Pesakit strok dan keluarga di bawa ke Zoo Negara untuk membantu memulihkan fizikal dan mental mereka.
Pesakit strok dan keluarga di bawa ke Zoo Negara untuk membantu memulihkan fizikal dan mental mereka.

'Kekasih' bawa pesakit strok ke Zoo Negara, bantu pemulihan fizikal dan mental

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
11 Apr 2025 02:02pm

Senyuman terukir di wajah para pesakit strok ketika mereka melangkah masuk ke Zoo Negara dalam satu lawatan khas yang dianjurkan baru-baru ini.

Program yang bertujuan sebagai terapi pemulihan berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mendekati alam semula jadi, malah turut membantu meningkatkan semangat mereka dalam perjalanan menuju kesembuhan.

Dengan sokongan ahli keluarga dan petugas perubatan, peserta kelihatan teruja melihat pelbagai spesies haiwan serta menikmati suasana hijau yang mendamaikan.

Program anjuran Kelab Komuniti Rakan Strok (Kekasih) dari Klinik Lanjutan Strok, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut membawa ahli keluarga pesakit ke Zoo Negara.

Pengerusi Kekasih, Zainab Hasan berkata, lawatan itu bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi ia memainkan peranan penting dalam membantu pemulihan fizikal dan mental pesakit strok melalui interaksi sosial serta pengalaman baharu.

“Melalui program ini, pesakit strok mendapat pelbagai manfaat termasuk mengurangkan tekanan emosi, meningkatkan motivasi untuk meneruskan pemulihan, serta memberi peluang untuk mereka berinteraksi dengan komuniti yang lebih luas.

“Aktiviti fizikal ringan seperti berjalan dan senaman pagi di kawasan hijau zoo turut membantu meningkatkan tahap kecergasan serta keseimbangan tubuh mereka,” katanya.

Secara tidak langsung, program berkenaan mendapat sokongan daripada Zoo Negara yang berperanan untuk menyediakan fasiliti mesra pesakit dan aktiviti interaktif seperti pertunjukan singa laut serta ceramah pemakanan sihat yang bermanfaat untuk pesakit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan UKM dan Klinik Lanjutan Strok, HCTM, Profesor Dr Mohd Fairuz Ali berkata, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka panjang dalam membantu pesakit strok menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas strok.

“Melalui program ini juga, kita dapat menggalakkan pesakit strok untuk berdikari melalui aktiviti sosial.

“Kami berharap agar program seperti ini dapat diteruskan secara berkala kerana ia memberi manfaat besar kepada pesakit, bukan sahaja dari segi kesihatan fizikal dan mental, tetapi juga membina keyakinan diri mereka untuk kembali aktif dalam masyarakat,” ujarnya.

Program seperti itu juga dapat membuktikan bahawa pemulihan strok bukan sahaja bergantung kepada rawatan perubatan, tetapi juga memerlukan pendekatan holistik yang merangkumi aspek sosial, emosi dan fizikal.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp