No Image Caption

Mahu sahur ‘tahan’ lebih lama? Ini tip yang boleh guru dan pelajar amalkan!

ROSHLAWATY MD RAIEH
23 Mar 2023 11:34am
A
A
A

Seluruh umat Islam di negara ini mula menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan mulai 23 Mac iaitu pada Khamis bersamaan 1 Ramadan 1444 (Hijrah).

Ini bermakna kita akan bersahur sepanjang Ramadan dengan menu pilihan masing-masing.

Sahur bermaksud makan sebelum terbit fajar (sebelum masuk waktu Subuh) dan khususnya dilakukan apabila hendak memulakan puasa.

Kebiasaannya menu bersahur hanya disediakan secara ringkas dan mudah oleh setiap individu.

Misalnya bagi yang berkeluarga, mereka mungkin akan menyediakan nasi putih bersama sup ayam, sayuran, ayam masak kicap, telur goreng dan sebagainya.

Bagi yang bujang pula mungkin hanya menikmati kurma, buah-buahan dan oatmeal sebagai menu sahur mereka pada hari tersebut.

Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian dari Facebook Pusat Maklumat Pemakanan Johor yang menyenaraikan enam tip sahur yang dapat membantu seseorang untuk ‘tahan’ lapar lebih lama dan kekal bertenaga di siang hari.

Tip-tip tersebut boleh diamalkan oleh guru, pelajar dan ibu bapa sepanjang mereka bersahur ketika bulan Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Enam tip yang dikongsi Pusat Maklumat Pemakanan Johor itu adalah

1) Sahur setengah jam sebelum waktu imsak

Dengan melambatkan waktu sahur, ia dapat mengurangkan tempoh berpuasa anda sekali gus dapat membuatkan diri kenyang lebih lama berbanding mereka yang sahur lebih awal.

2) Seimbang, sederhana dan pelbagai

Guru, pelajar dan ibu bapa memerlukan nutrien yang cukup walaupun di bulan puasa. Jadi, bersahurlah mengikut panduan PINGGAN SIHAT dan PIRAMID MAKANAN supaya keperluan nutrien dipenuhi.

3) Ambil sumber bijirin penuh

Sumber karbohidrat (contoh: nasi, roti, mi dan lain-lain) sangat penting sebagai sumber tenaga. Namun, sumber karbohidrat daripada bijirin penuh (contoh: beras perang, roti gandum penuh, oat, jagung, barli dan lain-lain) mempunyai kandungan serat yang lebih tinggi, sekali gus dapat membantu anda bertenaga dan tahan lapar lebih lama!

4) Elakkan makanan pedas dan masin

Kenapa? Makanan yang pedas boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada sesetengah orang. Ia boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan banyak air sekiranya mengalami masalah cirit-birit.

Manakala makanan masin pula boleh menyebabkan individu itu rasa haus disebabkan sodium yang memekatkan darah. Situasi ini mungkin boleh mengganggu puasa guru dan pelajar.

5) Minum air secukupnya

Air ialah komponen sangat penting yang perlu diambil ketika bersahur. Ini kerana penyahhidratan boleh berlaku ketika cuaca panas atau ketika melakukan aktiviti fizikal dan lain-lain. Jadi, minumlah air secukupnya ketika bersahur.

Sekiranya ingin minum minuman berperisa, gantikan dengan minuman bersusu yang rendah lemak, minuman bermalta ataupun jus buah-buahan. Bagaimanapun anda dinasihatkan minum air kosong dengan banyak kerana ia merupakan pilihan terbaik.

6) Elakkan minuman berkafein

Minuman berkafein seperti kopi, teh dan minuman bertenaga perlu dielakkan ketika bersahur. Ini kerana kafein boleh memberi kesan diuretik iaitu anda akan kerap buang air kecil sekali gus menyebabkan kehilangan air dalam badan lebih banyak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok