Trauma dan kesan kemerosotan kesihatan mental kanak-kanak
Kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak adalah aspek penting dalam perkembangan mereka.
Ia mempengaruhi kemampuan kanak-kanak untuk belajar, bersosial dan mengatasi tekanan.
Di seluruh dunia, masalah kesihatan mental semakin meningkat pada kanak-kanak dan remaja.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 10-20 peratus kanak-kanak dan remaja mengalami gangguan mental, kebanyakan kes yang berlaku sebelum usia 14 tahun.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa 16.6 peratus golongan itu menghadapi masalah kesihatan mental pada tahun 2019, peningkatan yang ketara berbanding tahun lalu iaitu hanya 12.1 peratus pada 2011.
Secara umum, kanak-kanak memproses trauma dengan cara yang berbeza berbanding orang dewasa.
Mereka mungkin tidak mampu untuk memberi tahu apa yang mereka rasakan atau mungkin menunjukkan tanda-tanda trauma melalui perubahan dalam tingkah laku, seperti ketakutan berlebihan, masalah tidur, kesukaran dalam pembelajaran atau tingkah laku agresif. Kesan trauma ini juga boleh berlanjutan hingga dewasa.
Kebiasaannya faktor yang menjadi trauma ataupun terjejasnya kesihatan mental kanak-kanak adalah disebabkan oleh tekanan akademik, konflik keluarga malah kesan negatif media sosial juga menyumbang.
Faktor ini bukan hanya menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak tetapi ia juga mempengaruhi perkembangan psikologi dan tingkah laku mereka.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menaiktaraf sistem pendidikan yang menyebabkan berlakunya perubahan iaitu dari segi silibus pembelajaran.
Peningkatan silibus yang semakin mencabar dan kompleks kini menimbulkan kebimbangan terutama dari segi kesan terhadap kesejahteraan mental dan emosi kanak-kanak.
Walaupun sistem pendidikan ini bertujuan mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran masa depan, namun beban pembelajaran yang semakin tinggi telah memberi tekanan besar kepada kanak-kanak.
Silibus yang semakin luas dan mendalam menyebabkan kanak-kanak berhadapan dengan beban pembelajaran lebih besar.
Bermula dari pendidikan rendah hingga menengah, kanak-kanak kini perlu menguasai lebih banyak subjek dalam tempoh masa yang lebih singkat.
Hal ini mengakibatkan kanak-kanak sering berasa terbeban dengan banyaknya kandungan yang perlu dipelajari dalam jangka masa singkat.
Malah silibus semakin padat juga menyebabkan kanak-kanak kurang mempunyai masa untuk terlibat dalam aktiviti sosial dan juga meneroka minat peribadi mereka.
Aktiviti-aktiviti ini adalah penting untuk pembangunan emosi dan sosial mereka.
Waktu pembelajaran yang semakin panjang dan tugas rumah semakin banyak, menyebabkan kanak-kanak menjadi semakin terasing dan tidak mempunyai masa untuk berehat atau berinteraksi dengan rakan sebaya mereka.
Akibatnya, kanak-kanak mengalami tekanan yang lebih besar dan kesukaran dalam mengimbangi kehidupan mereka.
Konflik keluarga
Konflik keluarga juga merupakan salah satu faktor yang memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan mental kanak-kanak.
Masalah seperti perceraian, kekerasan rumah tangga atau ketegangan dalam hubungan ibu bapa boleh mewujudkan suasana yang tidak harmoni bagi kanak-kanak.
Kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang penuh dengan konflik berisiko tinggi untuk mengalami trauma dan juga kesihatan mental terjejas.
Mereka juga berisiko mempunyai masalah dalam hubungan sosial.
Kanak-kanak yang mengalami ketegangan keluarga lebih cenderung untuk mengasingkan diri daripada rakan sebaya dan mengalami kesukaran dalam membina hubungan sosial yang sihat.
Kesulitan dalam interaksi sosial ini boleh memberi kesan negatif kepada perkembangan kognitif dan kemampuan mereka untuk berinteraksi bersama rakan sebaya tidak kiralah semasa berada di sekolah ataupun di rumah.
Sembilan daripada 10 kanak-kanak di Malaysia yang berumur kurang daripada 14 tahun didapati mengalami ketagihan menonton media sosial.
Media sosial telah menjadi platform utama untuk komunikasi dan hiburan di kalangan kanak-kanak, namun penggunaan tidak terkawal atau berlebihan boleh memberi kesan negatif yang mendalam terhadap kesihatan mental mereka.
Salah satu faktor utama adalah cyberbullying atau buli siber, yang merujuk kepada perbuatan membuli secara dalam talian, termasuk penghinaan, ejekan atau ancaman.
Mereka mungkin merasa kesepian dan hilang keyakinan diri, yang akhirnya menjejaskan kesejahteraan mental.
Kesan negatif media sosial terhadap kesihatan mental kanak-kanak juga menyebabkan gangguan tidur.
Penggunaan media sosial yang berpanjangan terutamanya sebelum tidur, boleh mengganggu kualiti tidur kanak-kanak.
Paparan cahaya biru dari skrin telefon atau komputer serta kebiasaan scroll tanpa henti menyebabkan tidur kurang berkualiti seterusnya meningkatkan risiko masalah mental seperti kebimbangan, keletihan dan kurang tumpuan.
Kesan-kesan ini, jika tidak ditangani dengan segera boleh memberi impak besar terhadap perkembangan emosi, tingkah laku dan kesejahteraan mental kanak-kanak.
Tanda-tanda trauma mungkin tidak kelihatan dengan jelas pada peringkat awal tetapi sering melibatkan perubahan tingkah laku seperti rasa takut yang berlebihan, mimpi buruk, penarikan diri dari rakan-rakan dan kesukaran memberi tumpuan dalam aktiviti harian.
Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu untuk menyokong perkembangan kanak-kanak dengan lebih positif.
Antara langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan trauma dan kesan kemerosotan kesihatan mental kanak-kanak adalah dengan memberikan sokongan emosi dan psikososial.
Persekitaran stabil dan selamat
Kanak-kanak memerlukan persekitaran stabil dan selamat untuk membantu mereka merasa dilindungi dan disayangi.
Sokongan daripada keluarga, rakan sebaya dan guru amat penting dalam memberikan rasa empati dan pemahaman kepada kanak-kanak yang terkesan.
Terapi psikososial seperti terapi bermain dan terapi seni dapat digunakan untuk membantu kanak-kanak mengekspresikan perasaan mereka dengan cara yang lebih selamat.
Antara contoh terapi yang boleh dilakukan adalah melakukan sesi meluahkan emosi yang sukar diungkapkan secara lisan melalui aktiviti yang menyeronokkan, malah terapi seni juga dapat memberi peluang kepada mereka untuk meneroka perasaan melalui kreativiti.
Penggunaan terapi psikologi yang berkesan seperti Terapi Kognitif-Tingkah Laku (Cognitive Behavioral Therapy - CBT) dan Terapi Desensitisasi dan Pemprosesan Semula Pergerakan Mata (Eye Movement Desensitization and Reprocessing - EMDR) boleh membantu kanak-kanak mengatasi memori trauma dengan lebih baik.
CBT, sebagai contoh, membantu kanak-kanak mengenal pasti dan mengubah pola pemikiran negatif yang mungkin terbentuk akibat pengalaman trauma.
Terapi ini dapat membantu mereka melihat situasi dengan lebih realistik dan mengurangkan perasaan cemas atau takut yang sering menghantui mereka.
EMDR pula terbukti berkesan dalam membantu kanak-kanak memproses memori yang mengganggu dengan lebih berkesan sekaligus mengurangkan kesan emosi negatif.
Sebagai kesimpulannya, isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak, termasuk ibu bapa, guru, komuniti, dan kerajaan.
Kanak-kanak adalah aset masa depan negara dan kesejahteraan mental mereka memainkan peranan penting dalam perkembangan emosi, sosial dan akademik mereka.
Mengabaikan masalah kesihatan mental boleh membawa kesan jangka panjang yang negatif, bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan.
Maklumat Penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), FatinNor Syahirah Mohd Ghazali
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my