No Image Caption

Merdeka dan erti sebuah kedaulatan

30 Aug 2023 10:58am

Kurang 24 jam sahaja lagi tanggal 31 Ogos akan menjengah ke dalam kalendar seluruh warga Malaysia.

Ia secara tidak langsung menandakan usia kemerdekaan negara ini telah pun mencecah 66 tahun setelah berjaya mencapainya pada tahun 1957.

Erti sebuah kemerdekaan bukan sesuatu yang kecil kerana perkara tersebut menunjukkan sebuah kedaulatan pentadbiran tanah air secara rasmi diraih dan sebarang kongkongan daripada pihak luar sudah pun diatasi.

Namun apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana kita semua dapat memahami dengan lebih mendalam tentang konsep sebuah kedaulatan?

Kedaulatan memberi makna kepada ketinggian perlembagaan.

Malaysia mengamalkan perlembagaan bertulis iaitu Parlimen yang memperoleh kuasa dari perlembagaan.

Ini bermakna undang-undang yang dibuat, digubal dan dipinda tertakluk kepada kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Misalnya, dalam bidang perundangan, bidang kuasa parlimen hanya membuat dan menggubal undang-undang mengikut peruntukan perlembagaan.

Justeru, sebarang aspek perundangan yang diluluskan selepas hari kemerdekaan dan berlawanan dengan perlembagaan, maka ia terbatal.

Contohnya, sekiranya seseorang ingin mengusulkan supaya dimansuhkan Perkara 152, yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkara tersebut tidak dikira.

Sekiranya negara tidak memiliki kedaulatan, ia boleh memberi peluang kepada pihak lain seperti penjajah untuk masuk campur dalam hal ehwalnya.

Kedaulatan adalah sebab untuk mendapat pengiktirafan luar.

Kedaulatan juga penting untuk memperoleh pengiktirafan dari global kerana ia membuatkan sesebuah negara lebih dikenali di rantau antarabangsa.

Dengan adanya perkara tersebut, ia menjadi sebab Malaysia dilantik sebagai anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disifatkan sebagai satu kejayaan kerana mendapat sokongan kuat dari negara-negara yang sebelum ini tidak mengenali Malaysia.

Bagaimana mengekalkan kedaulatan negara?

Meskipun kedaulatan telah pun berjaya diperolehi, namun usaha untuk mengekalkannya tetap berjalan supaya ia tidak lenyap disebabkan ancaman sama ada di peringkat dalaman negara atau pun pihak luar.

Usaha yang dimaksudkan itu termasuk mengadakan hubungan antarabangsa yang mana Malaysia mengutamakan semangat kerjasama dan berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira ideologi politik.

Ia dapat dilihat dengan jelas dari sudut ekonomi yang mana Malaysia menyokong perdagangan bebas serta menyertai pakatan perjanjian ekonomi seperti Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT ) dan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), Bank Dunia, dan Tabung Matawang Antarabangsa (IMF ).

Turut termasuk, kedaulatan itu dipertahankan dengan memastikan tiadanya perselisihan dalam kalangan rakyat meskipun berbeza agama, kaum dan fahaman politik.

Sekiranya perbezaan tersebut dibiarkan tanpa sebarang pantauan dan kawalan, ia berpotensi mewujudkan permusuhan dan lebih teruk peperangan seperti yang berlaku di negara lain termasuk Semenanjung Korea dan Syria sehingga mewujudkan blok kerajaan yang berbeza.

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama menjadikan sambutan hari kemerdekaan kali ini sebagai lembaran baharu dalam memahami nilai sebuah kedaulatan kerana bak kata pepatah ‘yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek’.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp