Mahasiswa UniKL bantu pasar produk komuniti
Kesukaran memasarkan produk antara masalah yang terpaksa dilalui pengusaha komuniti di Desa Impian, Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor.
Menyedari kesukaran dihadapi para pengusaha berkenaan, mahasiswa-mahasiswa pemasaran Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, telah mengambil inisiatif mengadakan Program Pemasaran Hasil Komuniti Dari Komuniti kepada Komuniti.
Penyelaras program, Dr Muhamad Shahrin berkata, pelbagai produk termasuk hasil pertanian, peralatan sekolah, produk perikanan malah perkhidmatan pembaikan jentera ditawarkan pada program itu.
“Program Pemasaran Hasil Komuniti Dari Komuniti kepada Komuniti ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan mahasiswa-mahasiswa kelas Kelakuan Pengguna, Strategi Pengiklanan dan Promosi serta Pengurusan Perhubungan Pelanggan.
“Ia diharap dapat membantu memasarkan produk-produk komuniti tempatan dengan lebih meluas,” katanya.
Majlis pelancaran program yang berlangsung selama dua minggu itu telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Paya Jaras, M•ohd Khairuddin Othman di Desa Impian, Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.
Hadir sama, Dekan UniKL Business School Profesor Madya Dr Sheikh Muhammad Hizam dan Ketua Jabatan Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa UniKL, Dr Mohd Faizun Mohammad Yazid.
Muhamad menjelaskan, program berkenaan merupakan sumbangan kecil warga universiti kepada komuniti Desa Impian.
Beliau berharap ia dapat diperluaskan sehingga komuniti-komuniti lain untuk memberi manfaat kepada semua.
Dalam pada itu, mahasiswa-mahasiswa UniKL turut diberi pendedahan mengenai produk dan masyarakat setempat melalui Program Jalinan Siswi-Ibu-Bapa Angkat yang diadakan selama dua hari.
Melalui program tersebut, para mahasiswa diberi taklimat mengenai produk-produk pengusaha tempatan.
Wakil Persatuan Lestari Alam Malaysia, Rashdan Rashid berkata, sebanyak 40 mahasiswa diserahkan kepada enam keluarga angkat terdiri daripada penduduk Desa Impian.
“Program ini memberi peluang dan ruang kepada para pelajar unversiti untuk merasai pengalaman rutin harian penduduk setempat,” ujarnya.