No Image Caption

Nur Aminahtul kongsi pengalaman sebagai peguam

Teruskan legasi dari arwah ayah

AZLEENDA SAHALUDIN
02 Oct 2023 10:56am
A
A
A

“Tidak semua anak guam yang dibela betul-betul seorang penjenayah dan jika benar mereka melakukan kesalahan tersebut, kita masih mempunyai prinsip undang-undang dimana tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.”

Itulah pegangan Nur Aminahtul Mardiah Md Nor yang sudah berkhidmat dalam dunia perundangan hampir 15 tahun apabila berkongsi kisah dan pengalaman melibatkan isu-isu pendakwaan dan kehakiman.

Katanya, selagi undang-undang tidak membuktikan seseorang itu bersalah, individu ini tidak boleh dikategorikan sebagai seorang penjenayah dan walaupun sudah dibuktikan bersalah di mahkamah rendah, mereka masih berpeluang untuk mempertahankan diri di peringkat mahkamah rayuan atau persekutuan.

Justeru itu, Nur Aminahtul menegaskan untuk tidak skeptikal terhadap orang-orang yang ditangkap atau ditahan kerana proses membuktikan kesalahan memerlukan beberapa perkara antaranya dokumentasi, bukti dan proses siasatan.

Teruskan legasi perundangan

Menyingkap latar belakang pendidikannya, Nur Aminahtul merupakan graduan daripada Universiti Teknologi MARA Selangor kampus Shah Alam dalam bidang perundangan.

Tamat sahaja pengajian, beliau berkhidmat di Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara selama lima tahun sebelum bertukar ke bahagian kehakiman.

Menurut anak kedua daripada 10 beradik itu, kerjaya peguam dipilih kerana ingin memenuhi impian arwah ayahnya yang juga merupakan seorang peguam syarie.

Artikel Berkaitan:

“Pada awalnya agak sukar untuk beradaptasi dengan ilmu-ilmu perundangan kerana minat saya lebih ke arah bidang penulisan dan semasa di sekolah menengah juga saya ambil mata pelajaran Kejuruteraan Elektrik.

“Tapi lama-kelamaan minat timbul dengan sendirinya lebih-lebih lagi bidang peguam ini sebenarnya sangat dekat dengan masalah masyarakat yang banyak mengajar saya tentang sebuah kehidupan,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Pentingnya lulus SejarahNur Aminahtul berpendapat, menguasai subjek Sejarah sangat penting sekiranya ada dalam kalangan pelajar berminat untuk menceburi kerjaya peguam.

Ini kerana katanya, kebanyakan subjek perundangan sendiri memerlukan penguasaan bacaan dan kefahaman sama seperti mempelajari mata pelajaran Sejarah.

“Orang selalu cakap kena hafal tetapi sebenarnya faham itu adalah lebih penting.

“Dalam subjek perundangan menekankan beberapa perkara seperti kajian kes undang-undang yang bermain dengan fakta sama seperti Sejarah.

“Bukan itu sahaja, subjek-subjek lain seperti Bahasa Melayu dan Inggeris juga sama pentingnya sekiranya berminat menjadi peguam,” ujarnya.

Mengakhiri perbualan, Nur Aminahtul sempat berkongsi akaun TikToknya @aminahtulmardiah sebagai platform perkongsian maklumat perundangan kepada semua lapisan masyarakat.

INFO

Anugerah dan pencapaian dalam kerjaya peguam

1) Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 (Attorney General Chamber’s)

2) Sijil Kepujian Prestasi Cemerlang 2013 (Judiciary)

3) Sijil Kepujian Prestasi Cemerlang 2014 (Judiciary)

4) Sijil Kepujian Prestasi Cemerlang 2015 (Judiciary)

5) Head (Human Rights Committee Access to Justice)

6) Wakil Malaysia untuk Program Pembangunan United Nation - Anti keganasan, rasisme dan ucapan kebencian

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok