Selain Mantan Naib Canselor UM, Hashim kini merupakan seorang Pakar bidang Sains Patologi Mulut dan Perubatan Mulut.
Selain Mantan Naib Canselor UM, Hashim kini merupakan seorang Pakar bidang Sains Patologi Mulut dan Perubatan Mulut.

Pegang pelbagai jawatan, inilah anak si penoreh getah yang cukup berjaya hari ini!

14 Jun 2023 11:36am

"Kalau tidak mahu belajar maka tertutuplah peluang-peluang mendapatkan nafkah"

Demikian pesanan ringkas mantan Naib Canselor Universiti Malaya (2003-2006), Datuk Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob berhubung trend lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mahu menyambung pelajaran.

Hashim berkata, ibu bapanya hanya penoreh getah malah mereka buta huruf dan membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan keringat.

Anak kedua daripada lima beradik itu memberitahu, kata-kata ayahnya membekas di benak sanubari sehingga hari ini yang membuatkan beliau menuntut ilmu tanpa jemu.

"Ayah pernah berkata, kamulah satu-satunya harapan untuk menghapuskan kemiskinan buta huruf dalam keluarga kita.

"Ia sangat menusuk di hati sehingga saya tidak pernah berputus asa dalam pelajaran dan memperoleh keputusan cemerlang menduduki peperiksaan sehingga mampu melanjutkan pengajian ke luar negara.

"Pada saya, jika seseorang boleh berjaya sehingga tahap tertinggi dalam pendidikan, jadi mengapa saya tidak boleh?."katanya kepada media ketika ditemui pada majlis Pelancaran YEG Pesta Sambung Belajar di Putrajaya baru-baru ini.

Pakar bidang Sains Patologi Mulut dan Perubatan Mulut itu menjelaskan, menuntut ilmu itu tidak mendatangkan kerugian kepada para pelajar malah menjadi 'resipi' berdepan kehidupan di masa depan.

"Tuhan menciptakan manusia sama sahaja, tidak ada yang lebih pandai mahupun tidak pintar. Ia semua bergantung kepada usaha yang kita lakukan untuk mengecapi kejayaan di dalam pelajaran dan hidup.

"Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka ALLAH SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke syurga. Apabila memiliki ilmu, kita boleh melakukan apa sahaja untuk memperbaiki kehidupan," ujarnya.

Pengerusi Kolej Antarabangsa Inovatif itu berkata, anak-anak masa depan perlu sentiasa berfikiran positif dengan mengatakan boleh melakukan apa yang ingin dikecapi dalam pelajaran dan kehidupan, jangan sesekali fikir tidak boleh.

Anak jati Tanah Merah, Kelantan itu menambah, jika memiliki kemahuan jitu di dalam hati, tiada yang mustahil untuk digapai mereka.

"Selain itu, salah satu cara memperoleh ilmu adalah dengan menimba pengalaman daripada melakukan sebarang pekerjaan.

"Kalau tiada apa yang ingin dilakukan, lebih baik mencari kerja yang mendatangkan faedah. Biarpun memperoleh pendapatan sedikit, tetapi pengalaman tersebut sangat 'mahal' dan akan membantu pada masa depan.

"Kemungkinan peluang pekerjaan yang datang kelak tidak memenuhi keinginan hati tetapi terus berusaha dan melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas," katanya.

Pada 31 Julai tahun lalu, Kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus golongan berkenaan mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pengajian mereka.

Biarpun, data tersebut adalah dari tahun 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021 sekali gus ia akan merugikan negara.

Sementara itu, Pengasas YEG Academy, Hassan Ithnin dan Azizul Hakim berhasrat membuka peluang membantu golongan belia khususnya Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas tamat persekolahan.

"Kami ada menyediakan bantuan kewangan bagi membantu pelajar yang berkelayakan. Kami turut akan membantu mereka untuk terus mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

"Meskipun kesemua program di bawah YEG disesuaikan dengan pasaran pekerjaan namun sijil dan diploma keluaran YEG mengikut piawaian oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," kata Hassan.

YEG menerusi kempen Pesta Sambung Belajar 2023 menawarkan diploma perhotelan, diploma pengurusan haji dan umrah, diploma dalam industri penerbangan dan terbaharu diploma penguat kuasa undang-undang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp