Graduan IPG diberi pendedahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Graduan IPG diberi pendedahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

IPG 'gedung' guru pemangkin generasi Madani

Sukma pendidik terjemah guru kompeten

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
15 May 2023 11:00am
A
A
A

"Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang. Bukan terletak pada wajah dan pakaiannya."

Demikian bait-bait kata sasterawan tersohor Indonesia, Allahyarham Buya Hamka atau nama sebenarnya, Abdul Malik Karim Amrullah.

Dalam mencorak generasi masa depan memiliki ilmu dan adab yang tinggi, warga pendidik merupakan antara watak utama merealisasikan matlamat tersebut.

Ini kerana warga pendidik bukan sahaja menyalurkan ilmu pengetahuan tetapi bertindak sebagai 'ibu bapa' kedua menyemai nilai-nilai adab kepada generasi muda di peringkat akar umbi.

Elemen keguruan ditekankan dalam memperkasa jati diri guru.
Elemen keguruan ditekankan dalam memperkasa jati diri guru.



Institut Pendidikan Guru (IPG), Kementerian Pendidikan (KPM) memainkan peranan penting dalam melahirkan guru-guru kompeten untuk diserapkan di sekolah-sekolah seluruh negara.

Jiwa pendidik

Secara peribadi, Rektor IPG, Dr Rosli Yacob berkata, aspek utama melahirkan guru kompeten adalah mahasiswa guru IPG perlu menyemai benih jiwa pendidik yang tinggi pada diri mereka.

"Kesungguhan, kejujuran dan tanggungjawab dalam menggalas tugasan sebagai pendidik akan diterjemahkan pada diri apabila memiliki sifat jiwa pendidik.

"Para guru terbabit akan memberi perkhidmatan terbaik dengan mengajar tanpa mengira latar belakang dan kecerdasan pelajar-pelajar.

"Bahkan, apabila ditempatkan di kawasan mana seka•li pun mereka akan menggalas tugas sebaik mungkin," katanya ketika ditemui Sinar Bestari baru-baru ini.

Dr Rosli Yacob
Dr Rosli Yacob



Beliau menjelaskan, ia sejajar misi IPG melahirkan guru kompeten dan berjiwa pendidik melalui program pembangunan guru yang dinamik ke arah pendidikan sekolah bertaraf dunia.

Dia memberitahu, peranan utama IPG adalah menyediakan perkhidmatan pendidikan keguruan (PPK) secara profesional, cekap dan berkesan.

"IPG mengendalikan sebanyak 27 kampus atau lebih dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) di seluruh negara termasuk English Language Teaching Centre (ELTC) di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

"Kita melatih guru-guru pra perkhidmatan dan dalam perkhidmatan• selaras kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Guru berdasarkan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," ujarnya.

Cabaran

Selain modul-modul pendidikan, menurut Rosli, program-program yang dirangka menekankan elemen keguruan dalam memperkasa jati diri guru iaitu perpaduan, kepimpinan, kesukarelawanan dan kejurulatihan.

Tuturnya lagi, elemen-elemen berkenaan penting diterapkan dalam setiap aktiviti kokurikulum kerana menepati piawaian guru negara ini.

Guru kompeten mampu melahirkan generasi Madani.
Guru kompeten mampu melahirkan generasi Madani.



Bercerita mengenai dunia digital hari ini, beliau menambah, menggalas tugas sebagai pendidik bukan sesuatu yang mudah berbanding sebelum era pendigitalan.

"Ia kerana guru-guru berdepan dengan cabaran pelajar-pelajar memiliki kemahiran dan pengetahuan pengkomputeran malah mampu akses pelbagai maklumat di hujung jari.

"Justeru, setiap bidang ataupun mata pelajaran terdapat pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk membekalkan ilmu terkini kepada mahasiswa-mahasiswa guru IPG," katanya.

Kekurangan guru

Pada bulan lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying memaklumkan, terdapat pengambilan terbuka meliputi jawatan guru tetap atau guru sementara khususnya bagi menangani isu kekurangan guru dalam empat mata pelajaran iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Pendidikan Islam.

Pengambilan berkenaan turut dibuka kepada graduan universiti awam tanpa ikhtisas pendidikan, sekali gus disifatkan sebagai peluang keemasan kepada mereka yang berminat menjadi guru.

Dr Rosli Yacob sentiasa menyemai jiwa pendidik dalam kalangan warga IPG.
Dr Rosli Yacob sentiasa menyemai jiwa pendidik dalam kalangan warga IPG.



Tutur Rosli, IPG turut bertanggungjawab melatih graduan-graduan universiti awam tanpa ikhtisas pendidikan terbabit.

"Mereka akan mengikuti Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama satu tahun untuk memperoleh ikhtisas pendidikan," tuturnya.

Beliau berkata, terdapat 3,000 pensyarah di IPG dan IPGK yang berpengalaman serta memiliki kepakaran daripada pelbagai bidang.

Bahkan, Rosli menjelaskan, 750 daripada 3,000 pensyarah terbabit berkelulusan doktor falsafah (PhD) yang menjadi tenaga pengajar kepada guru-guru dalam perkhidmatan membantu KPM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berkenaan keperluan guru-guru di sekolah.

"Saya berharap mahasiswa-mahasiswa guru IPG akan terus menerapkan jiwa pendidik dalam menjadi pemangkin kepada generasi masa depan yang akan mencorak negara," ujarnya.

Info

Sejarah ringkas pendidikan di Malaysia

1878 - The Malay High School Singapura

1922 - Sultan Idris Training College, Tanjung Malim, Perak, kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

1935 - Women Teachers Training College, Melaka, (Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Perempuan Melayu, Melaka)

2004 - Penubuhan 27 buah Maktab Perguruan dan sebuah English Language Teaching Centre.

2005 - Jemaah Menteri meluluskan 27 Maktab Perguruan dinaik taraf kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) yang boleh menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dan B.Ed pada 13 Julai 2005.

2006 - Pengisytiharan Maktab Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru.

- Perubahan besar kepada institusi keguruan dengan bermulanya Program Pensiswazahan Guru dijalankan di IPG.

- Selain itu, IPG turut menjalankan latihan pra perkhidmatan yang boleh memberi pengiktirafan Ijazah Sarjana Muda kepada guru sekolah rendah melalui Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia seperti program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

2008 - Pindaan Akta Pendidikan 1996, membenarkan Maktab Perguruan dinaik taraf ke Institut Pendidikan Guru Malaysia diluluskan Dewan Rakyat pada 25 Ogos 2008. Pindaan tersebut diluluskan 4 Disember tahun yang sama.

2010 - Pentadbiran IPG diasingkan daripada Bahagian Pendidikan Guru dan IPG Kampus diselenggara sepenuhnya oleh IPG di Cyberjaya, Selangor.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok