Mengikut kamus Dewan, histeria bermaksud sebagai selap – hilang akal seperti tidak sedarkan diri, pengsan, pitam dan lain-lain kerana kerasukan.
Mengikut kamus Dewan, histeria bermaksud sebagai selap – hilang akal seperti tidak sedarkan diri, pengsan, pitam dan lain-lain kerana kerasukan.

Kenapa berlaku histeria?

22 Apr 2024 05:22pm

Kejadian histeria bukanlah satu perkara baharu yang berlaku di negara ini.

Difahamkan, ia lebih kerap berlaku dalam kalangan remaja di sekolah sehingga menganggu kesihatan mental dan emosi pelajar itu sendiri.

Terkini, histeria yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir (Model Khas), Jempol, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu, membuktikan bahawa pelajar adalah kelompok utama sebagai mangsa ‘serangan’ situasi itu.

Menurut Pakar Psikiatri Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Zul Azlin Razali, histeria yang difahami dalam bidang psikiatri masa kini adalah Conversion Disorder dan Dissociative Disorders.

“Masyarakat umum memahami histeria adalah gejala kerasukan, gangguan makhluk halus atau jin.

“Malangnya perkataan histeria digunakan secara semberono, merangkumi pelbagai simptom termasuklah simptom-simptom yang tergolong dalam diagnosis merbahaya jika tidak dirawat segera seperti skizofrenia, kemurungan atau bipolar.

“Mengikut kamus Dewan, histeria bermaksud sebagai selap – hilang akal seperti tidak sedarkan diri, pengsan, pitam dan lain-lain kerana kerasukan. Maka gejala psikosis, serangan panik, amuk, pengsan, sawan (epilepsi) dan sebagainya boleh dikira histeria,” katanya seperti dipetik portal tempatan.

Zul Azlin berkata, untuk seorang pesakit yang berhalusinasi seperti melihat lembaga ghaib atau mendengar suara halimunan; rawatannya samada doktor alopati atau pengamal perubatan (ustaz) bergantung kepada tahap kepercayaan dan pengetahuan pesakit itu atau keluarganya terhadap punca-punca kesihatan mental yang merudum.

Artikel Berkaitan:

Lebih menarik, doktor tidak boleh mengatakan ini bukan pengaruh jin dan ustaz juga tidak boleh mengatakan ia tiada kena mengena dengan faktor biologi atau psikologi kerana masing-masing hanya tahu bidangnya sendiri.

Berdasarkan tinjauan Sinar Bestari yang diperoleh dari internet, definisi histeria turut membawa maksud gangguan mental yang berpunca daripada kebimbangan melampau.

Pesakit kehilangan kawalan ke atas tindakan, emosi dan ia biasanya disertai dengan sawan secara tiba-tiba dan seterusnya tidak sedarkan diri.

Terdapat pelbagai pandangan mengenai punca berlakunya histeria.

Ada yang mengatakan ia berlaku ke atas pelajar disebabkan tekanan ketika peperiksaan, keletihan mengikuti sukan sekolah, latihan pertandingan, pemakanan, sikap guru dan corak interaksi pelajar sesama mereka.

Solusi kepada histeria mungkin boleh dibuat menerusi pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pentadbir sekolah dan guru-guru dengan mengambil langkah pencegahan bagi menghalang daripada merebak ke kelompok pelajar yang lebih ramai dalam satu-satu masa.

Mangsa (pelajar) mungkin boleh diberi rawatan secara psikoterapi dan kaunseling serta rawatan kejiwaan melalui bacaan ayat suci al-Quran.

Di samping itu, guru-guru agama perlu menenangkan para pelajar dengan amalan-amalan ibadah serta menggalakkan mereka melakukan perkara menenangkan hati sekali gus dapat menjalani kehidupan lebih harmoni.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp