Majalah Dewan Masyarakat bantu penguasaan bahasa Melayu Anthony Loke
Penguasaan sesebuah bahasa memerlukan kepelbagaian cara termasuk membaca, menulis dan mendengar.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkongsi tentang pengalamannya dalam menguasai bahasa Melayu.
Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, subjek Bahasa Melayu antara yang diminatinya semasa di bangku sekolah.
“Cara saya menguasai sesebuah bahasa adalah dengan banyak membaca dan antara bahan bacaannya seperti majalah Dewan Masyarakat yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka.
“Bahasa yang digunakan dalam penulisannya cukup bagus kerana menggunakan tatabahasa yang mengikut piawaian,” katanya dalam satu slot radio tempatan pada Selasa.
Rakaman slot tersebut turut dimuat naik menerusi laman Instagramnya dan mendapat perhatian ramai warga maya.
Anthony mengulas, beliau juga sering menonton berita di televisyen setiap malam.
“Antara yang saya suka tonton semasa berumur 13 tahun adalah berita dunia.
“Setiap malam pada pukul 8 dan 10 saya akan menonton berita dunia kerana ketika itu tahun 1990 ke 1991, Perang Teluk antara Iraq dan Kuwait sedang meletus.
“Jadi, menonton berita, membaca majalah dan surat khabar merupakan cara untuk menguasai sesebuah bahasa,” katanya.
Perkongsian beliau itu mendapat reaksi positif daripada pengguna media sosial dengan tanda suka sebanyak 2,371.
Pemilik akaun berbangsa Cina, Nerrisling pada ruangan komentar laman tersebut mengakui antara caranya menguasai bahasa Melayu adalah dengan menonton drama di televisyen.
“Menonton Kisah Benar dan Gerak Khas salah satu cara saya memperbaiki tahap bahasa Melayu saya,” ujarnya.
Individu bernama Zara Damia ketika mengulas mengenai majalah Dewan Masyarakat yang dibaca Anthony berkata, bahan bacaan tersebut sememangnya merupakan faktor kepada penulisan yang mantap.
“Dewan Masyarakat memang bagus dan salah satu sebab penulisan karangan seseorang itu matang dan bagus,” katanya.
Bagaimanapun, seorang pengguna akaun bernama Eyyadhj meluahkan fenomena ketika ini setiap bangsa di Malaysia mempunyai siaran televisyen sendiri ditambah dengan minat dan hiburan yang berlainan.
“Tiada keperluan untuk mereka yang berbangsa Cina menonton siaran televisen bahasa Melayu.
“Aliran sekolah pun tidak sama, lagi 30 tahun besar jurang antara bangsa kita ini,” katanya.