Leftenan Komander Maritim Mohd Fairul Haswadi Abu Bakar
Leftenan Komander Maritim Mohd Fairul Haswadi Abu Bakar

Maritim Malaysia penjaga perairan negara

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
23 Sep 2024 10:36am
A
A
A

Meskipun 67 tahun Malaysia merdeka dan bebas cengkaman komunis serta musuh, namun pelbagai ancaman baharu melibatkan kes jenayah masih berlaku hingga menggugat keamanan serta ketenteraman negara.

Ia tidak semestinya berlaku di darat, malah kawasan perairan juga boleh menjadi lokasi ‘panas’ aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara.

Justeru, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memainkan peranan penting dalam menjaga kedaulatan perairan negara.

Menurut Timbalan Pengarah Siasatan Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Leftenan Komander Maritim Mohd Fairul Haswadi Abu Bakar, kerjaya ini mempunyai tanggungjawab besar dalam melindungi serta menjaga keamanan negara apatah lagi Malaysia mempunyai kawasan perairan yang luas.

Berikutan itu katanya, pegawai-pegawai Maritim Malaysia perlu bersiap sedia sekali gus mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Laut Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, mempunyai lebih kurang 600 kilometer (km) pantai dan 556 ribu kilometer persegi perairan.

“Sempadan Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan juga agak dekat dengan Indonesia, menjadikan sesetengah jenayah boleh berlaku di kawasan ini. Ia antaranya pencerobohan atau penyeludupan dadah serta pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Keadaan itu memerlukan pegawai Maritim Malaysia untuk sentiasa berwaspada agar jenayah yang membimbangkan dapat dikurangkan, selain berusaha memastikan Malaysia bebas daripada ancaman luar,•”• katanya ketika ditemui Sinar Bestari baru-baru ini.

Kongsi Mohd Fairul lagi, pegawai Maritim Malaysia berperanan dalam melaksanakan tugas mencari dan menyelamat di kawasan perairan sekiranya menerima laporan tentang kemalangan.

No Image Caption

Ia menjadikan kerjaya ini antara barisan hadapan yang perlu diberi pengiktirafan.

Ditanya mengenai kepentingan pelajar untuk menghargai erti merdeka sebuah negara, beliau yang sudah 14 tahun berkhidmat itu memberitahu, semangat jiwa merdeka dan patriotisme amat digalakkan lebih-lebih lagi daripada awal usia agar mereka menghargai setiap perjuangan wira tanah air.

“Apatah lagi negara sudah menyambut ulang tahun kemerdekaan dan Hari Malaysia, menjadikan pelajar dari peringkat rendah diterapkan dengan semangat patriotisme.

“Ia langkah yang bagus agar generasi muda sedar dan cakna bahawa keamanan dikecapi disebabkan oleh keselamatan yang dijaga rapi,” tambahnya lagi.

No Image Caption

Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa pendidikan tidak penting sekiranya ingin menyertai badan beruniform, Mohd Fairul menegaskan ia adalah satu elemen penting untuk menceburi apa jua bidang.

Katanya, ilmu dan pembelajaran membantu individu untuk berfikir lebih matang, sekali gus menjadikan mereka tidak ketinggalan zaman.

“Saya sangkal perkara ini, ia kerana hendak sertai apa juga bidang pekerjaan, ilmu dan pendidikan bergerak seiring dengan kelayakan.

“Belajar di sekolah bukan sekadar membolehkan seseorang itu membaca atau menulis tetapi ilmu yang disemai dengan nilai murni mampu membentuk peribadi baik dan dihormati masyarakat," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok