Guru tahan sebak lihat kasut pelajar. ‘Kalau basuh, nanti tapaknya tercabut. Saya tak ada duit nak beli lain’
Menonton video pendek yang dikongsi Guru Unit Bimbingan dan Kaunseling, Cikgu Jumat Mat Salleh di laman Facebook, membuatkan air mata penulis tumpah tanpa disedari.
Masakan tidak, video yang memaparkan seorang pelajar lelaki gigih ke sekolah walaupun terpaksa memakai kasut lusuh, kotor, koyak dan sebahagian tapaknya sudah tercabut! Allahuakbar, sedihnya.
Sinar Bestari menghubungi Cikgu Jumat bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang kisah pelajar itu.
Kata Cikgu Jumat, situasi tersebut berlaku pada hari persekolahan di mana beliau bertugas sebagai guru yang menyambut pelajar di pintu pagar sekolah.
"Ketika bertugas, tiba-tiba saya ternampak pelajar lelaki memakai kasut yang sangat kotor.
"Saya tahan dia dan tanya kenapa kasut kotor? Kamu tak basuh ke? (dalam hati, saya memang rasa nak marah, tapi saya tahan).
"Kemudian, dia jawab dengan rasa takut. ‘Kalau saya cuci, nanti tapaknya jatuh dan tak boleh pakai lagi cikgu’...ALLAH, sedih saya dengar,” katanya.
Cikgu Jumat meneliti kasut pelajar itu dan mendapati bukan sahaja tapaknya hilang tetapi ia turut berlubang.
Malah, pelajar itu hanya ada sehelai stoking yang juga berlubang.
"Saya tanya dia balik, kenapa tak beli kasut baru.
"Sambil rasa malu, dia jawab...‘Maafkan saya cikgu, saya tidak ada duit mahu beli yang baru’. Saat itu, lidah saya terkelu dan hati ini tersentap. Maafkan cikgu nak,” ujarnya sebak.
Cikgu Jumat memberitahu, dia bersama rakannya, Cikgu Shihar sepakat membawa pelajar itu ke Pekan Kunak, Sabah untuk membeli stokin dan kasut baru buatnya.
"Saya pesan pada dia, belajar bersungguh-sungguh, ubah nasib diri dan keluarga. Esok bila sudah berjaya, kamu boleh bantu lebih ramai orang,” katanya sambil memeluk pelajar berkenaan.