No Image Caption

Isu ‘Brain Drain’: Manfaatkan warga berpendidikan kita sebaik mungkin

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
12 Jul 2023 03:57pm
A
A
A

Meskipun jarang dibahaskan, namun istilah pelarian intelektual atau ‘brain drain’ tidak pernah lekang daripada menjadi isu dalam arus nasional kini.

Menurut laporan Kementerian Sumber Manusia (KSM) setakat Mac lalu, seramai 1.86 juta atau 5.5 peratus rakyat Malaysia yang berpendidikan dan berkepakaran meninggalkan negara bagi mencari peluang lebih baik di luar.

Daripada jumlah tersebut, 1.13 juta menceburkan diri dalam pelbagai sektor kemahiran di Singapura dan rentetan isu berkenaan, tenaga professional negara kini hanya tinggal 28 peratus.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, perkara ini sudah pasti bukan sesuatu yang positif bagi perkembangan negara.

Ujar beliau, kerajaan patut memanfaatkan seramai mungkin mana-mana lepasan berpendidikan tinggi bagi membantu pertumbuhan nasional dengan mengadakan rapat umum.

“Isu pelarian intelektual sebenarnya bukan sahaja hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di negara lain.

“Bagaimanapun, negara ini masih dalam fasa membangun maka sebarang bentuk defisit golongan berpendidikan akan memberi kesan,” katanya kepada Sinar Bestari pada Rabu.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Anuar menambah, meskipun ramai individu berpendidikan di negara ini telah berhijrah ke luar negara bagi menceburkan diri dalam pengkhususan profesional masing- masing, namun kerajaan masih berupaya untuk memanfaatkan mereka.

“Antaranya termasuk merekrut bagi tujuan membantu mempromosikan negara di peringkat antarabangsa. Individu ini juga boleh tolong kerajaan menjalankan sebarang rundingan dengan pihak luar.

“Mereka juga boleh dilantik sebagai panel pakar mengikut kepandaian masing-masing untuk menyelesaikan sebarang isu yang melanda nasional. Saya percaya tidak ada yang akan menolak kerana rata-rata memang ingin membantu,” ulasnya.

Jelas beliau, rapat umum berkenaan boleh dijalankan dengan bantuan pelbagai pihak termasuk kedutaan serta syarikat Malaysia yang mempunyai cawangan di peringkat antarabangsa.

Turut Anuar lagi, sekiranya tiada sebarang kerjasama dapat diwujudkan dengan individu tersebut, ia merupakan satu bentuk kerugian besar buat negara.

“Bijak pandai ini pastinya akan merasakan yang mereka tidak diperlukan dan dihargai,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok