'Itulah kali terakhir saya dapat bercakap dengan Wan Ahmad Izzat’ – ibu
“Anak tunggal saya teruja ketika menelefon memberitahu dia akan keluar membeli baju raya bersama rakan-rakan.
“Tetapi saya tidak sangka itulah kali terakhir saya dapat bercakap dengannya. Walaupun sedih kehilangan satu-satunya anak yang disayangi, saya reda dengan ketentuan ALLAH,” luah Wan Nor Azilah, ibu kepada murid tahfiz yang maut dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Ismal Petra (LTSIP), Taman Bendahara, Pengkalan Chepa Kelantan.
Menurut Nor Azilah, anaknya Wan Ahmad Izzat Alauddin, 12, begitu teruja kerana dapat bersama-sama rakannya yang lain membeli baju raya bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Malah kata Nor Azilah, dia sepatutnya menjemput anaknya itu pada malam kejadian iaitu 18 April untuk pulang beraya di kampung neneknya di Felda Ciku 7, Gua Musang.
“Saya mendapat maklumat tentang kemalangan tersebut menerusi aplikasi kumpulan WhatsApp pusat tahfiz berkenaan dan terus bergegas ke tempat kejadian.
“Apabila sampai, luluh hati saya apabila melihat tubuh anak yang telah ditutup dengan kain.
“Dalam keadaan yang masih keliru, saya kuatkan juga diri untuk melihat keadaannya yang telah kaku dan berlumuran darah di bahagian kepala,” ujar Nor Azilah ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), seperti dipetik menerusi portal tempatan.
Nor Azilah turut memberitahu, jenazah anaknya itu akan dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ciku 7.
Dalam kemalangan itu, 11 lagi pelajar tahfiz dilaporkan cedera apabila van jenis Ssangyong yang dinaiki terbabas memasuki parit dipercayaai dalam perjalanan pulang dari membeli pakaian raya di sebuah pasar raya berhampiran.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengakalan Chepa, Alam Nasut Ilias, pihaknya tiba di tempat kejadian pada pukul 11.45 pagi dan mendapati seorang mangsa telah meninggal dunia manakala 11 lagi pelajar dan seorang pemandu cedera.
Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk mendapatkan rawatan.