketika berbuka, moreh (makan lewat malam) dan bersahur.

Hari ini, Sinar Bestari ingin kongsikan tiga tip pemakanan sihat kepada guru, pelajar dan ibu bapa yang boleh diamalkan sepanjang Ramadan terutamanya pada waktu-waktu yang dimaksudkan di atas.

Tip pemakanan sihat itu menurut Portal MyHEALTH, Kementerian Kesihatan Malaysia adalah

1) Ketika berbuka puasa

Semasa berbuka puasa, digalakkan mengambil makanan ringkas terlebih dahulu. Ini untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman.

Mulakan dengan buah kurma kerana ia mengandungi fruktosa yang boleh memberi tenaga segera. Selain itu, kurma juga mengandungi enzim yang boleh membantu proses penghadaman untuk makanan yang kita makan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Pelbagaikan pengambilan jenis makanan seperti bihun sup, sepinggan mi atau nasi bersama ikan, ayam dan sayur-sayuran serta buah-buahan yang diambil berdasarkan Piramid Makanan Malaysia.

Digalakkan mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup untuk mengelakkan dehidrasi.

Pengambilan makanan yang pedas dan berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka kerana dikhuatiri akan menimbulkan ketidakselesaan kepada perut pada siang hari.

2) Ketika moreh

Mengambil snek ringkas seperti roti, biskut, sandwich atau kuih-muih dibenarkan selepas menunaikan solat tarawih tetapi jangan keterlaluan.

Elakkan mengambil juadah yang berat seperti nasi atau mi goreng kerana pada waktu malam kita tidak memerlukan tenaga yang banyak.

Pemilihan makanan daripada produk-produk tempatan sebenarnya mempunyai nilai pemakanan yang baik asalkan cara menyediakannya mengikut resepi atau panduan makanan sihat.

3) Bersahur

Amalan bersahur amat penting untuk membantu menambahkan tenaga ketika seharian berpuasa. Waktu bersahur yang digalakkan adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak.

Semasa bersahur, digalakkan mengambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut mil penuh dan oat.

Makanan jenis ini memerlukan masa yang lama untuk dicerna dan mengurangkan rasa lapar. Karbohidrat kompleks mengambil masa kira-kira lapan jam untuk dicernakan sepenuhnya.

Sertakan juga makanan daripada protein kerana struktur protein yang lebih kompleks akan melambatkan lagi proses pencernaan. Seeloknya, pilihlah protein yang rendah Biological Value (BV) kerana semakin rendah nilai BV, lebih lambat protein itu diguna pakai oleh badan. Antara yang disyorkan adalah kekacang, soya, ayam, protein susu daging dan ikan.

Pengambilan buah-buahan dan air juga perlu mencukupi sewaktu sahur. Elakkan pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi yang boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.

Panduan pemilihan makanan untuk menjamin kekal sihat dan cergas

a) Kurangkan penggunaan lemak terutama lemak tepu seperti minyak sapi, mentega dan keju. Semasa menggoreng dan menumis, minimumkan penggunaan minyak supaya makanan lebih sihat di samping kita dapat berjimat-cermat.

b) Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

c) Lebihkan pengambilan air.

d) Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam (masin) terutamanya ketika bersahur. Contohnya ikan masin, jeruk, belacan dan kicap.

e) Kurangkan pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula (manis).

Semoga bulan Ramadan akan membentuk kita menjadi individu yang bijak memilih makanan sihat dan berkhasiat di samping menjalani ibadah puasa yang lebih berkualiti dan sempurna.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp